Sabtu, 12 Februari 2011
Dikau Sentiasa Dalam Doaku
*** Bismillahirrahmanirrahim ***
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***
“Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24)
Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak.Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya,“Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).”(Riwayat Muslim)
Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”
Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15)
Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.”(Riwayat Muslim)
Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.
Di dalam al-Adab al-Mufrad[1] al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.A. yang didatangai seorang lelaki dan bertanya:
إنِّي خَطَبْتُ امرَأةً فَأبَتْ أن تَنْكِحَنِيْ, وَخَطَبَهَا غَيْرِيْ فَأحَبَّتْ أن تَنْكِحَهُ, فَغِرتُ عَلَيْهَا فَقَتَلْتُهَا, فَهَلْ لِي مِنْ تَوْبَةٍ؟ قال: أُمُّكَ حَيَّةُ؟ قال: لَا, قال: تُبْ إلى اللهِ عَزَّوَجَلّ, وَتَقَرَّبْ إلَيْهِ مَا اسْتَطَعْتَ. قال عطاء من يسار: فَذَهَبْتُ فَسَألْتُ ابنَ عَباسٍ: لمِاَ سَألْتَهُ عَن حَيَاةِ أمِّهِ؟ فقال: إنِّيْ لَا أعْلَمُ عَمَلاً أقْرَبُ إلى اللهِ عَزَّوَجَلَّ مِنْ بِرِّ الْوَالِدَةْ.
Maksudnya: “Aku telah meminang seorang wanita, akan tetapi ia tidak menerima pinangan-ku, kemudian wanita itu dipinang oleh lelaki lain, dan wanita itu menerimanya, maka timbul perasaan cemburu aku terhadap wanita itu, lalu aku membunuhnya. Apakah bagi-ku ada peluang (diterima) taubat? Ibn ‘Abbas bertanya: “(Apakah) Ibu-mu masih hidup?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Kata Ibn ‘Abbas: “Bertaubatlah kepada Allah A.Z.W.J. dan hampirkanlah diri kepada-Nya semampu-mu.” ‘Atho bin Yasar berkata: “Aku pergi bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa anda bertanya kepada lelaki itu apakah ibunya masih hidup?” Jawab Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku tidak mengetahui adanya satu amalan yang lebih hampir kepada Allah A.Z.W.J. lebih daripada berbuat baik kepada ibu.”
[2] Hadith ini menunjukkan kepada kita bagaimana berbuat baik kepada ibu dapat menghapuskan kesalahan yang dilakukan, kerana itu sahabat Nabi S.A.W. Ibn ‘Abbas r.a. bertanyakan keadaan ibu lelaki tersebut apakah masih hidup ataupun tidak, sehingga dia dapat berbuat baik kepada ibunya, seterusnya dapat menghapuskan kesalahan dan dosanya.
[1] Al-Adab al-Mufrad adalah tulisan al-Imam al-Bukhari selain Sahih al-Bukhari. Akan tetapi hadith-hadith di dalam kitab ini, al-Imam al-Bukhari tidak mensyaratkan sahih sepertimana hadith-hadith di dalam kitab sahihnya (al-Jami’ al-Sahih).
[2] Al-Suyuthi menyebut hadith ini di dalam al-Dur al-Manthur, dan al-Albani mensahihkannya di dalam al-Silsilah al-Sahihah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
boleh tukar warna tulisan? agk sakit mata bla mbaca.. :(
Catat Ulasan