Rabu, 17 Jun 2009

Ummu Waraqah dianiaya orang

UTUSAN MALAYSIA
16 Jun 2009 / 22 Jamadil Akhir 1430(SELASA)

UMMU Waraqah adalah puteri Abdullah bin al-Haris. Beliau merupakan golongan wanita awal dari kaum Ansar memeluk agama Islam.

Dia terkenal sebagai seorang yang istiqamah dalam membaca dan memahami isi kandungan al-Quran, menghafalnya dan mengumpulnya pada zaman nabi Muhammad. Malah, dia selalu mengabdikan dirinya untuk beribadah, taat dan mencari keredaan Allah pada setiap masa.

"Ibu harap kamu akan memiliki sifat peribadi mulia Ummu Waraqah apabila dewasa nanti," kata jiran Ummu Waraqah kepada anak perempuannya.

"Mengapa ibu berkata begitu?" soal anaknya yang masih tidak faham maksud ibunya.

"Kamu lihat sahaja kehidupan Ummu Waraqah pada setiap hari. Dia tidak pernah leka dari membaca al-Quran dan beribadah tidak kira waktu siang atau malam.

Malah, dia selalu menjaga solat dan ibadat puasanya. Alangkah mulianya hidup Ummu Waraqah yang menghafal al-Quran dan memahami isi kandungannya," jelas ibunya agar anaknya memahami apa yang sebenar yang ingin disampaikan kepadanya.

"Insya-Allah ibu. Semoga masin kata-kata ibu itu." balas anaknya lalu berjalan menuju ke pintu rumahnya.

"Kamu hendak ke mana?" ibunya hairan melihat kelakuan anaknya.

"Saya mahu belajar mengaji dan menghafal al-Quran daripada Ummu Waraqah," jawab anaknya lalu membuka pintu dan keluar rumah.

Nabi Muhammad menghormati Ummu Waraqah kerana dia menjaga ibadahnya, bertakwa dan mencari keredaan Allah, mengumpul, menghafal dan membaca al-Quran. Nabi Muhammad selalu mengunjungi Ummu Waraqah bertanyakan khabar beritanya.

Dia seorang wanita yang memiliki semangat tinggi terhadap agama Islam dan bercita-cita untuk mati syahid untuk menentang pihak musuh Islam dalam peperangan.

Pada suatu hari, nabi menyampaikan berita gembira kepada Ummu Waraqah bahawa dia merupakan seorang wanita syahid. Semenjak hari itu, nabi memanggilnya dengan gelaran as-syahidah dan akhirnya masyarakat sekeliling beliau mengenalnya dengan gelaran itu.

Pada suatu ketika nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Waraqah untuk bertanyakan khabar. Ummu Waraqah menjemput masuk nabi Muhammad masuk ke dalam rumahnya. Nabi Muhammad memuji Ummu Waraqah kerana kecintaan yang mendalam dalam membaca, menghafal dan mengumpul al-Quran sehingga menjadi seorang yang hafaz al-Quran.

"Wahai Ummu Waraqah! Kamu boleh menjadi imam bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggal kamu." perintah Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah. Kalau begitu berikan seorang tukang laung azan (muazin) di rumah saya," mohon Ummu Waraqah.

"Baiklah. Nanti saya hantarkan seseorang untuk menjadi muazin di rumah kamu," balas Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad menghantar seorang lelaki tua untuk menjadi muazin di rumah Ummu Waraqah. Maka rumah Ummu Waraqah menjadi tempat solat lima waktu bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggalnya dan Ummu Waraqah sendiri menjadi imamnya.

Ini adalah penghormatan yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada Ummu Waraqah kerana dia merupakan seorang yang pakar dalam membaca al-Quran.

Ummu Waraqah seorang wanita yang mahu berjuang di medan perang dan mati syahid seperti sahabat nabi yang lain.

Dia bercita-cita untuk berjihad bersama kaum Muslimin dan mendapatkan pahala mujahidin. Apabila mendengar seruan untuk keluar berjihad dalam Perang Badar, Ummu Waraqah bergegas datang dari tempat tinggalnya yang di luar kota Madinah untuk berjumpa Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, izinkanlah saya pergi bersama kamu. Saya boleh mengubati orang-orang yang terluka dalam peperangan dan merawat orang sakit. Semoga Allah mengurniakan pahala orang mati syahid kepada saya," pohon Ummu Waraqah kepada nabi Muhammad yang bersiap sedia untuk keluar bersama pasukan tentera Islam.

mati syahid

"Sesungguhnya Allah akan mengurniakan pahala orang yang mati syahid pada kamu. Pulanglah dan tinggal di rumah kamu kerana sesungguhnya kamu adalah orang yang akan mati syahid," jawab nabi Muhammad.

Ummu Waraqah tidak menentang kata-kata nabi itu. Dia pulang ke rumahnya dan tinggal di rumahnya mengikut arahan nabi. Ummu Waraqah selalu berdoa kepada Allah agar dia mendapat syahadah di jalan Allah sambil menanti hari-hari yang dikatakan oleh nabi itu. Sesungguhnya nabi tidak berkata-kata mengikut sesuka hatinya melainkan ucapannya adalah wahyu.

Ummu Waraqah hidup sehingga zaman khalifah Umar al-Khatab. Pada masa itu, Ummu Waraqah memiliki dua orang hamba iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Hamba inilah yang menjaga kehidupan Ummu Waraqah pada usia tuanya. Ummu Waraqah berjanji akan membebaskan mereka berdua apabila dia meninggal dunia.

"Bagaimana kita bunuh sahaja perempuan tua itu supaya kita bebas dengan cepat?" cadang hamba lelaki kepada hamba wanita yang sedang memasak di dapur.

"Saya sebenarnya tak sabar lagi ingin mengecap hidup sebagai seorang yang bebas," sambung hamba lelaki itu memancing perhatian hamba wanita yang hanya mendiamkan diri.

"Saya takutlah......" jawab hamba wanita dengan nada ketar.

"Kita bunuh dia pada waktu malam semasa semua orang sedang tidur. Kemudian kita larikan diri jauh dari sini. Awak jangan takut. Kita akan selamat..." hamba lelaki itu mendedahkan rancangan jahatnya.

"Seandainya begitu, saya setuju...."

Pada suatu malam, mereka berdua bangun dan memasuki bilik Ummu Waraqah. Ummu Waraqah sedang tidur nyenyak dan tidak menyedari ada orang memasuki biliknya.

Hamba lelaki itu menangkap tubuh Ummu Waraqah lalu hamba wanita itu menyerkapnya dengan guni. Hamba lelaki itu mengikat guni itu dengan sekuat hatinya sehingga Ummu Waraqah lemas lalu meninggal dunia. Kemudian kedua hamba itu melarikan diri keluar dari kota Madinah.

"Demi Allah, saya tidak mendengar suara bacaan al-Quran dari ibu saudara saya, Ummu Waraqah malam tadi. Saya mesti pergi ke rumahnya untuk menjenguknya kerana takut ada sesuatu yang tidak baik berlaku pada dirinya," kata khalifah Umar al-Khatab pada keesokan pagi.

Apabila khalifah Umar al-Khatab sampai di rumah Ummu Waraqah, tiada siapa yang kelihatan di rumahnya. Kemudian beliau memasuki bilik tidur Ummu Waraqah dan mendapati Ummu Waraqah terbungkus dalam guni di atas katilnya. Beliau memanggil semua orang ke rumah Ummu Waraqah untuk memberitahu tentang berita kematiannya.

Ummu Waraqah berjaya mendapatkan apa yang dicita-citakan dalam hidupnya iaitu mati syahid. Allah membuktikan apa yang Rasulullah sampaikan daripada perkara yang akan berlaku.

nPetikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

0 comments: