Sabtu, 12 Februari 2011

Dikau Sentiasa Dalam Doaku

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***



“Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24)
alt
Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak.Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya,“Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).”(Riwayat Muslim)
Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”
Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15)
Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.”(Riwayat Muslim)
Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.
Di dalam al-Adab al-Mufrad[1] al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.A. yang didatangai seorang lelaki dan bertanya:
إنِّي خَطَبْتُ امرَأةً فَأبَتْ أن تَنْكِحَنِيْ, وَخَطَبَهَا غَيْرِيْ فَأحَبَّتْ أن تَنْكِحَهُ, فَغِرتُ عَلَيْهَا فَقَتَلْتُهَا, فَهَلْ لِي مِنْ تَوْبَةٍ؟ قال: أُمُّكَ حَيَّةُ؟ قال: لَا, قال: تُبْ إلى اللهِ عَزَّوَجَلّ, وَتَقَرَّبْ إلَيْهِ مَا اسْتَطَعْتَ. قال عطاء من يسار: فَذَهَبْتُ فَسَألْتُ ابنَ عَباسٍ: لمِاَ سَألْتَهُ عَن حَيَاةِ أمِّهِ؟ فقال: إنِّيْ لَا أعْلَمُ عَمَلاً أقْرَبُ إلى اللهِ عَزَّوَجَلَّ مِنْ بِرِّ الْوَالِدَةْ.
Maksudnya: “Aku telah meminang seorang wanita, akan tetapi ia tidak menerima pinangan-ku, kemudian wanita itu dipinang oleh lelaki lain, dan wanita itu menerimanya, maka timbul perasaan cemburu aku terhadap wanita itu, lalu aku membunuhnya. Apakah bagi-ku ada peluang (diterima) taubat? Ibn ‘Abbas bertanya: “(Apakah) Ibu-mu masih hidup?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Kata Ibn ‘Abbas: “Bertaubatlah kepada Allah A.Z.W.J. dan hampirkanlah diri kepada-Nya semampu-mu.” ‘Atho bin Yasar berkata: “Aku pergi bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa anda bertanya kepada lelaki itu apakah ibunya masih hidup?” Jawab Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku tidak mengetahui adanya satu amalan yang lebih hampir kepada Allah A.Z.W.J. lebih daripada berbuat baik kepada ibu.”
[2] Hadith ini menunjukkan kepada kita bagaimana berbuat baik kepada ibu dapat menghapuskan kesalahan yang dilakukan, kerana itu sahabat Nabi S.A.W. Ibn ‘Abbas r.a. bertanyakan keadaan ibu lelaki tersebut apakah masih hidup ataupun tidak, sehingga dia dapat berbuat baik kepada ibunya, seterusnya dapat menghapuskan kesalahan dan dosanya.
[1] Al-Adab al-Mufrad adalah tulisan al-Imam al-Bukhari selain Sahih al-Bukhari. Akan tetapi hadith-hadith di dalam kitab ini, al-Imam al-Bukhari tidak mensyaratkan sahih sepertimana hadith-hadith di dalam kitab sahihnya (al-Jami’ al-Sahih).
[2] Al-Suyuthi menyebut hadith ini di dalam al-Dur al-Manthur, dan al-Albani mensahihkannya di dalam al-Silsilah al-Sahihah.
Dendam Yang Termanis

12 Rabiulawal juga tarikh nabi wafat

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***



SOALAN:
Ada pandangan bahawa kita tidak boleh terlalu asyik menyambut 12 Rabiulawal sebagai hari keputeraan baginda SAW kerana pada tarikh tersebut juga baginda wafat. Benarkah pandangan ini?

JAWAPAN:

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga Kami juga diberi (wahyu) sama seperti Yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah Yang sepatutnya) ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) Yang diberikan-Nya itu. orang-orang Yang melakukan perbuatan Yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa Yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya Yang mereka lakukan. (al-An’am: 124)

Hercules (Raja Rom) ketika bertanya kepada Abu Sufyan mengenai sifat-sifat Rasulullah SAW dengan berkata: “Bagaimana keturunannya di hadapan kamu?” Jawab Abu Sufyan: “Dia adalah berketurunan baik (mulia) di kalangan kami”, lalu Hercules menjawab: “Begitulah kesemua para rasul yang diutus daripada keturunan yang mulia daripada kalangan kaumnya”. Iaitu Nabi diutus daripada kalangan keluarga yang termulia dan berketurunan yang ramai.
Baginda adalah penghulu anak Adam di dunia dan akhirat. Juga digelar Abu al-Qasim, Abu Ibrahim, Muhammad, Ahmad pemadam kekufuran dan kesyirikan. Tiada nabi selepas baginda, penghimpun yang tersimpan manusia menjemput kedua kalinya. Nabi yang rahmat, nabi yang taubat, penutup seluruh kenabian, dia al-Fatih (pembuka), Taha, Yasin dan Abdullah.

Baginda adalah lembut lagi mengasihani mengingatkan mengangkat baginda sebagai pembawa rahmat, pembawa nikmat kebahagiaan hidup dan petunjuk. 
Baginda SAW dilahirkan dengan sejahtera pada hari Isnin. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim, daripada Abi Qatadah sesungguhnya seorang lelaki Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa pandangan tuan puasa pada hari Isnin? Lalu baginda menjawab: “yang demikian (Isnin) adalah hari aku dilahirkan padanya dan hari turun wahyu kepadaku”.


Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam karyanya dengan sanad daripada Jabir dan Ibnu Abbas, sesungguhnya baginda SAW telah dilahirkan pada tahun gajah hari Isnin, 12 Rabiulawal, padanya (12 Rabiulawal), aku diangkat ke langit (mikraj), dan padanya berlaku hijrah, dan padanya juga wafat. (Ibn Kathir, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, cet:1, 2005, hlm: 35)

Sementara itu, Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum menjelaskan bahawa, tarikh kelahiran Nabi SAW iaitu 12 Rabiulawal adalah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi.
Tarikh ini berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Muhammad Sulaiman al-Mansur Fauri yang merupakan tokoh sejarah. Tarikh ini diperakui oleh Mahmud Basha seorang tokoh dan sarjana dalam bidang falak. (Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, Dar al-Fikr, Beirut, cet:1, 1991, hlm: 45).

Jumhur ulama bersetuju tarikh kelahiran baginda Rasulullah SAW adalah 12 Rabiulawal 571 Masihi, tahun gajah. Dikenali dengan tahun gajah kerana pada tahun inilah Abrahah menyerang kota Mekah dengan tentera bergajah.
Sementara, tarikh kewafatan baginda seperti yang disebut oleh riwayat yang terdahulu iaitu pada 12 Rabiulawal, pada tahun 11 hijrah, ketika baginda berusia 63 tahun. (Lihat; Abu Hasan ‘Ali al-Husaini al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar ibn Kathir, Dimasyq, 2009, cet: 5, hlm:539).

Kebiasaannya serta fitrah manusia tidak ingin meraikan tahun kewafatan orang yang dikasihinya. Lebih-lebih lagi junjungan besar Nabi SAW yang telah banyak menabur bakti kepada umatnya.
Kewafatan baginda cukup menyedihkan bagi orang yang pernah mengenali baginda. Para sahabat r.a tidak sanggup dan tidak mampu berpisah dengan kekasih mereka Rasulullah SAW. 
Baginda telah melayan mereka seperti seorang ayah, dengan penuh kasih sayang baginda menatang para sahabat. Mereka didakap dengan tulus ikhlas dan persaudaraan.


Mereka (para sahabat) dan juga kita tidak akan bertemu dengan insan yang begitu agung budi pekertinya, tidak pernah mengecewakan setiap yang meminta. 
Baginda tidak pernah mengherdik yang lemah mahupun yang fakir, baginda tidak pernah tidak pernah menyakiti setiap yang mendampinginya. 

Menerusi kitab al-Dalail al-Nubuwwah, dalam bab membicarakan kelahiran baginda, beberapa riwayat perlu dikongsikan di sini.



Antaranya: daripada Ibnu Abbas r.a berkata: “Tidaklah Allah azza wa jalla menjadi sesuatu apa pun dan tidak pula meninggalkan sesuatu nyawapun yang lebih mulia daripada Nabi SAW, dan aku (Ibnu Abbas) tidak pernah mendengar bahawa Allah SWT bersumpah dengan kehidupan seseorang melainkan dengan Nabi SAW, firman Allah SWT yang bermaksud: Demi umurmu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya mereka membuta tuli Dalam kemabukan maksiat mereka. (al-Hijr: 72)


alt

Umumnya Allah SWT tidak akan bersumpah dengan sesuatu apa pun melainkan ia sungguh hebat dalam sudut ciptaan dan kedudukan. Dalam ayat ini Allah SWT bersumpah dengan umur Nabi SAW.

Pengiktirafan
Inilah satu pengiktirafan dan pemasyhuran kedudukan baginda di sisi Allah SWT.
Dalam riwayat lain daripada Umm Kurz sesungguhnya telah berkata, dia (Umm Kurz) mendengar daripada nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku adalah penghulu bagi kaum mukminin apabila mereka dibangkitkan di mahsyar kelak, akulah yang akan memimpin mereka apabila dibangkitkan, dan akulah yang akan memberi berita gembira apa berkesedihan, akulah imam mereka apabila mereka sujud, dan akulah orang yang paling hampir kepada Allah apabila berhimpun di hadapan Allah, aku akan berbicara di hadapan Allah lantas akan diiakan kata-kataku dan aku memberi syafaat lalu diterima syafaatku dan aku meminta lalu ditunaikan permintaanku”. (Abi Naim al-Asfahani, Dalail al-Nubuwaah, Dar al-Nafais, 1999, cet:4, jld:1, hlm: 67)

Dalam suasana sambutan Maulid Rasul SAW minggu depan, ia harus dimanfaat dengan sebaik mungkin agar kelahiran baginda yang penuh makna dapat dihayati bersama.

Cinta kepada nabi SAW bermaksud cinta kepada Allah SWT. Kelahiran baginda telah mengubah dunia yang sarat dengan amalan jahiliah kepada nur (cahaya) yang memandu mereka menjadi manusia yang berakhlak.
Nabi SAW telah mengenalkan kita kepada Allah SWT, meninggalkan kepada kita mukjizat agung iaitu al-Quran, dan mengajar kita erti ibadah supaya sampai ke makam penghambaan yang hakiki menghampiri Rabbul Izzati.
Semoga Allah menghimpun kita bersama kekasih agung kita Muhammad SAW.

Utusan Malaysia(11/2/11)

PERJUANGAN BERAKHIR :Mubarak letak jawatan, rakyat Mesir berpesta

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***


12/02/2011 3:20am(Utusan Malaysia)

KAHERAH 12 Feb. - Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi.


“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen.

Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.
Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.

Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan.

Sebelum itu, satu sumber memberitahu AFP, setiausaha agung parti pemerintah Mesir, Parti Demokratik yang baru dilantik oleh Mubarak, Hossam Badrawi meletakkan jawatan. - AFP

Isnin, 7 Februari 2011

KELEBIHAN AYAT KURSI

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur'an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."
Berkata Anas bin Malik, "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?"

Sabda Rasulullah S.A.W, " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat."
Umat-umat dahulu hanya sedikit sahaja yang mempercayai rasul-rasul mereka dan itu pun apabila mereka melihat mukjizat secara langsung. Kita sebagai umat Islam tidak boleh ragu-ragu tentang apa yang diterangkan oleh Allah dan Rasul. Janganlah kita ragu-ragu tentang al-Qur'an, hadis dan sunnah Rasul kita. Janganlah kita menjadi seperti umat yang terdahulu yang mana mereka itu lebih suka banyak bertanya dan hendak melihat bukti-bukti terlebih dahulu sebelum mereka beriman.

Setiap satu yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita adalah untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah S.A.W menyuruh kita mengamalkan membaca surah Kursi. Kehebatan ayat ini telah ditearngkan dalam banyak hadis. Kehebatan ayat Kursi ini adalah untuk kita juga, yakni untuk menangkis gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya di samping itu kita diberi pahala.
Begitu juga dengan surah al-Falaq, surah Yasin dan banyak lagi ayat-ayat al-Qur'an yang mempunyai keistimewaannya. Setiap isi al-Qur'an itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita umat Islam, janganlah ada sedikit pun keraguan tentang ayat-ayat al-Qur'an, hadis Nabi dan sunnah Baginda S.A.W. Keraguan dan was-was itu datangnya dari syaitan.

Ahad, 6 Februari 2011

Batas pergaulan di antara lelaki dan wanita menurut Islam.

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***



1. Menundukkan pandangan: ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 31)

2. Menutup Aurat; ALLAH berfirman dan jangan lah mereka mennampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (An-Nuur: 31) Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.

Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nuur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri .a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita; Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA; Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (Al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan; Dari Ibnu Abbas .a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5. Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (Al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

6. Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis; Dari Maqil bin Yasar .a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir) Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/44 Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat. (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah .a. dari Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA; Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (al-Isra: 32)