Satu hari, seorang manusia yang pernah saya jumpa berkata:
“ Baik dan jahat tu, kita yang pilih sendiri. Terpulang la kepada kita hendak hidup bagaimana”
Dan kata-kata yang sama memang biasa kita dengar daripada sesiapa sahaja.
Saya jujurnya bersetuju dengan asas kata-kata itu. Yakni baik dan jahat itu kita yang pilih sendiri. Memang. Tapi, untuk saya, dalam hidup ini ada satu kebenaran sahaja.
Mana yang betul bila kita memilih?
Baik kah yang betul? Atau jahat kah yang betul?
Sebenarnya, selain kebenaran itu, kita tiada pilihan lain.
Kalau anda perasan, hampir kebanyakan artikel saya akan menyelitkan ayat 56 dari Surah Adz-Dzariyat.
“ Dan tidak AKU ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepadaku”
Anda fikir, kenapa? Kenapa saya sering meletakkan ayat itu tanpa takut pembaca saya merasa jemu, atau takut pembaca saya fikir saya ini kekurangan dalil dan sebagainya?
Hal ini kerana, itulah tujuan kehidupan kita.
Saya juga sering mengulang ayat 85 dari surah Ali-Imran, yang menceritakan perihal kematian, dan makna kemenangan yang sebenar untuk manusia.
“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan di hari kiamat nanti sahajalah akan disempurnakan segala balasanmu, barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya”
Kenapa saya ulang ayat 185 dari Surah Ali-Imran ini dalam banyak artikel saya?
Kerana itulah makna sebenar kemenangan yang perlu dihayati oleh manusia, dan kerna mati itu sememangnya pasti untuk kita, tanpa boleh kita elak walau bagaimana sekali pun.
Manusia, datangnya daripada ALLAH, dan kembalinya juga akan kepada ALLAH. Maka, secara tidak langsung, kehidupannya pastinya adalah hanya untuk ALLAH semata-mata.
Jadi mana datang kata-kata manusia:
“ Baik dan jahat tu, kita yang pilih sendiri. Terpulang la kepada kita hendak hidup bagaimana” ?
ALLAH SWT berfirman,
“ Tiada paksaan di dalam agama…” Surah Al-Baqarah ayat 256.
Dari ayat inilah, manusia sering memberikan alasan bahawa, mereka berhak memilih hendak melakukan kejahatann atau kebaikan. Dari ayat inilah, manusia sering menyatakan bahawa mereka bebas untuk ingkar atau taat. Semuanya di tangan mereka. Mereka yang memilih.
Tapi, mari kita melihat keseluruhan ayat 256 dari Surah Al-Baqarah itu.
“ Tiada paksaan di dalam agama, sesungguhnya telah jelas antara jalan yang kebenaran dan jalan yang sesat. Barangsiapa yang membelakangi taghut(kejahatan) dan beriman kepada ALLAH, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang kuat dan tidak akan putus, dan ALLAH itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
“ Sesungguhnya telah jelas antara jalan kebenaran dan jalan yang sesat…”
Lihat. Kenapa ayat ini datang selepas ayat “ Tiada paksaan di dalam agama” ?
Secara tidak langsung, kita dapat berfikir bahawa, apa sahaja yang kita pilih, yang benar itu tetap benar, dan yang buruk itu tetap buruk. Walaupun kita pilih keburukan dan menyatakan keburukan itu satu kebaikan, ia tetap satu keburukan di sisi ALLAH SWT. Walaupun kita nyatakan bahawa kebaikan itu satu keburukan untuk kita, tetapi ia tetap satu kebaikan di sisi ALLAH SWT.
Kalau benar-benar hendak berjaya dengan definisi keberjayaan dalam ayat 185 Surah Ali-Imran, maka kita tiada pilihan melainkan tunduk dan taat kepada ALLAH SWT. Kalau kita benar-benar faham akan tujuan kehidupan kita sebagaimana yanng dinyatakan dalam ayat 56 Surah Adz-Dzariyat, maka kita tiada pilihan melainkan tunduk dan taat kepada ALLAH SWT.
Hidup ini, hakikatnya tiada pilihan lain selain tunduk dan taat kepada ALLAH SWT.
“ Ish, susah la…” Mungkin itu akan kita nyatakan, baik melalui lisan mahupun sekadar lintasan hati. Saya, jujurnya, tidak menafikan jalan ketaatan kepada ALLAH ini adalah jalan yang sukar. Guru saya, Pakcik Rosdi pernah berpesan:
“ Jalan ketaatan kepada ALLAH ini, tidak dibentang permaidani merah yang lurus, tidak pula ditaburi bunga-bunga. Tetapi jalan ketaatan kepada ALLAH ini, ditaburi dengan duri-duri yang terpacak”
Duri-duri yang terpacak. Bukannya duri-duri yang terbaring.
Tapi, kalau kita berfikir secara positif, sebenarnya, perumpamaan benda yang ALLAH larang dengan benda yang ALLAH benarkan kita lakukan adalah hanya seperti sepohon khuldi di tengah-tengah nikmat syurga yang meluas dan tidak tertanding.
Kalau kita fikir mendalam lagi, hendak mendapat syurga yang indah dan segala-galanya ada itu, sememangnya memerlukan sedikit pengorbanan. Alangkan nak cemerlang dalam peperiksaan pun memerlukan kita mengorbankan masa, apatah lagi hendak cemerlang secara abadi di akhirat sana.
Kita tiada pilihan lain, selain taat kepada ALLAH SWT, jika kita inginkan kemenangan yang sebenar nanti di ‘sana’.
“ Dan barangsiapa antara kamu yang bersyukur, maka AKU akan tambahkan(nikmat) untuk kamu, dan barangsiapa antara kamu yang kufur, sesungguhnya azab AKU adalah amat keras” Surah Ibrahim ayat 7.
****sedang terbuka email ana terbaca kembali email arcle diatas yg dkrimkan oleh seorang sahabt ana yg merupakn email terakhr sblm arwah mningl...mungkin arcticle ini sumbernya dr laman langit Illahi...msh tergiang2 smngat arwah dan isteri untk mndalami agama di Kelantan..slain tuu msh trgiang2 smngt arwah untuk bjihad mnangani mslah sosial remaja2 skrang dan yg trakhr crtanya mngenai isu rempit(arwah seorng anggota polis)...ermmm...rasa bru semalam ana bertkar pndangan dan brbncang di ym mngenai isu2 smasa..moga arwah, istri dan anak2 dicucuri rahmat dan bersm2 org yg soleh disana...(arwah dan kluarga mngl dlm kmlangan di 1 pg pd bln 8 yg lalu smasa dlm pjlnan ke JB)..al-fatihah .***..Tiada pilihan selain itu...