Khamis, 1 Julai 2010

~ Hampir 2 tahun usia pertunanganku~

~ Maafkan aku sayang,hampir 2 thn usia pertunanganku~
Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Ya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang lelaki. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.


Aku hanya seorang hamba Allah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.Sejak dari hari istimewa tersebut. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.Abah bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.


"Hari tu nanti nak pakai baju warna apa?


"Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."


"Alhamdulillah, adik akan usahakan dalam tempoh terdekat."


"Dik, 6 meter sudah cukup untuk sepasang baju. Jangan berlebihan."


Adik angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu persatu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.


"Bang, siapa tunang abang? Mesti hebat orangnya. Cantik tak?" Tanya Kobtiah


Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.


"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan abang dengan Allah. Itu yang paling utama."


Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.


"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"


Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Khatijah dan an-nisaa juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila anta menikah?"Aku tiada jawapan khusus.


"Insya Allah, tiba waktunya nanti anta akan tahu..."


Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.


"Jemput ana tau!" Amirul tersenyum megah.


"Kalau anta tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada adik...


"Usah berlebihan ya..."


Adik angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.


"Abang, jom makan!"


Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.


"Kobtiah, ana puasa."


Kobtiah juga semakin galak mengusik.


"Wah, abang diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"


"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."


Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja


..................................................................................................................................


"inna lillahi wainna ilaihi rajiun..."


"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."


"Ya Allah, tenangnya..."


"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ana, teman-teman seperjuangan ana pada adik.Akhirnya, ana selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Ramai yang datang di majlis walimah walaupun ana tidak menjemput sendiri.Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan ana kepada Allah.Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.Dalam sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ana..


Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui...


"Akhirnya, kobtiah bertanya kepada suaminya beberapa minggu kemudian...


"Abang bertunang dengan siapa?"


Adik tenang menjawab... "Dengan kematian wahai isteriku. Kanser otak yang mulanya hanya pada kepala sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga hatinya. Kata doktor, Abang hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."


"Allahuakbar..." Terduduk Kobtiah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.


"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Adik angguk, tersenyum lembut... "Ini Kobtiah, bukunya " Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.


"Ya Allah, patut la abang selalu menangis... Kobtiah tak tahu ."


"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu abang mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."


Kobtiah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh suaminya.


"Satu cincin ini ana pakai sebagai tanda ana di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini ana pakai sebagai tanda ana sudah bertunang dengan MAUT. Dan ana akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ana kepada ALLAH. Ana tahu keluarga ana akan tenang menghadapinya, kerana telah ana khabarkan kehidupan adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta.


Hajat ana sebelum pernikahan hanya satu, melihat kejayaan orang yang ana sayang. Teringin jadikan orang yang ana sayang seorang guru atau pensyarah. Malangnya orang yang ana sayang tidak berminat. Jadi ana kuburkan bersama ana impian kedua ana.


Selamat tinggal semua, teruskan mencari cinta ilahi dan jadikanlah Al Quran dan sunnah sebagai rujukan perjalanan hidup didunia. Insyaallah kita kan selamat dunia dan akhirat.

11 comments:

Hawa berkata...

waaa,waaaaaaaaaaaaaa
menyentuh perasaan, cerita ni benar atau hanya cerita kesedaran.Apapun tahniah anti beerjaya mengalirkan air mata ana tanpa henti

noorlida87 berkata...

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah
Penawar hati kekasih Allah
Susah dan senang rela bersama…

Dapatkah kudidik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijaksana
Pendorong kesusahan dan penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan…

Mengalir air mataku
Dengan pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah

Akur dalam setiap perintah
Taat dengan abuyanya,
yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia
Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga…

Ketika aku marah
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup Siti Sarah….

Tabahlah jiwaku
Setabah ummi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga

Di terik padang pasir merak
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada Allah
Itulah wanita Siti Hajar….

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah,
harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah….

Ady berkata...

memang cerita yg menarik,seperti kejadian yg benar. Izinkan saya copy artikal ni tuk bacaan rakan2 saya

D berkata...

Saya percaya ini kisah benar,harap penulis tidak putus asa.

Tidak semestinya yg sudah "bertunang" akn "bernikah" dahulu..

Sesunguhnye Allah S.W.T yg berkuasa dalam mentadbir alam dan makhluk ciptaanya..

Dengan izinnya, keajaiban boleh berlaku..Insyallah.

Nur Mawaddah Mahdiyah berkata...

ermmm....

Hamba Allah berkata...

Saya sokong D, Selagi blm berpisahnya roh dan jasad selagi tu masih ada perluang. Pada org yg penulis maksudkan jangan lak kejam menolak permintaan penulis kerana pekerjaan yg penulis unsurkan sangat mulia disisi bangsa dan agama. Terlalu sdh kisah ini dan terlalu kejam pada org yg penulis maksudkan. Dalam keadaan mcm ni pun msh blh menolak wasiat yg dibuat.

Nur Mawaddah Mahdiyah berkata...

hamba Allah:

mgkin bg phak anti manusia yg mnlak unsur yg dcadangkn adlah kejam?mgkin yg mnlk mmpunyai alsan yg tersndri....terlalu skar utk dperkatakan ...Allah swt telah mengaturkan yg terbaik untuk stiap umatnya.....

Nur Mawaddah Mahdiyah berkata...

"Dan
engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku,
padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan (demikianlah)
perbuatan Allah yang membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan
sebaik-baiknya, sesungguhnya Ia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa
yang kamu lakukan." (Surah al-Naml: 88)

mira berkata...

saya sokong pendapat hamba Allah
dan menyangkal hujah nur tu. Semua perlu usaha.Kalau hajat penulis langsung xde daya usaha dari tmn penulis maknanya memang xsuke apa yg penulis cdgkan dan mungkin juga penulis hanya bertepuk sebelah tangan

Ady berkata...

MIra... saya sokong 100%. Kesian penulis

Dilla berkata...

Assalamualaikum,
maaf menyampuk perbualan,
saya menyokong pendapat Hamba Allah, bahawa, kerjaya yang diwasiatkan oleh penulis itu tersgt mulia,

tetapi, betul juga kata Nur.
Apa yang dirancang tak semestinya kita miliki,mungkin teman si penulis telah mendapat peluang yang lebih baik atau mungkin belum ada rezeki untk bergelar pendidik...

jangan la kita menghukum teman si penulis ini. Saya percaya usaha telah dijalankan untuk kearah itu...