Sabtu, 9 Oktober 2010

SAHABAT SEJATI..

Sahabat ibarat biskut. Kejap ada, kejap tak ada. Bila diperlukan, cari sampai dapat. Bila senang, sahabat diabaikan. Bila sedih, semua sahabat dicari, tapi bila gembira, sahabat yang menadah bahu ketika menangis dilupakan. 

Berapa ramai yang begitu. Tidak kurang juga dengan diriku. Mencari sahabat ibarat mencari baju. Memilih yang cantik dan menarik. Yang baru ditatang sebaiknya. Yang lama, yang buruk, dilupakan begitu sahaja. Bila saat memerlukan, habis satu almari digeledahnya. 

Walau sejuta sahabat kita, namun belum tentu seorang pun dari mereka yang mampu menangis untuk kita. Orang tua-tua ada berkata, sahabat masa ketawa ramai, tapi bila sedih, seorang pun tiada. Bagi yang memahami pepatah ini akan sentiasa menghargai persahabatan. Dia akan sentiasa menjadi sahabat ketika kesedihan. Kerana ketika itulah sahabat amat-amat diperlukan. Ketika itu, hati, perasaan, fikiran sudah menjadi celaru dan kurang waras. Segala tindakan akan dilakukan secara melulu. Hidup ibarat berdiri di tepi lembah kehancuran. Apabila ada sahabat yang sudi menghulurkan tangan, mencurah simpati, dialah sahabat sejati. Kerana dia sanggup menghadapi risiko jatuh ke jurang yang sama. Dia akan sedaya upaya mencari jalan untuk menyelamatkan kita. Biar susah macam mana pun dia akan tetap berusaha tanpa berputus asa. Sahabat sebegini adalah sukar untuk dicari. Bila ditemui, selalunya tidak dihargai. Bila sendiri, barulah dicari. 

Ketika diri sudah di ambang kekecewaan, sahabat sebegini yang di cari. Tapi malangnya, ini bukanlah masa untuk itu. Segalanya akan menjadi sia-sia. Kecuali keajaiban datang menyapa. 

Oleh itu, hargailah setiap sahabat yang kita ada. Jangan sesekali melupakannya. Biarpun siapa dia. Walau setinggi mana kita kejayaan kita, kita harus sentiasa ingat, ada sahabat yang sentiasa berdiri di belakang kita. Mereka lah yang turut sama menolak kita ke puncak jaya.

Bukannya sukar untuk mencari ramai sahabat, tetapi teramat sukar untuk menghargai seorang sahabat. Walaubagaimanapun, ada banyak cara yang boleh digunakan untuk menghargai sahabat. Cukuplah dengan ucapan selamat sebagai tanda ingatan kita terhadapnya. Biarpun sudah lama tidak ketemu, pastikan yang kita sentiasa mengingatinya dan masih tetap berhubung dengannya biarkan cuma sekali dalam setahun. 

Ya Allah! Aku pohonkan kebahgiaan dan keredhaanMu ke atas sahabat-sahabat ku. Biar dimanapun mereka berada. Ampunkanlah dosa-dosa mereka dan berilah hidayah dan petunjuk ke atas mereka agar mereka sentiasa berada di atas jalan yang Engkau redhai. Jauhkanlah mereka dari azab seksa api neraka dan bahgiakanlah mereka dengan nikmat syurga yang sejahtera. 

Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan aku lupa terhadap mereka. Kuatkanlah ikatan ukhuwah di antara aku dan mereka. 

Amin.. Amin.. Amin.. Ya Rabbal 'alamin..


p/s: peringatan buat diriku yang selalu melupakan sahabat-sahabat ku...

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

sahabat sejati,susah untuk dicari..adakah hanya seorang atau boleh hadir dalam hidup kita seramai mungkin..