Jumaat, 24 September 2010

Pelajar IPTA Ditahan Kes Buang Bayi Di Jitra

JITRA: Seorang pelajar perempuan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Lembah Klang yang berumur 20 tahun ditahan malam semalam kerana dipercayai membuang bayi di belakang rumahnya di Taman Rasa Sayang di sini.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu DSP Ibrahim Mohd Yusoff berkata pelajar itu ditahan kira-kira 8.30 malam selepas polis membuat siasatan setelah menerima maklumat orang awam berhubung penemuan bayi di belakang rumah tersebut pada sebelah petang.

"Kita menerima maklumat daripada orang awam tentang penemuan bayi tersebut kira-kira 5.30 petang semalam dan apabila kita ke tempat kejadian, bayi seberat 2.8kg yang masih bertali pusat itu telah dibawa ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata selepas membuat siasatan, pihaknya menemui uri bayi tersebut dalam longkang di belakang rumah suspek.

Katanya berdasarkan siasatan lanjut, polis berjaya mengesan pelajar yang dipercayai ibu kepada bayi tersebut dan menghantarnya ke Hospital Jitra untuk rawatan.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Berdasarkan maklumat, suspek pulang ke kampung sempena hari raya dan ibu bapanya tidak mengetahui suspek mengandung.

"Bayi itu dipercayai dilahirkan di bilik air rumah suspek sebelum diletakkan di belakang rumah suspek," katanya. -BERNAMA

0 comments: