Selasa, 23 November 2010

Warkah Buat Wanita

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***


"Kerana dirimu begitu berharga." Biasa mendengar kata-kata ini diselitan iklan rancangan-rancangan televisyen. Model wanita rupawan pasti menjadi alat untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan. Tanpa disedari, diri yang bangga dipertontonkan sebenarnya telah diperalatkan oleh pihak yang ingin mengaut keuntungan.

Cantik.. adakah pada rupa? Soalan yang pasti jawapannya 'Ya' secara umum.


Dunia Ini Adalah Hiasan dan Sebaik-baik Hiasan Adalah Wanita Solehah 
Tetapi jikalau lelaki memilih isteri hanya semata melihat cantik itu pada rupa, andai hilang cantik itu berubahlah setianya nanti. Mata mula meliar mencari yang jelita. Cinta pudar bertukar rasa.

Namun jika cantik itu dilihat pada budi, kerut di wajah isteri seakan hilang pergi kerna terkenang baiknya budi isteri. Cinta yang disemai semakin utuh bersemi dan terbinalah kasih yang abadi ke syurga-Nya nanti.

Wanita yang dikasihi sekalian,

Jangan kau menilai cantik itu hanya pada paras rupa, bukan itu sebenarnya menjadi ukuran. Kerana pasti nanti ada yang melihat kecantikanmu andai dirimu berakhlak mulia. Kerana akhlak itu tempat tertambatnya cinta pada mata yang melihat.

Andai cantik tetapi tidak berakhlak, ibaratnya seperti bunga dedap. Indah luaran tetapi baunya tidak tertahankan bagi yang menghidu. Mendekati hanya kerna indah, tetapi untuk berlama-lamaan sungguh tidak sanggup sekali.

Andai kurang cantik di mata manusia, tetapi berakhlak mulia, ibaratnya seperti bunga seroja. Biar putih salju, tetapi manisnya dihirup sang lebah menghasil madu. Memberi manfaat pada yang memerlu.

Andai cantik juga berakhlak mulia, itu adalah tambahan buat dirimu. Ibarat mawar menguntum indah, wanginya menarik sesiapa yang mendekati. Namun kecantikannya bukan mudah untuk direnggut kerana ada duri yang tajam mengawasi.

Di antara kuntum-kuntuman bunga ini, jadilah dirimu seperti mawar. Namun andai dirimu bukanlah sejelita pandangan manusia, cukuplah dirimu untuk punyai akhlak yang mulia. Suatu hari nanti, pasti ada lebah yang mengintai meminta izin penuh kesopanan untuk menyunting manismu di taman larangan.

Satu yang kau perlu ingat, kecantikanmu bukan barang tontonan untuk dipamerkan untuk semua lelaki, ia hanya buat suamimu. Yang Allah ciptakan buatmu sebagai pelengkap dan pelindung dirimu. Jagailah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hakmu.

Ketaatanmu untuk menutup aurat itu adalah hak Allah yang perlu kau jagai. Ibarat Dia menumbuhkanmu di taman larangan, ibu bapamu yang menyemaimu dan menjagaimu sehingga tiba saatnya nanti kau akan dibawa keluar oleh seseorang yang boleh menjagaimu pula dengan izinnya. Kerana itu, sebelum engkau dibawanya, hendaklah dirimu bersedia serta menjaga maruah dan ketaatanmu hanya kerana-Nya.

Wanita muslimah yang dikasihi.

Diriku yang hanya sebutir pasir di lautan manusia ini ingin rasanya membawa kalian bersama mengerti bahawa kehidupan ini bukan kehidupan yang kekal. Tiba saatnya pasti kita kan pergi. Kecantikan yang dibangga-banggakan sekian manusia jua tidakkan memanfaatkan kelak. Yang dikira adalah amal soleh, doa anak-anakyang soleh/solehah dan amal jariah. Bukankah semuanya menuntut sebuah akhlak yang mengalir dalam diri dan hati kita??

Ingatanku ini seawalnya hanya kutujukan buat diriku, dan ingatan kasihku pada kalian memungkinkan tanganku ringan mencoretkannya. Kumohon Allah pelihara kehidupan kita dengan keberkatan yang berpanjangan. Semoga bertemu di syurga-Nya kelak insyaAllah. Ameen ya Rabbal Alamin..

Sumber : iluvislam.com

0 comments: