Jumaat, 24 September 2010

Larangan Allah ada hikmahnya

ISLAM adalah agama serba sempurna dan diturunkan lengkap dengan aturan demi kesejahteraan manusia. Melalui al-Quran, umat Islam tidak hanya dipandukan dengan jaringan penghidupan bersyariat yang tetap dan hal itu termasuk dalam aspek perintah dan larangan Allah.


Semua yang baik dianjurkan dan segala mengandungi kemudaratan buat manusia, Allah adakan larangan. Mengapakah manusia seperti kita ini perlu diberikan panduan untuk menjalani kehidupan di dunia ini? Manusia sebagai khalifah Allah di bumi walaupun dilengkapi dengan akal fikiran, masih kurang ‘kuasa’ untuk berhadapan dengan nafsu dan godaan syaitan. Inilah dua musuh utama manusia yang semestinya disedari dan sentiasa berwaspada. Lantaran itu, dengan panduan daripada Allah dan Rasulullah s.a.w, manusia akan berupaya membina landskap kehidupan bermutu tinggi. Jadi, dalam bicara kali ini marilah kita bersama-sama menghayati dengan kualiti akal segala yang dilarang Allah Taala kepada manusia. Baiklah, sekarang kita tinjau larangan yang terkandung dalam al-Quran, kemudian kita telusuri pula dari segi saintifik mengapakah larangan itu Allah kenakan kepada kita.

1. Larangan berzina

Zina satu dosa besar yang amat dilarang Allah, namun dalam dunia serba moden ini perbuatan itu sudah menjadi penyakit sosial yang semakin kronik. Ramai golongan muda Islam yang turut hanyut dengan gejala ini. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 bermaksud,: ‘Dan janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang amat jahat.’ Allah mengancam pelaku zina itu dengan ancaman azab seksa yang maha pedih di akhirat kelak. Baiklah, sekarang mari kita selidik secara ringkas dari segi saintifik pula apa yang ada di sebalik perbuatan zina itu? Banyak kajian yang dilakukan pakar perubatan menunjukkan pelbagai penyakit timbul akibat zina. Antaranya yang kini sangat membimbangkan ialah penyakit kelamin seperti sifilis dan Aids. Dari sehari ke sehari, jumlah penghidap Aids bertambah dan melalui kajian perubatan, antara faktor pencetus penyakit itu menular ialah kerana amalan seks bebas. Ini tentunya termasuk berleluasanya zina dan seks sejenis. Rasulullah sendiri berpesan kepada kita agar menjauhi amalan keji itu dalam hadis yang bermaksud: ‘Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Tiga yang diperoleh di dunia ialah hilangnya seri di wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperoleh di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka.’ (Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Al-Hakim ). Benarlah ramalan nabi mengenai kroniknya masyarakat Islam suatu hari nanti apabila Baginda mengatakan: ‘Akan muncul daripada umatku mereka yang menghalalkan perbuatan zina, menghalalkan sutera bagi lelaki, minum arak dan lagu yang melalaikan.’ (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari). Keempat-empat perbuatan yang nabi nyatakan itu sudah pun menjadi perkara lumrah dan tidak lagi dilakukan secara berselindung, misalnya minum arak. Sekarang, mari lihat statistik yang menggerunkan kita. Mengikut statistik sehingga Disember 2005, terdapat sejumlah 4.3 juta kes HIV/Aids di seluruh dunia dan di Malaysia saja ada 52,000 kes. Kementerian Kesihatan pula dalam datanya menunjukkan 40 peratus daripada mereka yang dijangkiti HIV terdiri daripada remaja berumur 29 tahun ke bawah. Inilah akibatnya apabila peringatan Tuhan dan segala pesanan nabi supaya menjauhi zina tidak dihiraukan. Ini di dunia, di akhirat nanti tentu azab seksa api neraka menunggu si pelakunya. Nauzulbillah min zalik, mintalah dijauhkan daripada kita semua amalan buruk yang dilaknat Allah ini.

2. Minum arak

Arak jelas diharamkan Islam sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90 bermaksud: ‘Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan melihat nasib menggunakan anak panah adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya.’ Malah Rasulullah ada menegaskan: ‘Hindarkanlah diri daripada arak, sesungguhnya ia pembuka segala kejahatan.’ (Hadis riwayat Al-Hakim). Apa ada di sebalik arak itu? Arak ialah alkohol dalam bentuk ‘ethyl alcohol’ dan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak serta sering mengakibatkan ketagihan. Hasil satu kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2004 terdapat dua bilion penduduk dunia minum arak dan 76.3 juta daripada jumlah itu mengalami masalah kesihatan serius. Malah, di Eropah saja dilaporkan 1.8 juta kes kematian disebabkan arak. Begitulah keadaannya di negara kita. Gejala remaja dan belia Islam yang minum air syaitan ini sudah terikut-ikut sama.

Nampaknya kemodenan Barat hanya mereka lihat kepada budaya dan gaya hidup saja. Ini menyedihkan kerana sepatutnya unsur positif yang bersesuaian dengan agama perlu diamalkan. Yang jelas, apa saja yang masyarakat Barat lakukan, mereka pun turut amalkan. Kepada yang terlajak melakukannya selama ini, segeralah bertaubat kepada Allah kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.

Demikianlah peringatan daripada Allah iaitu jauhi zina dan arak yang di sebalik larangan-Nya, tersirat makna saintifik yang kini semua pakar perubatan mengakui kebenarannya. Jadi, hendaklah kita sentiasa beringat terhadap segala larangan Allah, demi kebaikan kita.

0 comments: