Rabu, 20 Mei 2009
RAKYAT AFGANISTAN DERITA MENTAL
Berita Harian, Rabu, 20 Mei 2009
Dalam tempoh 30 tahun kebanyakan penduduk saksikan pelbagai keganasan akibat perang
DI sebuah hospital bercat putih di pinggir Kabul, kelihatan sekumpulan doktor bertungkus lumus menyelesaikan masalah paling besar melanda rakyat Afghanistan - penyakit mental.
Langsir tergantung di pintu masuk bagi mengelak udara sejuk yang menggigit tulang, manakala pesakit bersama keluarga yang datang melawat, memenuhi wad terbuka itu.
Data kajian Kementerian Kesihatan Afghanistan menunjukkan kira-kira 66 peratus rakyat negara itu mengalami masalah kesihatan mental.
Malangnya hospital di pinggir Kabul itu adalah satu-satunya kemudahan di Afghanistan yang dikhususkan bagi menangani masalah penyakit mental dan ia hanya mempunyai 40 katil.
Pakar psikiatri hospital itu, Dr Musadiq Nadimee menunjukkan wajah bimbang ketika beliau memandang sekeliling.
“Hospital ini hanya merawat kes rumit yang dirujuk kepada kami dari seluruh negara,” katanya sambil mengangkat bahu.
Seorang bapa yang berada di hospital itu mengaku, anak remajanya, Hamida mengalami skizofrenia.
“Keadaannya semakin baik sejak dirawat di hospital ini,” katanya.
Bagaimanapun kebanyakan pakar bersetuju bahawa masalah dan penyakit mental yang dihadapi penduduk Afghanistan sebenarnya jauh lebih berat berbanding apa yang mereka pernah temui di hampir semua negara lain.
Penduduk negara itu mempunyai terlalu sedikit rasa percaya antara satu sama lain. Kadangkala perbuatan kejam yang dilakukan oleh satu pihak hanya dianggap cara hidup biasa di negara itu.
Seorang wartawan tempatan, Hanif Sherzal berkata, Afghanistan adalah sebuah negara yang dipenuhi trauma. Dalam tempoh 30 tahun, beratus ribu rakyat negara itu terbunuh dan kebanyakan penduduknya menyaksikan pelbagai bentuk keganasan pada satu peringkat kehidupan mereka.
“Rakyat Afghanistan terus mengalami trauma dengan pengalaman silam dan keganasan yang berterusan. Kebanyakan mereka tidak berasa selamat dan beranggapan tiada siapa peduli keselamatan mereka,” katanya.
Malah kata Hanif mereka yang mempunyai kesihatan fizikal yang baik dan tinggal di tempat selamat terus menerus mendengar berita buruk hampir setiap hari dan ini juga menjejaskan kehidupan mereka.
Pegawai kesihatan berkata kebanyakan masalah mental yang berlaku dikaitkan dengan pengalaman yang dilalui penduduk Afghanistan.
Mereka turut mengakui bahawa negara itu tidak mempunyai kemudahan yang cukup atau doktor untuk menangani kes paling serius.
Masalah kesihatan lain seperti kematian ibu dan bayi mendapat lebih perhatian.
Bagaimanapun penasihat kanan kepada menteri kesihatan, Dr Abdullah Fahim berkata jika masalah kesihatan mental tidak ditangani segera, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan sosial penduduk Afghanistan.
“Penduduk saling tidak mempercayai manakala perbuatan kejam dilihat sebagai perkara biasa. Jika ini berterusan masa depan penduduk dan negara ini akan gelap,” katanya.
Berikutan kurang memahami, ramai penduduk Afghanistan yang menderita penyakit mental, dianggap terkena sihir.
Sebilangan mereka dirantai di dalam bilik serta gua atas alasan anggota keluarga percaya jin atau roh jahat meninggalkan tubuh.
Namun bagi yang lain, keluarga tidak mempunyai pilihan kecuali membiarkan mereka begitu saja selepas tidak lagi dapat menangani atau membeli ubat untuk merawat penyakit yang dialami.
Namun ada sejumlah kecil pesakit mental kini dijaga badan amal tempatan,
antaranya termasuk sebuah yang dikendalikan Pertubuhan Bulan Sabit Merah.
Pengarahnya Mohammed Zahaid menceritakan mengenai kisah seorang wanita yang enggan makan dan minum selama beberapa hari. Wanita sebaliknya asyik menangis dan menyebut nama bekas presiden Afghanistan Najibullah.
Apabila seorang pekerja membawa gambar bekas presiden itu, wanita berkenaan ceria kembali dan mula mahu makan dan minum.
Bagaimanapun wanita berkenaan mungkin salah satu daripada sejumlah kecil kes pesakit yang bernasib baik.
Di negara yang dilanda terlalu banyak masalah seperti Afghanistan isu kesihatan mental semakin dilupakan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan