Selasa, 12 Oktober 2010

Al-Habib Abdul Qadir Assaggaf dan diriku yang fakir

Abah menelefon pagi semalam dengan berita yang sangat menyedihkan. Al-Habib Abdul Qadir Assaggaf meninggal dunia di Jeddah. Saya tanya, pastikah? Kerana keuzuran beliau sejak 10 tahun yang lalu, sudah kerap berita kewafatannya terdengar. Tapi kali ini ia berita yang benar. Berita yang pasti datang jua walaupun kita berharap ia tidak datang.

Al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad Assaggaf tidak perlu saya perkenalkan. Hampir keseluruhan ulama tasawuf bersepakat beliau adalah Qutub (antara maqam tertinggi dalam bidang kesufian) di zaman ini. Dakwah beliau ke seluruh dunia pada masa manusia jauh dari Maha Pencipta.

Terus saya terimbau kenangan berada dalam rohah (majlis ilmu) di rumah beliau di Jeddah 10 tahun yang lalu. Apabila beliau dibawa masuk sahaja ke dalam majlis, terasa satu kelainan yang sangat. Sesiapa sahaja memandang wajah beliau akan mengingati akhirat dan rindukan Rasulullah.

Allah Ta’ala memilihku untuk bersama beliau selepas majlis selesai. Ketika ratusan hadirin lain bersiap untuk pulang, Alhamdulillah saya dipelawa untuk naik ke tingkat atas, bersama beliau di sisi katil beliau di dalam bilik beliau. Tiada lain yang saya pinta ketika itu melainkan doa beliau. Alhamdulillah walau dengan keuzuran, bait-bait doa dan diakhiri “wa ila hadratinnabi”.. jelas kedengaran. Agak lama saya dapat menamani beliau di birai katil. Detik-detik yang sangat indah.

Pertemuan tersebut bukan pertemuan pertama tetapi rupanya pertemuan terakhir secara jasad di alam dunia. Moga kita dapat bersamanya nanti di akhirat bersama menghirup air telaga Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Setiap kali pertemuan dengan beliau, apa yang saya ingat adalah senyuman manis beliau. Kelembutan beliau dalam berbicara. Bait kalimahnya yang sangat teratur lagi mengingatkan Allah dan Rasul. Ketegasan beliau dalam hukum hakam syariat. Bisa bergetar jiwa setiap kali mengucup tangan beliau yang mulia.

Saya dinamakan oleh beliau dengan nama beliau. Saya ditahnik oleh beliau. Air liur beliau yang mulia bercampur dengan air liur saya. Saya bertemu lagi dengan beliau ketika berusia 6 tahun di Kuala Lumpur . Gambar kenangan saya berdua bersama beliau masih tersimpan rapi. Akhirnya bertemu buat kali terakhir di bilik beliau di Jeddah dan mendapat doa beliau.

Saya faqir dan tiada memiliki apa. Tidak layak saya yang berdosa ini mendapat segala itu. Moga kasih sayang Allah pada beliau tertumpah jua pada diri saya yang hina ini. Itulah yang saya pohon selalu.
Titisan air mata di dalam mimpi malam tadi sangat indah.. Moga ia penghibur hati ini selamanya..

0 comments: