Khamis, 22 Disember 2011

IMAM TERLEBIH RAKAAT; APA YANG PERLU MAKMUM LAKUKAN?

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***



Soalan;
Assalamualaikum wbt,Jika imam telebih satu rakaat sebagai contoh: Sembahyang isyak. Selepas rakaat keempat imam terlupa dan terus bangun( walaupun di tegur oleh makmum) untuk rakaat yang kelima dan setelah selesai tahiyad akhir imam terus sujud sahwi dan seterusnya memberi salam. Persaolan:
1. Sabagai makmum adakah saya perlu terus mengikuti imam atau saya perlu berniat keluar drpd jemaah dan meneruskan tahiyad akhir saya pada rakaat yang keempat.
Sekian Terima Kasih.

Jawapan;

1. Dalam kes seperti di atas, makmum hendaklah memperingatkan imam dengan mengucapkan tasbih (Subhanallah). Bagi perempuan, hendaklah memperingatkan imamnya dengan menepuk di atas belakang tangannya. Ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Jika berlaku sesuatu di hadapan kamu ketika sedang solat[1] (dan kamu ingin memperingatkan/memberitahu tentangnya), hendaklah orang lelaki bertasbih, adapun perempuan hendaklah ia menepuk (di atas belakang tangannya)[2]” (HR Bukhari dan Muslim dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’idiy).

2. Jika imam tidak memberi perhatian dengan peringatan yang diberikan (yakni ia tidak kembali duduk), hendaklah makmum berpisah dari imam (yakni berniat mufaraqah) dan menyempurnakan solat secara sendirian. Jika makmum terus mengikut imam, batallah solatnya kerana ia mengikuti imam pada perbuatan yang tidak dikira solat.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Maksud berlaku sesuatu di hadapan kamu ialah seperti imam lupa, ada seseorang memohon izin dari kita (dan dia tidak mengetahui kita sedang solat), kita melihat ada seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam lubang atau kita ingin memberitahu sesuatu kepada orang lain dan sebagainya. Dalam semua keadaan tersebut, jika kita ingin memberitahu atau memperingatkan orang terbabit hendaklah dengan bertasbih atau dengan menepuk (bagi perempuan). (al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/92)

[2] Iaitu tapak tangan kanan menepuk belakang tangan kiri. Dilarang menepuk antara kedua tapak tangan kanan dan kiri dan jika dengan tujuan bermain-main, batallah solat. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 4, hlm 92 (Kitab as-Solah, bab Ma Yufsidu as-Solah…) dan hlm. 208 (bab Solat al-Jamaah).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab as-Solah, bab Taqdim al-Jamaah Man Yushalli bihim..
3. Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 3402.
http://insafislam.blogspot.com

0 comments: