Jumaat, 24 September 2010

PESANAN ALLAH SWT & NABI SAW

عن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : يقول تعالى : يابن آدم تفرّغ لعبادتي أملأ صدرك غنى وأسُدّ فقرك وإلاّ تفعل ملأتُ يديك شُغلا ولم أسُدّ فقرك

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda : ALLAH SWT berfirman : “ Wahai anak Adam! Luangkanlah dirimu untuk beribadat; nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kecukupan,dan Aku menutup kefakiran kamu. Jika kamu tidak melakukannya nescaya Aku membuatkan diri kamu sentiasa dalam keresahan dan Aku tidak menutup kefakiran kamu. “
( Riwayat Tirmizi )

ULASAN HADIS :
1. Di dalam hadis ini Nabi SAW menyampaikan pesanan yang disampaikan oleh ALLAH SWT. Sesungguhnya ibadah adalah suatu perkara yang perlu diutamakan oleh setiap hamba, kerana ciptaan kita di muka bumi ALLAH adalah beribadah kepadaNYA.


2. Ibadah yang benar serta ikhlas kepada ALLAH akan menjadikan kita merasa cukup dengan ALLAH. Apabila merasa cukup, maka ALLAH akan menutup segala kefakiran hamba.Jika kita tidak ada masa dan ruang untuk beribadah kepadaNYA maka ALLAH meresahkan hati kita serta tidak menutup kefakiran kepada kita. Kefakiran yang dimaksudkan bukanlah fakir dari segi harta benda semata.


3. Ibadah yang dilaksanakan menerusi hati dan jasadnya, khusyu’ dan merendahkan diri di hadapan ALLAH Yang Maha Esa, menghadirkan (dalam hati) betapa besar keagungan ALLAH, benar-benar merasa bahwa ia sedang bermunajat kepada ALLAH Yang Maha Menguasai dan Maha Menentukan. Yakni beribadah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis.“Ertinya : Hendaknya kamu beribadah kepada ALLAH seakan-akan kamu melihatNYA. Jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihatmu”


4. Ibadah terbahagi kepada beberapa 4 jenis : 1) Ibadah kerana terpaksa mematuhi perintah ALLAH; 2) Ibadah kerana mengharapkan ganjaran dari ALLAH ; 3) Ibadah kerana takutkan ALLAH ; 4) Ibadah kerana ‘mencintai ALLAH’. Justeru, selama kita menjalani kehidupan, ibadah jenis manakah yang ada pada diri kita, atau adakah langsung tiada di dalam senarai jenis pengabdian yang ada.


5. Sebagai hamba kita hendaklah meletakkan ibadah adalah urusan pertama daripada segalanya. Susah dan beratmana sekalipun kita hendaklah memperuntukkan masa untuk ibadah. ALLAH SWT sangat cinta kepada hambaNYA yang beribadah.


6. Apabila kita berusaha mengutamakan ALLAH di dalam pengabdian kepadaNYA nescaya ALLAH SWT akan mengutamakan kita di sisi NYA.
 WALLAHU’ALAM

0 comments: