Sabtu, 26 Mac 2011

SUMBER AQIDAH DI SISI AHL SUNNAH

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

Nikmat Iman dan Islam merupakan anugerah Allah kepada hambanya yang dipilih berdasar kehendaknya. Hanya dengan Iman dan Islam yang akan dapat menyelamatkan seseorang daripada azab api neraka dan dengan Iman serta Islam jualah maka seseorang itu boleh berpeluang ke syurga yang indah dan mengecapi nikmat kekal abadi.
Sebagaimana firman Allah swt dalam Al-Quran :
Maksudnya :
" Dan sebelumnya kamu tidak pun mengetahui apakah itu Al- Kitab (Al-Quran) dan tidak juga mengetahui apakah itu Iman. Tetapi kamilah yang menjadikan Al-Quran itu cahaya dan pertunjuk kepada sesiapa yang kami kehendaki dari kalangan hamba kami." - As-Syura : 52.
Membincangkan perkara Aqidah seperti perihal Iman merupakan satu perbincangan yang mulia dan amat penting. Aqidah merupakan perkara dasar dan menjadi pokok serta usul kepada agama Islam. Bahkan seawal-awal perkara yang wajib diketahui bagi setiap mukallaf sebelum solat dan lain-lain kewajipan fiqhiyah ialah perkara aqidah dan mengucapkan syahadah. Maka tidak hairanlah mengapa Imam Abu Hanifah ra mengelarkan Aqidah perihalnya sebagai “Fiqh Akbar.”
Sebagaimana disebut oleh Imam Abd Izz dalam kitabnya Syarah Aqidah Tahawiyah menyebutkan bahawa hendaklah setiap muslim itu berada di dalam aqidah yang sahih dan tetap meninggalkan dunia dengan aqidah yang sahih juga sebagaimana sabda baginda salallahualaihiwasalam (yang bermaksud) : “ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah ( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.”
Sesungguhnya memahami masalah Iman dan mempelajarinya tidaklah sama seperti mempelajari ilmu-ilmu lain seperti Feqah sekalipun ianya turut melibatkan soal halal dan haram namun perkara berkait masalah keimanan bahkan lebih bahaya kerana ia melibatkan soal benar atau sesat dan membawa akibat syurga atau neraka.
Memiliki Aqidah yang sahih dan benar mestilah dengan cara dan jalan ilmu pengetahuan serta menuruti apa-apa yang sudah jelas dan sabit yang telah diputuskan oleh para ulama’ salaf soleh terdahulu yang mengetahui kebenaran Islam daripada tafsiran rasulullah.

Iman merupakan perkara yang sudah disepakati oleh para ulama’ Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan para Imam salaf soleh sebagai termasuk dalam bab “Tauqifiyah” (iaitu perkara-perkara yang tidak diistinbatkannya melainkan dengan wujudnya dalil syarak yang qatie seperti Al-Quran dan As-Sunnah). Dalil syarak bermaksud Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih yang menjadi rujukan kepada sebarang permasalahan utama dalam hal agama yang melibat perihal Iktiqadiyah (kepercayaan) .

Oleh yang demikian para ulama’ bersepakat mengatakan sumber Aqidah Islam termasuk rujukan berkenaan dengan masalah Iman ialah hanya Al-Quran dan As-Sunnah sahihah semata-mata dan diberhentikan setakat itu tanpa memperpanjangkan sesuatu hal yang tiada dalil daripada keduanya. Kerana itu ia dinamakan perkara tauqifiyah iaitu yang bermaksud berhenti.

Dengan itu, setiap perkara yang tidak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka ianya tidaklah menjadi rujukan dan sumber kepada Aqidah bahkan ditolak sebagai hujah dan menjadi dasar atau prinsip dalam ilmu aqidah atau sebagai hujah di dalam permasalahan Iman.

Maksudnya :

“ Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepadanya aku bertawakkal dan kepadanya aku kembali.” -Surah Hud :88.

Al-Quran sebagai sumber rujukan utama perkara Keimanan
Para ulama mengambil dasar perkara Aqidah dan isi pokok Keimanan daripada Al-Quran dan hal ini merupakan kewajipan asas ke atas setiap Muslim. Ini jelas berdasarkan firman Allah swt :
Maksudnya :
“(Dan ingatlah) Akan datang hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi ke atas seluruh umat manusia dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” - Surah An-Nahl : 89.
Ibnu Mas’ud radiallahuanhu berkata : “ Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa seluruh ilmu pengetahuan dan segalanya telah diterangkan oleh Al-Quran.” 
Baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah memperingatkan umatnya akan kehujahan dengan Al-Quran melalui sabdanya yang bermaksud : “Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.”
Maksudnya :
“Katakanlah (wahai Muhammad) al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) daripada Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat untuk meneguhkan iman orang yang beriman dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang Islam. Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka yang musyrik itu berkata: Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing sedangkan al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.”- Surah an-Nahl : 102-103.

Para ulama’ menyebutkan bahawa dalam perkara Iman tidak boleh wujud perkara-perkara ijtihad dan pendapat akal, kerana perkara Keimanan merupakan soal ghaib dan tidak dapat dilihat dengan pancaindera sebaliknya Iman merupakan iktiqad kepercayaan yang melibatkan dalil syara semata-mata.

Malahan apabila membincangkan soal Aqidah Islam dan perihal berkait masalah Iman ini maka hanya Allah swt sahaja yang mengetahui akan kebenaran tanpa selain-Nya. Oleh itu adalah sewajarnya setiap hamba menyembah-Nya dengan panduan dan pertunjuk yang diberi.
Sehinggakan para rasul juga tidak terkecuali daripada termasuk di kalangan mereka yang tidak mengetahui perihal ghaib.
Maksudnya :
“Katakanlah : aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak (pula) aku mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu bahawa aku seorang malaikat. aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: "Apakah sama orang yang buta dengan yang melihat?" Maka Apakah kamu tidak memikirkan(nya)?." -Surah Al-An’am : 50.
Telah menjadi pedoman dan pegangan ulama’ salaf soleh dalam masalah aqidah dengan berpada kepada dalil Al-Quran dan As-Sunnah serta meninggalkan akal dan pendapat waras serta logik di dalam memahami perkara Keimanan dan mengistinbatkan maksud dasar aqidah dari dalil-dalil syara’ baik Al-Quran dan As-Sunnah mengikut teladan salaf soleh semata-mata.
Marilah kita mengambil iktibar dari kalam Imam Ibn Taimiyyah ra yang diriwayatkan pernah berkata : “Sesungguhnya iktiqad (kepercayaan dan pegangan agama) tidaklah diambilnya dari aku atau sesiapa yang lebih hebat dari diriku sebaliknya ambillah dari Allah dan dari rasul-Nya dan apa yang dihimpunkan oleh ulama salaf dan jika ianya dari Al-Qur’an wajiblah kita beriktiqad dengannya begitulah juga apa yang sabit jelas datang dari hadis yang sahih seperti Bukharidan Muslim.”

0 comments: