Jumaat, 12 Mac 2010

Peribadi Sayyidatina Siti Khadijah R.A


Sayyidatina Khadijah R.A merupakan anak kepada Khuwalid Bin Assan. Nasab Siti Khadijah R.A bertemu dengan junjungan besar Nabi Muhammad Sallahualaih wasalam melalui datuknya yang keempat. Di dalam sejarah pernah dipetik bahawa Khuwalid merupakan seorang yang berani. Diceritakan pernah datang seorang yang hebat bernama Taba' ingin mencabut Hajar Aswad dan membawanya pulang ke negerinya. Berita itu sampai kepada ayah Siti Khadijah dan beliau membawa pedangnya dan menghalang Taba' dari meneruskan perbuatannya itu. Melihat keberanian Khuwalid, Taba' berundur dan membatalkan niatnya untuk mencabut Hajar Aswad.

Ibu beliau bernama Fatimah. Personaliti Siti Khadijah banyak dipengaruhi oleh dua orang yang begitu rapat dengan beliau.

i) Hakim Ibnu Izam(Anak saudaranya)
ii) Waraqah bin Naufal (Sepupunya)

Hakim Ibn Izam merupakan seorang pemuda yang yang bijaksana. Semasa berumur 15 tahun lagi, beliau sudah layak memasuki Najwah(Parlimen) di Mekah pada masa itu. Biasanya golongan yang layak untuk memasuki Najwah adalah pada umur 40 tahun. Namun, beliau lebih banyak berkecimpung dalam bidang perniagaan. Minat ini tertanam kepada Siti Khadijah sehingga menjadi seorang usahawan wanita yang disegani.

Waraqah merupakan seorang yang beragama dan merupakan seorang ahli kitab yang asli. Beliau telah mengetahui dan percaya akan kedatangan nabi akhir zaman dan sentiasa menunggu kedatangannya. Beliau banyak mengajar Khadijah tentang Allah, syurga dan agama.

Suami yang awal :-
i) Atiq Ibn Atib - melahirkan anak bernama Abdullah
ii) Hind Ibn Zuhrah - Hendon, Zainab dan beberapa orang lagi.

Semenjak pada zaman jahiliah lagi, Siti Khadijah R.A disegani dan dihormati. Justeru itu, beberapa gelaran telah diberikan kepada beliau. Antaranya:

1) At-Tohiroh(Suci) - Siti Khadijah R.A. tidak pernah menghadiri sebarang perjumpaan atau pertemuan dengan lelaki berkaitan dengan perniagaan. Walaupun beliau merupakan seorang usahawan wanita yang ulung namun beliau tidak bertemu lelaki untuk berbincang hal perniagaan. Kebanyakannya diserahkan kepada pembantu beliau. Siti Khadijah juga enggan duduk bersama wanita yang suka melakukan maksiat. Beliau begitu menjaga keperibadian beliau.

2) Saidatina Quraisy (Penghulu wanita Quraisy) - Masyarakat begitu menyanjungi beliau. Walaupun beliau begitu kaya-raya, tetapi beliau tidak pernah lalai dan hilang punca kerana harta. Dengan kekayaan yang melimpah-ruah, Siti Khadijah tetap berguru dengan Waraqah bin Naufal.

3) Ummu Mukminin - Setiap wanita yang dinikahi oleh Nabi akan mendapat gelaran ini. Oleh itu Siti Khadijah merupakan Ummu Mukminin yang pertama.

4) Saidatina Nisa Lil Alamin - Penghulu wanita untuk sekalian alam sehingga di syurga nanti.

Sebagai nota tambahan, 4 orang wanita yang merupakan penghulu wanita di dunia dan syurga adalah :-
i) Siti Khadijah R.A
ii) Siti Mariam
iii) Asiah Isteri Firaun
iv) Fatimah Zahra (anak Rasulullah)

Permulaan perkenalan Nabi dan Siti Khadijah

Melalui pembantu beliau iaitu Maisarah, jelas sekali Maisarah melihat tanda-tanda kenabian pada Nabi Muhammad Sallahualaih wasalam. Pernah semasa dalam perjalanan untuk berniaga seorang ahli kitab melihat pokok yang mana nabi berlindung di bawahnya tunduk untuk melindungi nabi dari cahaya matahari. Beliau menyatakan kepada Maisarah bahawa jelas manusia yang berada di bawah pokok itu adalah seorang nabi. Begitu juga dengan kumpulan awan yang sentiasa mengekori nabi kemana sahaja baginda bergerak. Dari tanda-tanda itulah Maisarah meminta Khadijah untuk melamar nabi kita.

