Khamis, 23 Julai 2009

Sesi soal jawab...pendapatan yang halal dan haram...

Assalamualaikum
Ustaz..
ada menyatakan duit dari perkejaan peragaan (wanita)adalah haram
jadi disini saya nak tanya adakah sumber pendapatan dari pekerjaan yg mewajibkan kita berpakaian mandi(renang)dan pergaulan lelaki dan wanita yg bukan muhrim dikira sebagai haram.

waalaikumussalam,
Ya haram hukumnya..carilah pekerjaan yang lain.

Punca rezeki/pendapatan jadi haram:
1.bertentangan dgn syariah- niat tidak menghalalkan cara…walau sebaik mane niat kita itu @taat pada perintah yang haram atau caranya bertentangan dgn syariah, maka akan jadi haram

2.pekerjaan yang jelas haramnya -melibatkan arak, judi, rasuah, penyelewengan, babi, pelacuran, seks bebas, pergaulan bebas, terbuka aurat dsbgainya

3. melalaikan dari mengingati allah: tidak solat, tak sempat hadir majlis ilmu, tak puasa, tak tunai haji, tak berzakat, dll

4. gharar- terlibat dengan penipuan, salah guna kuasa dll

untuk maklumat tambahan blh baca artikel dibawah:
Punca Rezeki Diperoleh Penentu Keberkatan

ISLAM sangat mengambil berat persoalan berkaitan sumber atau punca yang membawa kepada rezeki yang diperolehi. Bahkan, kita juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati agar rezeki yang diperolehi datangnya dari sumber yang bersih, elok dan halal.
Sebagai manusia yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita diwajibkan bergiat dan berjuang dalam kehidupan untuk mencari rezeki yang halal bagi keperluan diri, keluarga dan lainnya yang ada di muka bumi ini menurut bakat dan kebolehan masing-masing agar semua rezeki yang kita perolehi itu menerusi hasil yang kita usahakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak dalam segala keadaan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah : 10).

Harta yang banyak, tetapi tidak ada keberkatan padanya tidak membawa apa-apa erti, malah boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup menerima rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Sebaliknya, harta yang sedikit tetapi berkat akan membawa ketenangan dan mempunyai kesan yang baik dalam segenap kehidupan.

Semua jenis pekerjaan yang kita ceburi di dunia ini sama ada berkhidmat dengan kerajaan mahu pun swasta atau sebagai peniaga, petani, nelayan, buruh dan sebagainya hendaklah memastikan rezeki yang diperolehi itu betul-betul halal dan tidak terkeluar dari landasan syariat Islam yang sebenar seperti tidak ada unsur penipuan, penindasan, rampasan, khianat, riba, rasuah dan sebagainya.

Seseorang yang memiliki harta yang banyak, tempat tinggal yang besar dan cantik, dikelilingi anak dan isteri serta segala kemewahan yang dimiliki belum tentu hidupnya tenteram dan bahagia. Sering kali berasa resah dan gelisah takut kalau segala yang dimiliki itu akan lenyap atau hilang daripadanya. Ia berpunca daripada keberkatan yang dicabut oleh Allah SWT kerana kelalaian sendiri yang tidak mengikut lunas syariat ditetapkan dalam mencari harta atau rezeki.

Keberkatan daripada Allah SWT amat penting dalam kehidupan sesebuah keluarga. Oleh itu, seseorang itu perlu memastikan agar rezeki yang dibawa balik ke rumah untuk isteri dan anak adalah dari sumber halal. Setiap sen dari sumber haram menyebabkan musnahnya keberkatan di rumah. Setiap wang yang haram masuk ke dalam perut anak kita sebenarnya menyumbatkan api neraka ke dalam perut mereka dan Allah SWT mencabut keberkatan dari anak itu.

Ia dapat dilihat pada zaman ini iaitu berapa ramai anak yang diharapkan menjadi manusia baik tetapi akhirnya menjadi racun kepada ibu bapa dan masyarakat.

Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki agar jangan sampai kita terjebak kepada perkara haram.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan memasuki Syurga daging yang tumbuh daripada yang haram, api Neraka lebih utama baginya."

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis lain bersabda bermaksud:

"Tiada makanan yang lebih baik dimakan seseorang manusia melainkan apa yang diperolehi dengan titik peluhnya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud memperoleh rezekinya dengan titik peluhnya sendiri." (Riwayat Bukhari)

Dalam hal ini, Islam amat menitikberatkan bentuk atau cara rezeki itu diperolehi. Umumnya, bentuk atau cara mendapat rezeki dan kaedah menggunakannya hendaklah menepati panduan syarak.

Para peniaga atau ahli korporat perlu diingatkan supaya tidak melakukan kezaliman kepada oranglain. Namun, falsafah yang sering digunapakai adalah siapa yang kuat akan dapat memiliki semuanya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sebagai seorang Islam, setiap gerak langkah kita adalah tertakluk kepada hukum-hakam syariat. Mengapa mesti menzalimi orang lain apabila kita ingin mendapatkan sesuatu keuntungan atau sebagainya.

Manusia sering kali hilang pertimbangan apabila perut atau lebih tepat lagi nafsu menjadi matlamat. Mereka ini akhirnya akan hilang maruah diri, terbabit dalam rasuah, pecah amanah dan sebagainya hingga membawa kepada tindakan 'menyembah' sesama makhluk dan bukan menyembah Allah SWT.

Dari...Abu Saufi

0 comments: