Sabtu, 26 Mac 2011
As-Sunnah sebagai rujukan kedua di dalam Masalah Iman
*** Bismillahirrahmanirrahim ***
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***
Apa yang disebut dan dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-sunnah maka dipegang pada berdasarkan kaedah dan pertunjuk salaf dan diimani. Sesungguhnya akal tidaklah dapat mengetahui perkara –perkara ghaib bahkan juga tidak mengetahui akan keadaan Allah dan bagaimanakah cara untuk beriman kepada Allah dengan yang sepatutnya.
Al-Imam As-Syafie rahimahullah berkata : "Setiap apa yang datang daripada As-sunnah merupakan penjelasan kepada Al-Quran. Maka setiap orang yang menerima Al-Quran maka wajib kepadanya untuk menerima sunnah rasulullah, kerana Allah telah mewajibkan kepada hamba-Nya untuk mentaati rasul-Nya dan mematuhi hukum-hukumnya yang diputuskan olehnya. Orang yang menerima apa yang datang dari Rasulullah Salallahualaihiwasalam bermakna dia telah menerima apa yang datang daripada Allah swt kerana Allah telah mewajibkan kepada kita untuk mentaatinya."
Pengertian hadis di dalam Islam ialah “Setiap sesuatu yang disandarkan kepada nabi Muhammad salallahualaihiwasalam baik berupa perkataan, perbuatan, pernyataan atau sifat.”
Maka apabila disebut perkataan hadis yang menjadi maksud kita ialah hadis yang sahih kerana hadis itu membawa maksud perkataan dan ucapan nabi salallahualaihiwasalam dan hanya hadis yang sahih ini sahaja yang diyakini datang daripada nabi.
Pengertian hadis sahih ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang adil, kuat ingatannya serta sanadnya bersambung dan tidak pula ada kecacatan (Illat) juga kejanggalan (Syaz) pada hadis.
Oleh yang demikian, apabila sesebuah hadis sahih itu sampai kepada kita maka beriman dan menerima hadis tersebut ialah wajib. Ini kerana peranan hadis atau sunnah rasulullah itu ialah sebagai penerang dan penjelas isi kandungan Al-Quran.
Seperti firman Allah swt :
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” -Surah Ali Imran :164.
Peranan Rasulullah ialah mengajarkan isi kandungan Al-Quran kepada umat baginda dan setelah kewafatan baginda yang sampai dan tinggal kepada kita ialah Hadis baginda dan teladan serta para sahabat baginda yang menjadi rujukan kita di dalam beragama.
Firman Allah Subhanahu waTa’ala:
Maksudnya :
“Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.”-Surah An-Nahl :44.
Lihatlah bagaimana Allah swt menggunakan kalimah “Litubayyina linnaas” yang bermaksud “untuk menerangkan dan mengajarkan manusia tentang apa yang diturunkan oleh Allah dan memelihara perintah Allah serta mengikutinya.”
Inilah bukti kukuh peranan rasul ialah untuk menerangkan isi kandungan Al-Quran dan hadis baginda yang mengandungi penerangan-penerangan terhadap agama ini perlu dijadikan hujah dan panduan di dalam beragama. Allah memerintahkan kita mengikut hadis rasulullah dan mengikuti pertunjuk baginda di dalam beragama sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam sendiri :
Maksudnya :
“Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (iaitu Sunnah).”
Inilah jalan dan pertunjuk yang sahih dalam beribadah iaitu menetap pada pertunjuk sunnah yang dibawa dari Al-Qur’an dan ajaran rasul kepada umat-Nya iaitu para sahabat ra dan dipelihara oleh ummah melalui ilmu dan manhaj yang dikenali sebagai salafus soleh.
Ilmu manusia adalah sangat terhad dan tidak wajar bagi kita untuk mengatakan sesuatu di dalam masalah Iman tanpa ilmu pengetahuan atau dengan ketiadaan pertunjuk salaf (golongan beriman yang hidup disepanjang 3 kurun Islam yang pertama). Sungguh manusia selamanya tidak akan mampu dengan fikirannya dan akalnya yang terbatas untuk mengetahui hakikat dan perihal aqidah melainkan apa yang ditunjukkan oleh Allah swt . Demikianlah para ulama salaf soleh berpegang dan menetapkan aqidah dan kepercayaan berdasarkan dalil yang sahih sebagaimana berkatanya Imam As-Syafie rahimahullah : “ Aku beriman dengan Allah atas apa yang di datangkan oleh Al-Quran dan As-sunnah dan aku beriman kepada rasul atas apa yang dibawanya iaitu sunnah.”
Sesungguhnya perkara keimanan yang merupakan asas agama tidaklah diambil dari mana-mana pendapat imam , bahkan tidak pula dari ijtihad mana-mana ulama’ atau manusia sebaliknya Iman di ambil secara langsung dan khusus dari sumber asli Islam iaitu wahyu dari Allah swt dan juga panduan serta hidayah rasul-Nya iaitu sunnah yang tidaklah rasul itu berbicara melainkan dari wahyu juga.
Maksudnya :
“Dan Tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” – Surah An-Najm : 3-4.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan