Khamis, 29 Julai 2010

Kopitiam permain status halal memalukan Islam

PENGGUNAAN tanda halal palsu bagi sesetengah kedai makan dikendalikan bukan Islam masih berleluasa. Tidak berapa lama dulu ada dakwaan bahawa kebanyakan kopitiam tidak menyediakan makanan halal tetapi hingga kini masih diminati ramai orang Islam, lebih-lebih lagi golongan muda. 

Tentunya mereka ini tidak mengetahui hal ini dan ini amat membimbangkan. Lebih-lebih lagi ada dakwaan bahawa salah satu cawangannya di Klang menyajikan makanan mengandungi kaki katak.

Dikatakan juga kopitiam yang kebanyakannya dimiliki bukan Islam mendapat bekalan ayam mereka daripada sumber yang tidak memenuhi kehendak syariah.

Beberapa hari lalu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerbu sebuah kopitiam kerana disyaki mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam. 

Perkara ini terbongkar selepas sepasukan penguat kuasa JAKIM memeriksa sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktirafnya di Jinjang, Kuala Lumpur minggu lalu. Malangnya nama kopitiam yang diserbu itu tidak pula dinyatakan. 

Dikatakan juga bahawa kopitiam itu ada mempamerkan sijil halal tetapi daripada sebuah syarikat swasta bukannya yang dikeluarkan JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Mengikut peraturan yang ada hanya jabatan kerajaan ini sajalah yang diiktiraf sebagai pihak yang diberi kuasa mengeluarkan sijil itu. 

Malangnya ini bukanlah kali pertama perkara begini berlaku. Awal tahun ini pun sebuah restoran yang mempamerkan sijil halal daripada sebuah syarikat swasta diserbu penguat kuasa JAKIM. Tetapi sejak itu perkara begini masih berlaku. Kenapa? 

Hal ini menimbulkan pelbagai persoalan. Bagaimana syarikat swasta boleh dibiarkan mengeluarkan sijil ini? Berapa banyak syarikat demikian yang beroperasi? Siapa yang memberikan kebenaran mereka berbuat demikian? Siapa pula yang memantau mereka? Kalau tidak ada satu pun syarikat swasta ditauliahkan mengeluarkan sijil halal kenapa tidak ada tindakan terhadap syarikat yang mengeluarkan sijil itu? 

Satu persoalan pokok ialah bagaimana syarikat swasta ini boleh mengeluarkan sijil halal ini kepada sebuah kopitiam yang mendapatkan bekalan ayamnya daripada pembekal yang tidak menyembelih ayamnya mengikut kehendak syariah? Bagaimana pula syarikat ini tergamak mengeluarkan sijil halal itu tanpa memastikan kedai makan itu benar-benar menyediakan makanan halal? Apa hukumnya terhadap syarikat yang bertindak demikian? 

Dalam pada itu timbul persoalan bukankah kita berada dalam sebuah negara berasaskan undang-undang? Rukun Negara sendiri menetapkan keluhuran undang-undang sebagai salah satu daripada lima prinsipnya.

Kiranya kita benar-benar mahu mendaulatkan undang-undang kenapa syarikat swasta boleh dibiarkan mengeluarkan sijil halal walau pun mereka tidak ditauliah berbuat demikian? Seperti juga anasir Tonto (tolong orang nak tipu orang) berterusan bermaharajalela seolah-olah tidak dapat dikawal? 

Sungguh menakjubkan bagaimana hal menyalahi undang-undang atau peraturan begini boleh dibenarkan beroperasi tanpa sebarang tindakan terhadap mereka itu? Apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam negara kita ini? 

Dengan puasa menjelang tiba tidak beberapa hari saja lagi dan umum mengetahui bagaimana ramai orang Islam membuka puasa di restoran hotel sebaiknya JAKIM mengeluarkan senarai tempat makan yang telah diberi sijil halal untuk disiarkan akhbar. Akhbar juga harus mengisytiharkan hotel yang mendapat sijil itu. 

Ini penting untuk menolong umat Islam melaksanakan ibadat mereka dengan perasaan lapang. 

Malangnya, JAKIM sendiri tidak mesra pengguna. Lihat saja laman webnya. Ia tidak menyediakan kemudahan di laman utamanya yang membolehkan pengguna mendapat maklumat dan senarai kedai makan yang diberikan sijil halal. Apakah susah sangat bagi JAKIM menyediakan senarai ini? 

Sebagai sebuah badan kerajaan yang diwujudkan untuk menolong umat Islam dalam serba segi kemusykilan mengenai agama ia harus bersikap lebih mesra dengan pengguna khususnya rakyat Islam. 

Kini kerajaan telah mengambil keputusan menetapkan bahawa hanya sijil yang dikeluarkan JAKIM saja akan diiktiraf Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Ini adalah dalam rangka menghindar sebarang kekeliruan mengenai sijil halal yang akan dipamer. 

Pindaan yang menetapkan peruntukan ini akan dibuat dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang akan dibentangkan ke Parlimen pada Oktober nanti. 

Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman lebih berat ke atas peniaga dan syarikat yang menyalahgunakan tanda halal iaitu sijil dan logo. Antaranya ialah menetapkan denda RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya ke atas peniaga yang menyalahkan gunakan tanda halal itu dan syarikat yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya. Diharapkan apabila pindaan ini diluluskan Parlimen kelak tidak akan berlaku lagi mana-mana peniaga atau syarikat yang sewenangnya menggunakan tanda halal bagi produk atau premis yang sebenarnya tidak halal. 

Mereka ini sebenarnya sudah menipu umat Islam. Mereka mahu orang Islam membeli produk atau makan di kedai mereka tetapi tidak mahu menghormati orang Islam. Pindaan ini tentunya akan menjamin kesucian makanan dan produk yang digunakan umat Islam tanpa was-was lagi. Kita gah sebagai sebuah negara Islam tetapi kalau tempat makan pun tidak boleh dijamin kesahihan menyediakan makanan halal, tidak ada maknanya mendabik demikian. 

Maka itulah diharapkan pindaan ini nanti akan menjamin tidak akan berlaku lagi sijil halal yang boleh pula dikeluarkan syarikat swasta yang tidak pun boleh menentukan bahawa kedai makan yang memperoleh sijil halal daripada mereka itu benar-benar hanya menyajikan makanan halal. 

Penulis adalah Felo Kanan UKM 


Sumber : Berita harian online 29/07/2010

0 comments: