Ahad, 24 April 2011

Solat Jumaat : Benteng Ummah yang Semakin Retak

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

Allah SWT telah menganugerahkan satu hari dalam seminggu untuk kita berkumpul beribadah kepadanya. Di dalamnya mengandungi begitu banyak keistimewaan serta hikmahnya tersendiri berbanding hari-hari lain. Di dalamnya ada waktu yang sangat mustajab untuk berdoa. Di dalamnya disyariatkan solat Jumaat dan di dalamnya juga disyariatkan khutbah Jumaat. Firman Allah SWT di dalam maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan solat Jumaat maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu ketahui." (surah Al-Jumuah ayat: 9)
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu direbut manfaatnya untuk beroleh ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Barang siapa pergi ke masjid (untuk solat Jumaat) pada saat yang pertama, maka seakan-akan dia berqurban seekor unta. Dan barang siapa yang pergi ke masjid pada saat kedua, seakan-akan dia berqurban seekor lembu. Dan barang siapa yang pergi ke masjid pada saat ketiga, seakan-akan dia berqurban seekor kambing biri-biri yang bertanduk, dan barang siapa yang pergi ke masjid pada saat keempat, seakan-akan dia berqurban seekor ayam. Dan barang siapa yang pergi ke masjid pada saat kelima, seakan-akan dia berqurban sebiji telur... (hadis riwayat Albukhari, Muslim, Ahmad dan Abu Daud)
Jumaat atau dalam bahasa Arabnya daripada perkataan "jama'a", bermakna 'berkumpul'. Makna berkumpul itu sendiri boleh dilihat melalui tuntutan menunaikan solat Jumaat ini. Pada waktu ini, para jemaah berkumpul untuk mendirikan solat di samping mendapatkan ilmu daripada bacaan khutbah bersama-sama jemaah lain tanpa menghiraukan soal status, pangkat, dan kekayaan masing-masing. Pada ketika inilah manusia itu dipandang sama dan setaraf.
Itulah antara hikmah diciptakan hari Jumaat. Ia seakan ruang terbaik untuk manusia kembali berkumpul dan bersatu. Malah hikmah Allah SWT mewajibkan solat Jumaat adalah supaya kita sentiasa diperingati untuk menambahkan ketaqwaan kepada-Nya. Dengan disyariatkan khutbah Jumaat jugalah telah memberi peluang kepada kita untuk mendengar nasihat dan peringatan agar dapat memperbaharui keimanan kepada Allah serta mencambahkan lagi kecintaan terhadap Islam.

0 comments: