Isnin, 12 September 2011

Manusia Selepas Ramadhan

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***



Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Malam-malam kita tidak lagi seperti sebulan yang lepas, yang syahdu di bawah lantunan 
kalam Ilahi dari para imam-imam tarawih.


Penghujung malam kita pun tidak seperti sebelumnya lagi, yang larut dalam tahajjud panjang, 
lalu menggamit keberkatan sahur, sambil berzikir dan beristighfar di sela-sela sisa waktunya.


Saat waktu Subuh tiba, saf-saf di masjid terlihat lebih padat dibandingkan waktu Subuh di luar 
Ramadhan. Selepas solat, sebahagian makmum lebih memilih untuk duduk berzikir menanti 
waktu syuruq, mereka berlumba-lumba mengejar pahala haji dan umrah yang 
disempurnakan dengan mengerjakan solat sunat dua rakaat.


Solat kita pun tidak segagah di bulan Ramadhan lagi di mana kita lebih bersemangat 
memburu lima waktu berjamaah di masjid. Mengejar untuk mengkhatamkan 
Al Qur’an berulang kali, berlama-lama di masjid untuk satu, dua atau bahkan 
tiga juz Al Qur’an setiap hari.


Suasana petang hari kita tidak lagi disibukkan dengan zikir petang dan doa. 
Sebelum ini kita larut dalam detik mustajab menjelang masuknya waktu Maghrib, 
menikmati dua ganjaran kebahagiaan; bahagia kerana berbuka dan bahagia 
kerana puasa kita menjadi ‘wasilah bertemu’ dengan Allah swt.


Setelah semua keindahan suasana itu berlalu, lantas bagaimana dengan hari ini, 
selepas Ramadhan?


Bukankah Rabb yang menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda selama Ramadhan juga 
adalah Rabb yang sama ketika di luar Ramadhan?


Ada kata-kata yang menarik yang menyedarkan kita akan perkara ini :


"Kun rabbâniyyan, wa lâ takun ramadhâniyyan" (Jadilah hamba Rabbani 
bukan hamba di bulan Ramadhan)


Jangan menjadi manusia Ramadhan, yang kuat ibadahnya kerana berada di bulan 
Ramadhan sahaja, kerana setelah bulan itu berlalu, ia tidak akan mengalami
 perubahan hidup untuk menjadi lebih bertaqwa.


Namun jadilah manusia selepas Ramadhan yang :

  • Memiliki nilai keperibadian diri.
  • Merasai perhambaan kepada Allah yang tidak kenal henti.
  • Bertakwa tanpa batas.
  • Menepati sasaran yang diharapkan dari penggembelengan yang dilakukan selama sebulan.
  • Nilai ibadahnya terus meningkat sekali pun ia telah berada di luar bulan Ramadhan.

Para sahabat menyiapkan diri mereka selama enam bulan untuk menyambut kehadiran tamu 
agung bernama Ramadhan.


Pastinya mereka bermati-matian untuk beribadah sepenuh masa selama sebulan penuh 
itu seumpama bertemu dengan seorang yang dirindui di mana kita ingin berlama-lamaan 
bersama dengannya, menjamu, memberinya layanan sebaik mungkin dan sudah 
tentunya kita akan merasakan kesedihan yang amat sangat ketika perlu berpisah dengannya.


Perkara yang sama dirasakan oleh para sahabat Nabi di penghujung Ramadhan di mana 
mereka tidak gembira dengan baju baru, kueh-mueh dan makanan sempena Aidil Fitri 
sepertimana masyarakat secara umumnya menyambut, tapi mereka justeru bersedih kerana 
tamu agung itu sudah pergi meninggalkan mereka.


Mâ ba’da Ramadhân? (Apakah agenda selepas Ramadhan)?


Inilah masa-masa yang paling mencemaskan bagi para sahabat Nabi. Mereka takut 
akan amalan yang tertolak di mana puasa, qiyam yang panjang, tilawah yang berulang 
kali khatam, infak harta, pengorbanan jiwa raga dari satu medan perang ke perang lainnya, 
serta segunung amalan ibadah lainnya yang mereka lakukan selama Ramadhan, semuanya 
itu telah menjadi sebuah kekhuatiran terbesar bagi diri mereka.


Mereka lebih banyak bermuhasabah dalam sebuah tanda tanya :
“Apakah amal ibadahku di bulan Ramadhan sebelum ini diterima oleh Allah swt.?”
Para sahabat merawat Ramadhan dalam hati mereka dengan rasa ‘khauf’ (takut) dan ‘raja’ 
(pengharapan).


Mereka sekuat tenaga berusaha untuk istiqamah dalam amalan ibadah mereka. 
Jika mereka lengah sedikit, maka ini memberikan tanda bahwa amal ibadah mereka 
selama Ramadhan telah sia-sia kerana di antara ciri-ciri diterimanya amal ibadah 
seseorang dalam bulan Ramadhan adalah :

  • Keringanannya dalam mengerjakan kebaikan dan ibadah.
  • Jauhnya mereka dari melakukan kemaksiatan kepada Allah swt.
Enam bulan selepas Ramadhan, mereka masih bersedih memikirkan kepergian 
Ramadhan. Mereka memohon dengan sungguh-sungguh agar amalan ibadah selama 
sebulan penuh itu diterima oleh Allah swt sedangkan di separuh tahun sisanya, mereka 
kembali bergembira, bersiap diri menyambut kehadiran Ramadhan yang akan datang 
iaitu tetamu agung yang sentiasa mereka rindui.


Begitulah putaran roda kehidupan para solehin terdahulu di mana rentang waktu dari 
Ramadhan ke Ramadhan berikutnya diisi dengan ’taqarrub ilallâh’ seakan-akan menutup 
semua celah untuk ‘futur’ (merasa lemah) dalam beribadah.


Rindu mereka adalah rindu keimanan. Begitu pula kesedihan mereka adalah kesedihan 
kerana iman sehingga hari-hari berjalan dengan penuh kekhusyukan, hati mereka tenang, 
diisi dengan mengingati Allah dalam apa keadaan sekalipun.
Ini adalah kerana Allah swt telah memberi jaminan :


“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (QS Ar Ra’du : 28)


Mereka memiliki keperibadiaan yang layak untuk diteladani.


Lalu bagaimana dengan kita?


Sudahkah ibadah kita melebihi mereka sehingga lebih merasa hebat dan yakin kalau 
amalan Ramadhan kita diterima?


Sedarlah bahwa ibadah kita pastinya masih jauh dari kesungguhan para sahabat itu 
sehingga rasa ‘khauf’ dan ‘raja’ yang kita miliki sepatutnya lebih besar berbanding mereka.


Sesungguhnya ini bukanlah suatu perkara yang bersifat ‘fiksyen’. Kita baru sahaja 
meninggalkan stesen ‘ruhi’ di mana kita sudah memenuhkan kembali tenaga diri kita. 
Bateri yang ‘fully charged’ yang kita miliki seharusnya mampu untuk bertahan bagi 
sebelas bulan berikutnya.


Ramadhan memang sudah pergi kerana datang dan pergi sudah merupakan sebahagian 
dari sunnatullah dalam kehidupan ini.


Memang dalam sebelas bulan ke hadapan, tidak ada puasa wajib seperti di bulan Ramadhan
 lagi, tapi sekarang kita masih memiliki amalan puasa yang lain, puasa sunnah 6 hari Syawal 
misalnya,yang keutamaannya telah dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis :


“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 
enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun.” 
(HR Muslim)


Masih ada puasa lainnya seperti puasa sunnah Isnin dan Khamis, puasa ‘Arafah, puasa ‘Asyura, 
puasa Nabi Daud dan sebagianya. Qiyamullail juga masih boleh kita lakukan. Solat sunnah 
ini menempati tingkatan kedua selepas solat fardhu sebagaimana yang disabdakan oleh 
Rasulullah saw :
“Solat yang paling utama sesudah solat wajib adalah qiyamullail.” (Muttafaqun ‘alaih)


Baginda juga menyebutnya sebagai ‘tradisi dari orang-orang soleh’.
Amal ibadah yang menjadi amalan rutin kita selama sebulan Ramadhan diharapkan memang 
sudah menjadi sebuah kebiasaan sehingga ketika Ramadhan telah berakhir, kita tidak 
mengalami kesulitan untuk memulainya kembali.


Ketika masih terasa hangat aura Ramadhan kita, mari kita sama-sama hidupkan kembali 
amal rutin baik kita itu. Menjadikan amalan-amalannya sebagai sebuah kebiasaan sekali pun 
sedikit di mana yang penting kita memiliki amalan pengharap dan rutin dalam 
melaksanakannya kerana barangsiapa yang memiliki amalan rutin yang baik, ia tidak 
akan selamanya mengalami kerugian sekalipun terkena uzur di mana pahala akan tetap 
mengalir untuknya.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahwa Rasululullah saw telah bersabda :

“Apabila seseorang menderita sakit atau sedang berpergian maka dicatat pahala untuknya 
amal yang biasa ia kerjakan di saat ia sihat dan tidak berpergian.” (HR Bukhari)

Semoga kita tidak menjadi manusia Ramadhan yang optimum ibadahnya selama sebulan sahaja manakala kosong di sebelas bulan berikutnya.


Sebaliknya jadilah kita manusia ‘Rabbâni’, yang sentiasa mengingati Allah bila dan 
dalam keadaan bagaimana sekalipun sepertimana ciri-ciri ‘ulul albâb’ yang termaktub dalam 
Al Qur'an :
“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan 
berbaring.” (QS Ali Imran : 191)

Ya Allah, anugerahkan kepada kami rasa takut kepadaMu yang membatasi antara kami dengan 
perbuatan maksiat kepadamu dan berikan ketaatan kepadaMu yang menghantarkan kami ke
 syurgaMu dan anugerahkan pula keyakinan yang akan menyebabkan ringan bagi kami 
segala musibah di dunia ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen

original from
Wan Ahmad

0 comments: