Khamis, 13 Ogos 2009

BIDAAH TERPUJI TIDAK BERDOSA

BERWIRID selepas solat, membiasakan diri membaca Yasin pada malam Jumaat dan menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul setiap kali Rabiulawal tiba, malah sesekali mengikuti majlis bacaan talqin menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita.

Tetapi, sesetengah pihak mendakwa amalan berkenaan bidaah dan perlu ditinggalkan.

Dakwaan itu sungguh mengelirukan. Bagi yang kurang memahaminya, ia boleh menimbulkan perselisihan faham, tuduh menuduh dan kacau bilau.

Hadis diriwayatkan Muslim bermaksud: “Adapun kemudian dari itu, sesungguhnya sebenar-sebenar perkataan itu ialah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu ialah petunjuk Muhammad dan sejahat-jahat perkara ialah diada-adakan, setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah sesat dan setiap kesesatan di dalam neraka.”

Ramai gemar mengatakan sesuatu itu bidaah, tetapi persoalannya apa sebenarnya bidaah?

Pengertian bidaah dibahagikan kepada dua iaitu pada bahasa dan istilah. Menurut bahasa ialah nama bagi suatu yang baru diadakan. Bidaah dalam urusan keduniaan tidak dilarang, tetapi dalam keagamaan ditegah.

“Apabila suatu itu dari perkara dunia kamu, maka kamu sekelian lebih mengetahui dengannya dan apabila ada dari urusan agama kamu, maka kepadaku.” (Hadis Riwayat Ahmad bin Anas)

Maksud di sini, dalam urusan dunia manusia bebas meneroka dan memperkenalkan penemuan baru, teknologi baru dan kemudahan baru, bagi kesempurnaan dan meneruskan kelangsungan kehidupan.

Tetapi dalam urusan agama seperti ibadat solat, ia perlu dilakukan berasaskan sunnah, sama ada cara dan rukunnya.

Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku melakukan solat.”

Bidaah adalah berlawanan dengan sunnah (jalan Rasulullah dan sahabat), yang sepatutnya menjadi jalan ibadat, tanpa berlebih atau berkurang.

Menurut istilah ulama, bidaah ialah satu jalan atau satu cara perbuatan yang diada-adakan dalam agama, tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah dan sahabatnya, dengan maksud untuk mendampingkan diri kepada Allah atau beribadat kepada-Nya kerana ingin mendapat pahala-Nya.

Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abd Majid Umar, berkata bidaah terbahagi kepada dua jenis, seperti ditegaskan Imam Syafie iaitu bidaah terpuji dan tercela.

Imam Syafie berkata: “Bidaah itu dua jenis iaitu: bidaah yang terpuji dan bidaah tercela. Maka, bidaah yang sesuai dengan sunnah adalah terpuji dan bidaah menyalahinya ialah yang tercela.”

“Bidaah terpuji ialah amalan yang membawa kebaikan. Talqin tidak menjadi kesalahan kerana memberikan nasihat yang baik kepada mereka yang hadir.

“Membaca Yasin pada malam Jumaat juga amalan baik. Orang tua dulu mengadakan majlis baca Yasin pada malam Jumaat kerana ia penghulu hari dan mereka mendapati yang paling mudah ialah surah Yasin.

“Mereka berkumpul dalam satu majlis seperti itu setiap malam Jumaat memanglah tidak ada hadis khusus, tetapi ada nas secara umum supaya membaca al-Quran,” katanya.

Secara umum, perkara yang tidak ada pada zaman Nabi tetapi tidak bercanggah dengan anjuran Islam masih dibolehkan untuk dilakukannya.

Menurutnya, dalam majlis persandingan misalnya, walaupun tidak ada dalam agama, jika membawa kebaikan tidak mengapa, tetapi apabila wujud unsur pembaziran, pendedahan aurat dan kelalaian tidak dibolehkan.

“Kenduri itu memang baik dan ia sebagai hebahan kepada umum bahawa si pulan sudah berkahwin. Tetapi jika majlis itu mewujudkan pembaziran, ia dilarang,” katanya.

Ulama ada menerangkan beberapa bidaah yang dilarang, seperti meminta kepada Allah melalui orang mati, bernazar untuk melakukan sesuatu di kubur orang tertentu yang dianggap keramat atau wali, menyerahkan hukum agama kepada akal manusia dan menolak nas dari Allah dan Rasul serta mengerjakan solat dengan cara berlainan dari perintah asal, seperti dua rukuk dan satu sujud.

Bersabit perkara baru dan tidak dilakukan pada zaman Nabi, Abd Majid berkata, pada zaman tabiin dulu ada tetapi mereka melakukan perkara yang elok seperti selepas solat berwirid.

“Memang tidak ada suruhan berwirid selepas solat secara khusus. Tetapi amalan dilakukan golongan dulu yang tidak bertentangan dengan Islam walaupun tidak ada hadis khas boleh diteruskan, termasuk Maulidur Rasul, kita buat walaupun tidak ada suruhan.

“Segala perkara baru tetapi ia ada kebaikan, tidak bertentangan dengan Islam walaupun tidak ada hadis,” katanya.

Dalam hubungan ini, katanya, masyarakat sepatutnya tahu membuat penilaian sesuatu perkara, sama ada boleh dilakukan atau tidak dengan menjadikan prinsip agama sebagai ukuran.

Sumber:Abu Noraine

0 comments: