Isnin, 25 Mei 2009

MUHAMMAD BERJAYA BUKAN KERANA BAGINDA RASUL

RASULULLAH s.a.w adalah nabi kita yang mesti dicintai, diikuti dan dicontohi.

Usaha mempelajari serta mendalami kehidupan rasul menjadi kewajipan pengikutnya.

Kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Antara mekanisma mengenali nabi yang lebih berkesan ialah dengan mempelajari sirah baginda s.a.w. Ia penting bagi kita orang Islam. Mengapa?

Pertama: Sirah (perjalanan hidup) Rasulullah s.a.w adalah terjemahan hidup al-Quran yang paling lengkap.

Firman Allah bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka." (QS.16:44).

Begitu juga Allah s.w.t menurunkan al-Quran secara baransur-ansur sesuai dengan kejadian yang terakam dalam sirah Nabi s.a.w.

Dari sini terlihat dengan jelas untuk memahami isi al-Quran, kita harus memahami sirah Nabi s.a.w.

Kedua: Sirah Rasulullah s.a.w adalah sirah yang paling agung dan paling lengkap. Ia terpelihara daripada penyimpangan dan penyelewengan.

Ulama sepanjang sejarah mempertahankan keaslian sirah ini dengan mempertahankan urutan sanad secara ketat. Ketat dalam erti perawi sirah ini harus mempunyai kejujuran yang tinggi dan antara mereka harus sambung menyambung tanpa putus.

Berbeza dengan periwayatan nabi sebelumnya, kita sukar menemui kisah yang lengkap mengenai mereka. Misalnya mengenai masa kecil seorang nabi sebelum Muhammad s.a.w dan seterusnya.

Kalaupun ada sebagaimana yang terdapat dalam kitab Injil, seringkali periwayatannya sukar dipertanggungjawabkan keasliannya, bahkan kerap menodai darjat kenabian mereka.

Ketiga: Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w sangat telus, tidak ada yang rahsia dan fakta tidak ada yang disembunyikan.

Sejak masuk kamar mandi, cara tidur, cara masuk dan keluar rumah, cara bergaul dengan kalangan isteri, hingga keperibadian sebagai seorang ayah, sebagai seorang teman sahabatnya, seorang jeneral perang, pemuka agama dan pemimpin negara.

Menariknya semua sisi dari dimensi hidup yang baru saja kita sebutkan adalah cerminan kebaikan, contoh akhlak yang paling mulia dan tauladan yang patut diikuti.

Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan(kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (QS.33:21 )

Keempat: Sesiapapun yang membaca sirah Rasulullah s.a.w pasti akan menemui beliau adalah manusia biasa, makan dan minum seperti kita, mendapat ujian dan kesulitan hidup dan diusir dari kampung halamannya.

Malah, baginda dihina dan diseksa oleh orang yang membencinya, sering kelaparan kerana kefakirannya, namun disebabkan ketabahan yang sangat tinggi nabi sanggup menahan lapar dengan penuh kehormatan (izzah).

Disebabkan kesabaran baginda tidak pernah putus asa, bahkan tidak mengeluh sekalipun harus melakukan pengorbanan besar seperti berhijrah.

Kegigihan membuatkan baginda sanggup menghadapi segala cubaan, manakala keteguhan iman menjadikannya cekal dalam susana genting.

Berkat kesungguhan menjalani sunnatullah, Nabi s.a.w mengambil segala sebab dan proses yang benar, lalu bertawakkal kepada Allah secara mendalam.

Akhirnya, Nabi s.a.w mencapai kemenangan. Tiada alasan bagi sesiapapun untuk mengatakan rahsia kejayaan baginda semata-mata kerasulannya seperti seorang sutradara yang menentukan kemenangan mutlak kepada wiranya dalam sesebuah filem.

Tidak, Rasulullah s.a.w bukan begitu dan tidak boleh diumpamakan sama sekali dengan seorang wira dunia filem. Baginda hidup di alam nyata dan pernah tewas dalam perang Uhud kerana sebab tertentu.

Dengan demikian, amat salah jika mengatakan wajar jika Nabi Muhammad s.a.w berjaya kerana baginda rasul, tidak boleh dibandingkan dengan kita.

Kenyataan seperti itu hanya melemahkan iman dan kesungguhan kita untuk mengikuti jejak Rasulullah s.a.w dalam perjuangan menegakkan Islam, malah munculnya pelbagai penyakit yang menyebabkan kelumpuhan dan perpecahan dalam masyarakat Muslim.

0 comments: