Jumaat, 22 Mei 2009

KENALI ISLAM


Dalam Islam, Allah adalah Tuhan kepada segala makhluk termasuk orang Islam dan bukan Islam. Manusia adalah makhluk Allah yang diciptakan Allah dengan sebaik-baik kejadian.

Secara umum, terdapat tiga unsur yang ada pada diri manusia, iaitu fizikal, akal dan roh.

Tujuan utama manusia diciptakan adalah untuk mengenal dan seterusnya menyembah Tuhan yang menciptanya.

Alam termasuk dunia adalah ciptaan Allah. Antara tujuan diciptakan alam adalah untuk memperlihatkan tanda kebesaran Allah.

Kehidupan pula dilihat sebagai anugerah Allah kepada makhluknya. Islam melihat kehidupan bukan sahaja di dunia malah di akhirat..

Dunia dilihat sebagai medan dalam menentukan sama ada manusia berjaya dalam ujian yang ditetapkan Allah. Kejayaan mereka dilihat apabila berjaya mengenal dan menyembah Tuhan pencipta alam.

Mengenai balasan baik untuk orang Islam ia adalah benar. Ini kerana Islam itu sendiri bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

Dengan kata lain, orang Islam benar-benar mematuhi segala perintah Allah yang disampaikan para nabi terutama Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap orang menyakini adanya Tuhan yang satu, kenabian Nabi Muhammad s.a.w dan hari akhirat.

Balasan neraka diterima orang bukan Islam adalah benar. Begitu juga kepada orang Islam yang derhaka. Balasan sedemikian setimpal dengan segala kepercayaan dan perbuatan mereka.

Seperti yang diterangkan di atas, semua manusia diberi Allah akal dalam mencari dan mengenal kebenaran. Mereka diberi kebebasan sepenuhnya berbanding dengan makhluk lain. Manusia itu disebut sebagai 'rational being' (makhluk yang berakal). Sekiranya orang bukan Islam melakukan kebaikan di dunia seperti tidak pernah menganiayai orang, malah tutur kata dan sifat peribadinya baik, jika dibandingkan sesetengah orang Islam yang hanya pada nama, itulah dianjurkan Islam dan agama lain.

Manusia pada asalnya adalah manusia moral (moral being). Bagaimanapun, Islam melihat ada dua perhubungan utama, iaitu hubungan sesama manusia dan dengan Allah Tuhan Pencipta alam dan manusia.

Manusia akan dinilai berdasarkan kedua-dua hubungan itu. Manusia yang jahil dan sombong sehingga menafikan Tuhan pencipta alam dimurkai Pencipta-Nya.

Berkenaan adanya manusia yang hidup terasing seperti Orang Asli, adalah menjadi kewajipan bagi masyarakat Islam untuk menyampaikan dakwah Islam kepada mereka.

Mereka juga seperti manusia lain dicipta Allah secara sempurna.. Dengan usaha yang gigih, mereka akan dapat memahami cara hidup beragama yang sebenar.

Agama Islam sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Dalam dunia global sekarang, Islam tidaklah asing kepada semua masyarakat manusia.

Seterusnya mengenai pembahagian manusia kepada orang Islam dan bukan Islam atau lebih tepat lagi orang beriman dan tidak beriman, semuanya diasaskan kepada kebebasan manusia memilih cara hidup.

Islam tidak memaksa manusia menganut ajaran Islam. Ajaran Islam diasaskan atas dasar penyerahan diri secara sukarela kepada Allah Tuhan Pencipta segala makhluk.

Perkara ini jelas apabila al-Quran menegaskan, maksudnya: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu telah datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah." (al-Quran, al-Kahfi (18): 28)

Mengenai rahmat Allah hanya kepada orang Islam, itu tidak sepenuhnya benar. Terdapat dua kategori rahmat, iaitu rahmat umum dan rahmat khusus.

Rahmat umum dirasakan kepada seluruh alam dan makhluk kerana semuanya dijadikan Allah itu Tuhan sekalian alam dan segala makhluk. Cuba perhatikan keadaan sekeliling, diri sendiri, betapa nikmat dan rahmat yang manusia dapat.

Udara, alam sekeliling, anggota tubuh dan sebagainya semua adalah rahmat dan rahmat Allah.

Bagaimanapun, rahmat khusus hanya dapat kepada orang yang beriman terutama di akhirat nanti. Ini kerana mereka benar-benar beriman dan melaksanakan segala perintah Allah secara sukarela dan penuh ketaatan.

Adalah adil sekiranya Allah memberi, mengekalkan dan menambah lagi rahmat dan nikmat di akhirat nanti. Antaranya nikmat syurga dan melihat Allah.

Ini sesuai dengan nama dan sifat Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim sebagaimana dalam basmalah, iaitu "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi."

Islam datang membawa rahmat kepada seluruh alam. Risalah Nabi Muhammad s.a.w kepada penduduk dunia seluruhnya sebagai rahmat dan nikmat yang besar. Ini jelas apabila Allah berfirman, maksudnya:

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadikan rahmat bagi sekalian alam." (al-Quran, al-Anbiya'(21): 107)

Dengan menerima ajaran Islam yang disampaikan Nabi Muhammad, manusia akan selamat di dunia dan akhirat. Sesiapa yang kufur dan ingkar mendapat 'kecelakaan' di dunia dan akhirat.

Pembahagian manusia berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, malah lahir pelbagai bangsa dan suku puak, semuanya ada hikmah tertentu.

Ia terutama bagi umat manusia menjalin hubungan yang sihat antara satu sama lain, seperti kenal mengenali dan bantu membantu.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya." (al-Quran, al-Hujurat (49): 11)

Sememangnya Allah berkuasa menjadikan mereka umat yang satu. Allah berfirman, maksudnya: "...Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu..." (al-Quran, al-Maidah (5): 48)

Malah Islam melihat semua manusia berasal daripada keturunan yang satu iaitu Adam dan Hawa. Allah berfirman, maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai." (al-Quran, al-Nisa'(4): 1)

Khamis, 21 Mei 2009

GEMPA BUMI DI MEKAH


KOSMO,KHAMIS,21 MEI 2009

RIYADH - Perkhidmatan pemantau gempa bumi Arab Saudi menggesa penduduk di beberapa buah kampung di barat negara itu berpindah selepas gegaran berukuran 5.39 pada skala Richter dikesan berlaku.

Pusat Gempa Bumi dan Gunung Berapi Kebangsaan Arab Saudi menyatakan dalam satu kenyataan bahawa satu gempa bumi yang berlaku menjelang Subuh itu tidak menyebabkan kerosakan, kematian atau kecederaan.

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan semalam meminta penduduk di lima buah kampung di barat kota Mekah supaya berlindung di khemah-khemah perlindungan yang dibina oleh pihak berkuasa.

Stesen-stesen televisyen Arab melaporkan bahawa kebanyakan penduduk sudah berpindah ke pusat perlindungan itu.

Pihak berkuasa turut mengedarkan topeng perubatan selepas orang ramai membuat aduan mengenai bau yang tidak menyenangkan akibat gempa bumi itu.

Sebelum ini, gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter turut dikesan berlaku di kawasan sama. - AP

Rabu, 20 Mei 2009

RAKYAT AFGANISTAN DERITA MENTAL


Berita Harian, Rabu, 20 Mei 2009

Dalam tempoh 30 tahun kebanyakan penduduk saksikan pelbagai keganasan akibat perang

DI sebuah hospital bercat putih di pinggir Kabul, kelihatan sekumpulan doktor bertungkus lumus menyelesaikan masalah paling besar melanda rakyat Afghanistan - penyakit mental.

Langsir tergantung di pintu masuk bagi mengelak udara sejuk yang menggigit tulang, manakala pesakit bersama keluarga yang datang melawat, memenuhi wad terbuka itu.

Data kajian Kementerian Kesihatan Afghanistan menunjukkan kira-kira 66 peratus rakyat negara itu mengalami masalah kesihatan mental.

Malangnya hospital di pinggir Kabul itu adalah satu-satunya kemudahan di Afghanistan yang dikhususkan bagi menangani masalah penyakit mental dan ia hanya mempunyai 40 katil.

Pakar psikiatri hospital itu, Dr Musadiq Nadimee menunjukkan wajah bimbang ketika beliau memandang sekeliling.

“Hospital ini hanya merawat kes rumit yang dirujuk kepada kami dari seluruh negara,” katanya sambil mengangkat bahu.

Seorang bapa yang berada di hospital itu mengaku, anak remajanya, Hamida mengalami skizofrenia.

“Keadaannya semakin baik sejak dirawat di hospital ini,” katanya.

Bagaimanapun kebanyakan pakar bersetuju bahawa masalah dan penyakit mental yang dihadapi penduduk Afghanistan sebenarnya jauh lebih berat berbanding apa yang mereka pernah temui di hampir semua negara lain.

Penduduk negara itu mempunyai terlalu sedikit rasa percaya antara satu sama lain. Kadangkala perbuatan kejam yang dilakukan oleh satu pihak hanya dianggap cara hidup biasa di negara itu.

Seorang wartawan tempatan, Hanif Sherzal berkata, Afghanistan adalah sebuah negara yang dipenuhi trauma. Dalam tempoh 30 tahun, beratus ribu rakyat negara itu terbunuh dan kebanyakan penduduknya menyaksikan pelbagai bentuk keganasan pada satu peringkat kehidupan mereka.

“Rakyat Afghanistan terus mengalami trauma dengan pengalaman silam dan keganasan yang berterusan. Kebanyakan mereka tidak berasa selamat dan beranggapan tiada siapa peduli keselamatan mereka,” katanya.

Malah kata Hanif mereka yang mempunyai kesihatan fizikal yang baik dan tinggal di tempat selamat terus menerus mendengar berita buruk hampir setiap hari dan ini juga menjejaskan kehidupan mereka.

Pegawai kesihatan berkata kebanyakan masalah mental yang berlaku dikaitkan dengan pengalaman yang dilalui penduduk Afghanistan.

Mereka turut mengakui bahawa negara itu tidak mempunyai kemudahan yang cukup atau doktor untuk menangani kes paling serius.

Masalah kesihatan lain seperti kematian ibu dan bayi mendapat lebih perhatian.

Bagaimanapun penasihat kanan kepada menteri kesihatan, Dr Abdullah Fahim berkata jika masalah kesihatan mental tidak ditangani segera, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan sosial penduduk Afghanistan.

“Penduduk saling tidak mempercayai manakala perbuatan kejam dilihat sebagai perkara biasa. Jika ini berterusan masa depan penduduk dan negara ini akan gelap,” katanya.

Berikutan kurang memahami, ramai penduduk Afghanistan yang menderita penyakit mental, dianggap terkena sihir.

Sebilangan mereka dirantai di dalam bilik serta gua atas alasan anggota keluarga percaya jin atau roh jahat meninggalkan tubuh.

Namun bagi yang lain, keluarga tidak mempunyai pilihan kecuali membiarkan mereka begitu saja selepas tidak lagi dapat menangani atau membeli ubat untuk merawat penyakit yang dialami.

Namun ada sejumlah kecil pesakit mental kini dijaga badan amal tempatan,

antaranya termasuk sebuah yang dikendalikan Pertubuhan Bulan Sabit Merah.

Pengarahnya Mohammed Zahaid menceritakan mengenai kisah seorang wanita yang enggan makan dan minum selama beberapa hari. Wanita sebaliknya asyik menangis dan menyebut nama bekas presiden Afghanistan Najibullah.

Apabila seorang pekerja membawa gambar bekas presiden itu, wanita berkenaan ceria kembali dan mula mahu makan dan minum.

Bagaimanapun wanita berkenaan mungkin salah satu daripada sejumlah kecil kes pesakit yang bernasib baik.

Di negara yang dilanda terlalu banyak masalah seperti Afghanistan isu kesihatan mental semakin dilupakan.

AKAL PEMIMPIN, NAFSU TAWANAN?

NAFSU adalah musuh manusia. Ia menjadi laluan syaitan untuk melalaikan dan menyesatkan manusia. Sebab nafsu, manusia boleh menjadi tamak haloba, hilang sifat kemanusiaannya hingga sanggup menipu, menyakiti dan mencederakan orang.

Apabila nafsu menguasai diri, ibarat akal yang sudah di bawah pengaruh ganja, hilang belas kasihan apabila sudah gian hingga sanggup berbuat apa saja, hatta membunuh orang lain.

Sejak kecil lagi anak dibekalkan dengan nafsu, ada yang positif dan ada yang negatif. Nafsu perlu dididik sejak kecil dan ibu bapalah yang patut memainkan peranan itu, menyesuaikan dengan kebaikan.

Imam Al-Ghazali pernah menyarankan, agar anak tidak dimuakan (dimanjakan) dengan kesenangan yang akan menggemukkan hawa nafsu.

Sesekali, biarlah anak berasa sedikit kesukaran dalam kehidupannya. Jangan pula berkata: “Biarlah, itukan budak-budak, nanti besar dididiklah.”

Ini sebenarnya pendapat yang salah kerana hakikatnya jika kecil payah dididik, apabila remaja atau dewasa lagilah sukar. Ini kerana nafsu tua mengikut tuannya, lebih meningkat umur, lebih payah dibentuk dan dididik.

Fahamkan kepada anak sejak dari kecil mengenai nafsu jahat dan baik. Biasakan anak dengan tuntutan syariat seperti solat, puasa dan bab aurat, supaya ia menjadi suatu kebiasaan dan tabiat.

Bantulah anak menahan nafsu yang negatif kerana kegagalan mendidik nafsu anak sejak dari awal, lahirlah manusia dewasa yang berbangga dengan maksiat dan kemungkaran dilakukannya tanpa secebis rasa kekesalan terhadap apa dilakukannya.

Zaman remaja adalah waktu di mana cabaran hawa nafsunya amat besar, lebih-lebih lagi dugaan dan godaan sekeliling amat hebat, dengan gadis yang menawan, pusat hiburan di sana-sini, pengedar dadah bertebaran mencari mangsa, kekayaan dan kemewahan dengan cara salah, kecanggihan Internet yang tidak bertapis dan macam-macam lagi.

Remaja yang tidak ada ‘back up’ (pelindung) iman dalam dirinya akan mudah tewas dan hanyut dengan gelombang nafsunya. Tetapi, remaja berjiwa Islam akan membezakan perkara yang makruf (baik) dan yang mungkar (jahat).

Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat Nabi s.a.w berkata: “Binasalah orang yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar.”

Jangan nanti pula semuanya disapu, yang baik dilakukan tetapi yang mungkar tidak ditinggalkan. Jika begitu akan berlaku kecelaruan dalam hidup.

Senjata menghadapi nafsu adalah Islam, iman, akal dan ilmu. Sebagaimana kata-kata seorang cendekiawan Islam: “Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin serta nafsu sebagai tawanan dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin serta akalnya sebagai tawanan.”

Justeru, tepuk dada tanya iman. Apakah iman kita mampu mengekang nafsu atau kita hanya mengikut kata nafsu?

HENDAK PUJI ATAU HUKUM?

MyMetro, Rabu, 20 Mei 2009

MENDIDIK anak untuk cemerlang memerlukan ilmu keibubapaan selain naluri kemanusiaan.
Jika anda memahami mengapa seseorang anak melakukan sesuatu perkara, pasti lebih mudah anda merangka penyelesaian menangani dan menasihati mereka. Cara terbaik ialah meletakkan diri anda di tempat mereka dan tanya diri sendiri kenapa aku melakukannya begini.


Gambar Hiasan

Satu perkara yang anda perlu faham mengenai tingkah laku adalah:

Semua tingkah laku adalah untuk kebaikan diri sendiri. Mungkin tingkah laku anak anda tidak seiring adab sopan, peraturan atau disiplin tetapi percayalah mereka melakukannya kerana ada sesuatu yang mereka cari untuk kepuasan diri sendiri. Selepas memahami 'hukum' ini anda perlu memikirkan sama ada anak perlu dipuji atau dihukum. Ini penting bagi melahirkan anak yang positif minda.

Namun, tidak ramai ibu bapa tahu bagaimana memuji atau menghukum anak. Kadang kala pujian ibarat melepaskan batuk di tangga.Ada ketikanya hukuman tidak setimpal, tidak adil dan terlalu mengikut perasaan. Ini menyebabkan anak tidak mendapat pengajaran daripada kesalahan itu.

Hukuman terdiri dalam pelbagai bentuk:

1. Dimarahi dengan kata-kata tetapi tidak menyentuh sifat anak, hanya menyentuh tingkah laku mereka.

2. Dipukul sedikit (bagi anak-anak yang belum remaja).

3. Didenda melakukan kerja-kerja rumah.

4. Disekat sementara dari mereka menikmati hiburan kegemaran atau keluar bersama rakan-rakan.

5. .Dikurangkan wang saku untuk tempoh tertentu.

Adalah penting hukuman diberikan selepas anak-anak dimaklumkan kesalahan mereka. Jika kesalahan pertama, jangan terus dimarahi atau didenda.Namun, beritahu anak hukuman bakal menimpa mereka jika mengulangi kesalahan yang sama.

Untuk memuji dan memarahi atau menghukum secara berkesan, anda boleh menggunakan kaedah ini:

1. Maklumkan kepada anak-anak, sejak awal bahawa anda sentiasa melihat dan memberitahu mereka mengenai perkembangan tingkah laku mereka. Nyatakan bentuk ganjaran atau hukuman bakal diterima.

2. Pujian dan hukuman mesti disegerakan.

3. Beritahu kebaikan atau kesalahan secara terperinci.

4. Nyatakan dengan jelas perasaan anda dan kesan tingkah laku mereka terhadap maruah keluarga.

5. Diam seketika agar anak anda dapat memahami dan merasakan sama apa yang anda rasai.

6. Jika mahu memuji, galakkan anak-anak mengulangi tingkah laku baik itu. Jika ia suatu hukuman, pastikan anak anda tidak mengulanginya. Beritahu hukumannya jika mengulangi perbuatan itu.

7. Lihat mata anak ketika anda bercakap dan sentuh mereka bagi membina keyakinannya.