Ahad, 20 Mac 2011

Maksiat

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

 Solat itu mencegah kemungkaran, saya menjaga solat 5 waktu tetapi masih lagi berkeinginan melakukan maksiat, kenapa ini berlaku?’. Begitulah persoalan yang ditimbulkan dengan ayat yang sedikit berbeza.
Memang jelas dinyatakan di dalam surah al Ankabut ayat 45 bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Ini adalah firman Allah SWT dan setiap firman Allah SWT di dalam Al Quran adalah benar dan tidak diragui lagi.

Sepatutnya keraguan tidak timbul pada diri orang yang bertanya sekiranya dia mendalami maksud ayat tadi dan juga mendalami ayat-ayat dan hadith lain yang berkaitan dengan persoalan yang ditimbulkannya iaitu persoalan ‘keinginan melakukan maksiat’.
Ayat tersebut menyatakan bahawa solat yang sempurna akan mencegah orang yang menunaikannya daripada perbuatan keji dan mungkar. Di dalam ayat tersebut tidak disebutkan bahawa orang yang solat tidak ada ‘keinginan’ untuk melakukan maksiat.

Keinginan melakukan maksiat memang ada dalam diri setiap manusia seperti yang disebutkan dalam ayat-ayat Al Quran contohnya surah al Syams ayat 8 bermaksud: ‘Maka Dia telah mengilhamkan setiap jiwa kejahatan dan ketaqwaan’. Rasulullah SAW juga menceritakan tentang rahmat Allah SWT yang tidak menyiksa manusia sekiranya dia hanya sekadar terlintas di dalam hatinya keinginan untuk melakukan maksiat (hadith riwayat al Bukhari – hadith no.6491 dan Muslim – hadith no.350).

Satu lagi perkara penting ialah solat itu sendiri perlu dilihat adakah tepat atau tidak mengikut seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: ‘Solatlah kamu seperti aku solat’? (hadith riwayat al Bukhari – hadith no.631). Maka sebelum seseorang itu bertanya tentang kesan solat terhadap dirinya, perlulah dia meneliti adakah solatnya itu seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW ataupun tidak. Adakah solatnya sah atau batal? Adakah solatnya dilakukan dalam keadaan khusyuk (berfokus) atau bersahaja dan lalai?

Bagi mereka yang telah menunaikan solat dengan bersungguh-sungguh dan cuba menepati solat yang diajar oleh Rasulullah SAW, tetapi masih melakukan maksiat atau berkeinginan melakukan maksiat, saya ada beberapa nasihat untuk kita kongsi bersama:

1. Syaitan itu musuh kita. Dia telah bersumpah di dalam Al Quran sebagaimana di dalam surah Shod ayat 82, surah al A’raf ayat 16 dan 17 bahawa dia akan sentiasa berusaha menyesatkan manusia setiap masa dan setiap waktu. Maka tidak hairanlah kita akan sentiasa berkeinginan atau terlintas untuk melakukan maksiat. Di dalam surah yang sering kita baca, al Naas, Allah SWT menyifatkan syaitan sebagai makhluk yang akan membisikkan ke dalam hati manusia perkara kejahatan.

2. Hanya malaikat yang bersih daripada keinginan melakukan maksiat atau lintasan hati untuk melakukan maksiat. Begitu juga para Nabi dan Rasul yang mendapat pemeliharaan (‘ishmah) daripada Allah SWT bagi memelihara kesucian perjuangan mereka. Adapun manusia biasa, maka tidak terlepas daripada lintasan hati untuk melakukan maksiat. Manusia yang bertaqwa ialah mereka yang menghalang dirinya daripada mengikut keinginan tersebut. Ini jelas daripada firman Allah SWT di dalam surah al Naazi’at ayat 40 yang menceritakan bahawa sifat ahli syurga ialah dia menghalang kehendak dirinya untuk melakukan maksiat di dunia.

3. Keinginan melakukan maksiat bukanlah maksiat. Lintasan hati untuk melakukan maksiat bukanlah maksiat. Ini telah dijelaskan seperti yang tertera dalam maksud hadith riwayat al Bukhari dan Muslim yang disebut di awal tulisan ini.

4. Setiap ayat di dalam Al Quran perlu difahami dengan melihat ayat-ayat lain yang ada di dalamnya. Ini adalah kerana Al Quran diturunkan sebagai kitab yang lengkap melengkapi dan berkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Menghadkan pandangan kepada satu atau dua ayat semata-mata akan menyebabkan kita kurang memahami maksud sebenar ayat tersebut. Maka sesiapa yang melihat ayat bahawa solat itu mencegah kemungkaran, perlu juga dia melihat ayat yang menceritakan bahawa manusia itu mempunyai kesediaan untuk melakukan kebaikan dan kejahatan, maka manusia yang bertaqwa ialah manusia yang menghalang dirinya daripada mengikut hasutan ke arah kejahatan.

5. Orang bertaqwa juga tidak akan terlepas melakukan kemungkaran akibat terlalai atau kurang imannya kerana iman itu meningkat dan menurun. Di dalam surah Ali Imran ayat 135, Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang bertaqwa dan di dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman bahawa orang yang bertaqwa juga ada masanya melakukan dosa lalu dia bersegera bertaubat. Maksud yang sama juga ada disebut dalam ayat 201 surah al A’raf.

Semoga kita sama-sama mengambil peringatan daripada tulisan ringkas ini dengan memperbaiki mutu solat kita agar lebih menyerupai solat Rasulullah SAW. Begitu juga kita perlu sentiasa mendidik diri agar bertaqwa kepada Allah SWT bukan sekadar di dalam solat, tetapi di luar solat dalam seluruh kehidupan. Sikap ini memang payah tetapi perlu diusahakan sedikit demi sedikit. Semoga Allah SWT membantu kita dalam memperbaiki amalan dan jiwa kita ke arah ketaqwaan. Amin

0 comments: