Rabu, 13 Jun 2012

Sifat Tawadduk

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***


Assalamualaikum wbt

Manusia yang mencapai sifat redha dalam dirinya dan kebergantungan hanya pada Allah pastinya mempunyai sifat tawadduk dalam diri.Sifat tawadduk adalah sifat rendah diri. Sifat terpuji ini ada dikisahkan pada kita di dalam akhlak para nabi, sahabat dan orang-orang soleh.Pencapain sifat mulia ini dalam diri setiap insan didunia ini adalah antara salah satu pencapaian paling tinggi dalam dirinya. Hal ini kerana Allah SWT tidak suka kepada lawanan daripada sifat tawadduk iaitu sombong, takbur serta membangga diri seperti firmanNYA dalam surah Luqman ayat 18 iaitu...

“Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18).

Tegahan dari Allah SWT JANGANLAH kita berlagak sombong dan takbur begitu nyata dalam firmanNYA diatas.Hal ini kerana sifat sombong dan takbur didunia tidak akan mendatangkan ganjaran bermanfaat pada kita.Walaupun kita nampak permainan dunia sekarang, pangkat, darjat,rupa, dan kekayaan menjadi nilaian pertama dan taruhan dalam segala bidang dan hal, namun nyatalah kita, bukalah mata dan bersihkan hati kita bahawa iman dan takwa adalah nilaian pertama di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan.”(Hadis sahih riwayat Muslim).

Justeru, ganjaran syurga dijanjikan bagi orang yang bersifat tawadduk  berbanding mereka yang hatinya mempunyai sifat sombong dan takbur.Jadi, walaupun sifat tawadduk ini begitu susah untuk dicapai, namun, dengan ketinggian ilmu dan kekentalan jiwa dan hati serta berdampingan dengan orang-orang soleh tidak mustahil kita mampu menjadi insan tawadduk. Menjaga hubungan baik kita dengan Allah SWT dan melakukan amal makruf nahi mungkar sehingga ketinggian sifat kehambaan kita dengan penuh rasa rendah diri tercapai apabila kita turut menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia . Rasulullah SAW turut memerintahkan umat Islam supaya mempunyai sifat tawadduk dalam sabdanya iaitu.. ..

“Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim).

Ana juga ingin berkongsi sedikit bingkisan ilmu yang ana dengar daripada bual bicara bersama seorang ustazah dimana untuk mencapai sifat tawadduk dalam diri boleh dilatih dalam diri kita dengan enam cara iaitu…
a.     a. Makan sisa orang
b.     b.  Berkawan dengan orang miskin
c.     c.  Buat kerja remeh-temeh
d.     d.  Maafkan semua orang sebelum tidur
e.     e.  Tidak ambil tahu hal orang (tidak mengumpat)
f.       f.  Tidak sakitkan hati orang

Makan sisa orang akan menyedarkan diri kita agar tidak bersifat membazir dan menghargai rezeki yang datang kepada kita. Hal ini akan membuatkan kita menghargai apa yang kita ada dan perolehi dan menanamkan sifat rendah diri secara amnya serta daalm masa sama memikirkan kesusahan orang lain untuk mendapatkan sesuap makanan. Contohnya kita sebagai anak, makan lebihan daripada ibu, ayah, dan keluarga kita yang lain. Lebihan makanan daripada sahabat-sahabat terdekat kita turut akan mengeratkan silaturrahim dan turut dapat menanamkan dan menimbulkan rasa kasih sayang sesama kita. Adakah kita ingat dan imbas kembali, biasanya seorang ibu akan makan sisa lebihan daripada makanan anaknya, Perasankah kita,sedarkah kita ibu kita sentiasa melakukan hal sama pada kita? Jadi apa yang kita dapat? Kasihnya ibu pada kita, sayangnya mereka akan kita. Walaupun kita anak, namun penerimaan mereka terhadap kita sangat tinggi, adakah kita sampai pada tahap apa yang ibu bapa kita lakukan dan rasakan pada kita?

Jika kita seorang yang mampu dari segi kewangan dan mempunyai pendapatan yang kukuh, janganlah kita lupa mereka yang miskin dan fakir terutama mereka yang tergolong dalam keluarga kita, saudara mara kita serta para sahabat dan jiran terdekat. Janganlah kita sombong untuk menyapa, menegur dan membantu mereka dengan menghulurkan rezeki yang kita ada mengikut kemampuan kita. Jika dari segi wang ringgit kita tidak mampu, sumbanglah tenaga dan ilmu yang kita ada agar membantu mereka yang memerlukan. Janganlah kita lupa akan kesusahan orang lain dengan sedikit kesenangan yang kita perolehi kerana kita juga mungkin datang dari kalangan mereka dan tidak mustahil kita juga akan berada ditempat mereka suatu hari nanti. Bersedekahlah jika kita mampu dan janganlah kita menyombong diri dan menyisihkan mereka.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.(Surah al-Israa’ ayat 37)

“Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu.”(Surah Luqman ayat 19).

Membuat hal remeh-temeh dalam mencapai sifat tawadduk adalah seperti contoh dalam bual bicara yang ana dengar, seorang alim ulama dipercayai telah membasuh dan mencuci tandas di sebuah masjid, apabila ditanya kenapa beliau melakukan hal sedemikian, katanya, kerana sebelumnya, ramai orang telah mencium tangan dan memeluknya. Jadi beliau risau akan timbulnya sifat tinggi ,lupa diri dan riak dalam dirinya. Subhanallah, betapa contoh ini memberi kesedaran dan detikkan kuat dalam diri ana. Contoh lain yang boleh kita lakukan dalam hal remeh-temeh ini ialah dengan menyusun pinggan-pinggan yang berselerak di kedai makan. Jangan kita hanya mengharapkan orang yang bertugas untuk melakukannya kerana disini percayalah akan timbul jurang dan sikap sombong dalam diri kita secara automatiknya. Perkara remeh-temeh inilah akan turut membuatkan seseorang timbul sifat amarahnya dan takbur jika kita tidak bisa untuk melakukannya dengan ikhlas dan redha.

Ingin ana tekankan juga dan mengingatkan diri ana untuk sentiasa mengamalkan amalan memberi senyuman dan salam apabila berjumpa dengan orang lain. Dengan memberi senyuman kepada orang yang kita jumpa selain memberi salam adalah salah satu perkara remeh atau dalam kata lain perkara kecil yang mampu dilakukan semua orang. Orang muda memberi senyuman pada orang tua dan orang kaya memberi salam pada orang miskin Contoh ini bukan saja dapat mengeratkan silaturrahim tetapi dalam masa sama membataskan kita dari bersikap sombong dan takbur dalam masa sama membuatkan kita sedar akan tempat duduk, tinggi rendah kita..

Allah SWT berfirman: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.”(Al-Furqan ayat 63). 

Selalu kita dengar dalam ceramah-ceramah dan tazkirah ilmu menekankan kita bersifat memaafkan orang lain sebelum tidur. Bukan mudah untuk bersifat memaafkan orang lain tambahan jika kita merasa kesalahan yang dilakukan begitu sakit dan perit. Namun untuk mencapai sifat tawadduk, kita akan sedar dimana salah satu namaNYA adalah, “ Al-Afuwwu” iaitu Pemaaf. Allah SWT juga Maha Pemaaf dan taubat hambaNYA yang bersungguh-sungguh, jadi kenapa kita tidak bersikap memaafkan orang lain kerana siapalah kita untuk menghukum orang lain atas kesalahannya. Allah SWT bersikap memaafkan hambanya yang mengakui kesalahannya dengan bertaubat, kenapa pula kita tidak bersikap sedemikian  untuk kita sama-sama dekat dengaNYA dalam memperoleh hikmah dan rahmat dariNYA.Kemaafan yang lahir dalam diri kita, akan membuatkan kita tidak bersikap ego dan takbur dengan kelebihan yang ada dalam diri kita atas kesalahan orang lain pada kita.Berpeganglah pada hukum alam, kita bukan manusia sempurna dan kita tidak akan sempurna, oleh itu, setiap orang tidak akan lari dari melakukan kiflah .

Firman Allah SWT bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya samada di waktu senang atau susah dan orang-orang yang menahan kemarahan serta memaafkan kesalahan orang lain” (Surah Ali Imran  ayat 134)

Mengumpat salah satu perkara biasa yang dilakukan sehingga tidak dirasakan ianya satu perbuatan  dosa. Perlu kita renungkan dan sedar mngumpat atau mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya sama dengan orang yang diumpatnya. Jika kita bersikap tawadduk dalam diri, hakikat ini perlu kita tegah dan jauh dari diri kita kerana ianya satu perbuatan yang sangat dimurkai Allah SWT dan boleh memudaratkan  semua orang. Ini kerana, mengumpat akan menyebabkan orang yang diumpat sakit hati dan sedih.Hal ini akan menjadi buruk sekiranya hal yang diumpat mengenai sesuatu perkara yang tidak benar, mengaibkan sehingga boleh memecah belahkan silaturrahim sesama si pelaku dan orang yang terlibat. Jauhkan dan elakkan diri kita mengumpat dan dalam masa sama menyakitkan hati orang lain kerana janji Allah SWT akan membalas perbuatan ini bukan saja diakhirat namun didunia juga.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya."Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" .(Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Semua kita tahu, sifat tawadduk turut sama kita dengar cerita daripada sirah dan kisah Rasulullah SAW dimana sifat ini adalah salah satu akhlak mulia yang ada dalam diri baginda. Baginda tidak sombong dengan isteri-isterinya, anak-anak, keluarga, sahabat-sahabat, pemimpin-pemimpin, fakir miskin malahan sikap tawadduk Rasulullah SAW turut membuatkan musuh baginda menghormatinya dan disenangi oleh semua orang. Inikan dengan manusia, Rasulullah turut menjadi kekasih ALLAH SWT kerana tertanamnya sikap tawadduk dalam diri baginda.

Sabda Rasulullah SAW iaitu:’’Sesungguhnya Allah mewahyukan supaya kalian merendah diri, hingga tidak ada orang berasa lebih tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lainnya.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Jadi, sama-samalah kita nilai dan cermin diri kita.Jika ada sifat sombong dan takbur dalam diri kita, cepat dan segeralah kita beristiqfar, muhasabah dan perbaiki diri agar kita tidak terus sebati dengan sifat sombong dan takbur.Buanglah, usirlah sifat sombong dan takbur agar jauh dan tiada dalam diri kita. Capailah sifat tawadduk agar melengkapkan diri kita untuk menjadi muslim sejati yang telah dijanjikan berita gembira iaitu syurga olehNYA diakhirat kelak.

Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah).” 
(Surah Al-Hajj ayat 34).


P/S: Maaf sekiranya terlalu banyak kekurangan ana dalam article kali ini. moga sentiasa diberi ilham dan kekuatan untk terus berkongsi ilmu dan pandangan bersama para tetamu yang ana kasihi.

1 comments:

SUaTu PeNcARiaaN berkata...

teruskan menulis, smg Allah meredhaimu...