Rabu, 7 September 2011

Kelebihan Sayidina umar Dalam Ilmu Agama!

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

Hadith :
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a:” Rasulullah SAW pernah bersabda:” Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya:” Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”

Huraian

Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA.

Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau. Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil. 

Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)

Sumber:JAKIM 

Solatku

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***



Aku adalah seorang anak kepada sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah. Diriku diberikan pendidikan agama secara terus menerus. Sejak kecil, aku diajar untuk mengenali Islam. Tadikaku adalah sekolah agama, di peringkat sekolah kebangsaan, aku dimasukkan ke sekolah agama. Sekolah menengah ku juga disisipkan pelajaran tambahan Bahasa Arab dan Kelas Kemahiran Al-Quran. Pokoknya, aku memang bertuah kerana diberikan nafas Islam dalam hidupku.

Aku menginjak awal remaja, seterusnya cukup umur untuk diwajibkan menunaikan solat. Namun, hatiku berasa berat untuk menunaikan solat. Aku hanya mengangguk apabila ibu bapaku bertanya apakah aku sudah menunaikan solat. Aku mengunci diriku di dalam kamar buat beberapa ketika dan keluar hanya untuk memberitahu yang kononnya aku sudah solat. Pernah juga ibu bapaku ragu dengan kenyataanku, namun aku berjaya meyakinkan mereka.

Beberapa program motivasi telah aku sertai, namun semuanya hanya berjaya menanamkan rasa untuk solat dalam diriku untuk masa yang sangat singkat. Selepas itu, aku teruskan tabiat lamaku. Aku lebih rela menipu daripada menunaikan solat. Betapa kuatnya pengaruh syaitan ke atas diriku.

Hari berganti hari. Hatiku sering dilanda resah tanpa sebab. Kadang kala, aku rasa ingin menangis, namun tiada alasan mengapa. Diriku terasa sedih, pilu, gelisah dan kosong. Perasaan itu semakin kuat kesannya apabila aku bersendirian. Namun, tak terlintas dalam hatiku apa sebabnya.

Satu petang maghrib, aku melihat adikku melepak dan bersembang di birai katil. Aku berasa agak pelik kerana sepatutnya sekarang mereka sudah solat, lalu aku mengarah mereka untuk mengambil wudhu' dan pergi untuk menunaikan solat. Dengan langkah longlai, mereka menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dan seterusnya menunaikan solat.

Mungkin sudah ketentuan Allah, sedang aku melihat adik-adikku khusyuk solat, terdetik di benakku, " Kenapa aku menyuruh adik-adikku bersembahyang sedangkan diriku tidak sembahyang?". Tiba-tiba hatiku luruh. Aku diam tanpa kata. Perasaan sebak memenuhi rongga dadaku. Ya, benar kata benakku. Aku menyuruh adikku menunaikan solat walaupun mereka belum akil baligh, tapi aku yang sepatutnya menyembah Allah yang Maha Esa tidak pula menunaikan kewajipanku. Tanpa ku sedari, air mata luruh di pipi.

Pantas kakiku menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu'. Dengan rasa keinsafan yang terbit dalam sanubari, aku mengangkat takbir untuk pertama kalinya dengan hati yang penuh ketenangan. Setiap rukukku, sujudku terasa begitu bermakna. Bacaan Al-Fatihahku terasa begitu sayu. Betapa sebenarnya rohaniku rindu pada Allah. Betapa jiwaku sebenarnya meronta ingin menghadap Allah. Betapa sebenarnya aku mahu solat.

Tidak lama kemudian, tiba pula bulan Ramadhan. Aku bertekad untuk belajar memenuhi solat 5 waktu sepanjang bulan itu. Aku melawan nafsuku semata-mata untuk menunaikan solat. Hatiku menjadi lebih tenteram. Jiwaku tenang. Tiada lagi keresahan merundung jiwa. Kini aku tahu mengapa hati sering dibelenggu kesedihan. Aku rindukan Allah. Aku terlalu merinduiNya...

Kini, aku merasakan hari-hariku lebih bermakna dengan kehadiran rakan baik baruku, SOLAT. Aku berharap hidupku akan terus dipenuhi solat, tak kisahlah yang wajib atau yang sunat. Amin... 
   

Sumber: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2680

Isnin, 22 Ogos 2011

Renungan...

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***


"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yg paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah org yg memberi peringatan." - Imam Hasan Al-Basri

Ahad, 21 Ogos 2011

MAKSUD DOA KHATAM AL-QURAN

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

Ya Allah,
rahmatilah kami dengan al Quran,
jadikanlah ianya sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami.

Ya Allah,
Ingatkanlah apa yang kami lupa daripadanya,
berikanlah ilmu yang belum kami ketahui mengenainya,
anugerahkanlah kepada kami untuk membacanya di tengah malam dan penghujung siang.
jadikanlah ia sebagai hujah bagi kami wahai tuhan seru sekalian alam.

Ya Allah,
perbaikilah bagi kami agama kami kerana dialah penjaga urusan kami,
perbaikilah bagi kami dunia kami kerana di dalamnya kami hidup,
perbaikilah bagi kami akhirat kami kerana ia tempat kembali kami,
jadikanlah hidupan sebagai tambahan segala kebaikan bagi kami dan
jadikanlah kematian sebagai kerehatan kami dari segala kejahatan
.

Ya Allah,
jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghabisannya dan
sebaik-baik amal kami adalah penutupnya dan
sebaik-baik hari bagi kami ialah hari berjumpa denganMu.

Ya Allah,
kami memohon kepada Mu kehidupan yang tenteram, kematian yang tenang dan
tempat kembali yang tidak menyedihkan dan tidak membuka aib.

Ya Allah,
kami memohon kepada Mu sebaik-baik permohonan,
sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu,
sebaik-baik amal, sebaik-baik pahala,
sebaik-baik kehidupan, sebaik-baik kematian,
teguhkanlah, beratkanlah timbangan kebaikan kami,
teguhkanlah keimanan kami, tinggikanlah darjat kami,
terimalah sembahyang kami.
kami memohon ketinggian syurgaMu,
keharusan mendapat rahmatMu dan keteguhan pengampunanMu,
keselamatan dari segala dosa, kejayaan dari semua kebajikan,
keuntungan syurga dan keselamatan dari neraka.


Ya Allah,
perbaikilah akhir hayat kami dalam segala perkara.
selamatkan kami dari kenistaan hidup di dunia dan siksaan di akhirat.

Ya Allah,
Anugerahkanlah kepada kami ketakutan kepadaMu
yang dapat menghindarkan kami dari berbuat maksiat kepadaMu,
ketaatan yang dapat menyampaikan kami kepada syurgaMu,
keyakinan yang dapat memperkecilkan musibah dunia yang menimpa kami,
berikanlah kenikmatan kepada kami dengan pendengaran, penglihatan dan
kekuatan kami selama hidup kami, jadikanlah ia sebagai peninggalan kami,
jadikanlah pembalasan kami kepada orang yang menzalimi kami.
tolonglah kami menghadapi orang yang memusuhi kami.
janganlah Engkau jadikan dunia sebagai kehendak kami yang paling besar dan
pengetahuan paling akhir bagi kami,
janganlah Engkau beri kekuasaan atas kami kepada orang yang tidak mengasihi kami.


Ya Allah,
janganlah Engkau tinggalkan dosa-dosa pada kami
melainkan Engkau telah mengampuninya,
janganlah Engkau tinggalkan kesusahan kepada kami
melainkan Engkau telah mengembirakannya.
janganlah Engkau tinggalkan hutang-hutang kepada kami
melainkan Engkau telah menunaikannya dan
janganlah Engkau tinggalkan sesuatu keperluan dunia dan akhirat pada kami
melainkan Engkau telah menunaikannya.

Ya Allah,
berilah kebaikan kepada kami di dunia dan akhirat,
peliharalah kami daripada azab api neraka.
selawat dan salam kepada Rasulullah junjungan yang mulia, para keluarga dan sahabat-sahabat baginda,
Subha narabi ka rabbil izzati amma ya sifun..wasalamun ‘alal mursalin walhamdulillah hirabbil alamin.
Amin ya rabbal ‘alamin.



Sumber copyright...:http://kasihdihati.blogspot.com/2010/01/maksud-doa-khatam-quran.html

Rabu, 10 Ogos 2011

Sejarah Bulan Ramadhan

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

Sejarah Bulan Ramadhan
1) Ramadhan: Ertinya panas terik
2) Bulan di turunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
3) Berlakunya Perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.
4) Bulan dimana Nabi s.a.w mengambil semula Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.
5) Di dalamnya dipilih ada Malam Al-Qadar yakni lebih baik daripada 1000 bulan.
6) Di pilih untuk ibadat puasa.
7) Di pilih untuk lain2 ibadat (tadarus Al Quran)


Kredit : Ohduniaku Bulan Ramadhan 2011 | Ohduniaku http://ohduniaku.com/bulan-ramadhan-2011#ixzz1Uc3Xkaz4