Anak pertama yang dilahirkan oleh Siti Khadijah adalah seorang anak perempuan iaitu Zainab. Walaupun masyarakat Arab Jahiliah pada masa itu memandang anak perempuan sebagai satu keaiban, namun nabi tetap ceria menyambut kelahiran tersebut. Seterusnya Siti Khadijah melahirkan Umi Kalthum, Ruqayah dan Qasim. Walaupun belum dilantik menjadi Rasul jelas tanda-tanda kenabian pada Rasulullah. Di sini pertemuan Rasulullah dan Siti Khadijah R.A. telah dirancang oleh Allah dengan persiapan-persiapan yang tersendiri.

Namun, semua anak lelaki nabi meninggal sewaktu kecil. Semasa kematian Qasim, Siti Khadijah mengalami tamparan yang begitu hebat sekali. Ini kerana susu di badan Siti Khadijah masih menitis semasa Qasim meninggal dunia. Akibatnya nabi terpaksa menenangkan Nabi dan Allah mengizinkan nabi memperlihatkan mukjizat beliau dengan memperdengarkan suara Qasim di syurga sehingga Siti Khadijah kembali tenteram.

Semasa nabi berkhalwat dan bersendirian di gua Hira', Siti Khadijah tidak pernah bermasam muka dengan nabi malah menyiapkan makanan dan keperluan Nabi Sallahualaih wasalam. Malah ada ketikanya semasa Khadijah merasakan bekalan makanan nabi telah habis, beliau sendiri mendaki gua Hira' untuk membawa bekalan makanan ke sana walaupun pada masa itu usia beliau sudah lanjut. Jika anda pernah ke sana, anda akan melihat sendiri bagaimana sukarnya untuk mendaki gua Hira'. Namun Siti Khadijah tetap cekal untuk berkorban demi suami tercinta.

Betapa kita kadang-kadang terlepas pandang akan kemuliaan Siti Khadijah R.A. Beliau merupakan orang pertama yang mendengar wahyu yang pertama ketika ia masih hangat di mulut nabi sewaktu menenangkan nabi yang berselimut kerana gementar.

Khadijah menjadi tulang belakang di dalam usaha dakwah nabi sehingga akhir hayat beliau. Segala harta yang dimiliki dihabiskan dalam usaha dakwah meluaskan Islam. Sehinggalah akhir tahun ke-7 kenabian, sekatan yang dikenakan oleh orang Quraisy terhadap umat Islam menyebabkan seluruh Bani Hasyim dipulaukan dengan sekatan yang amat dasyhat. Walaupun Siti Khadijah tidak termasuk dalam pemulauan itu tetapi beliau tetap bersama dengan nabi dalam peristiwa tersebut.

Pada awal pemulauan, usaha Siti Khadijah melalui rangkaian perniagaannya beliau berjaya menyeludup makanan masuk ke tempat pemulauan. Namun ia tidak berjalan lama dan disedari oleh pihak Quraisy dan menyekatnya. Sehinggalah satu keadaan, Ummu Mukminin terpaksa memakan daun-daun kerana ketiadaan bekalan makanan.

Akibat daripada dugaan yang berat tersebut beliau akhirnya sakit tenat. Namun semasa saat kematian beliau yang paling dirisaukannya adalah suami dan anak kesayangan beliau iaitu Fatimah. Fatimah mendapat tempat yang istimewa di hati Siti Khadijah kerana dua perkara :-

i) Fatimah merupakan anak bongsu
ii) Fatimah paling menyerupai Nabi Muhammad

Beliau akhirnya meninggal tanpa merasa sesal terhadap segala penderitaan yang dilalui bersama nabi. Nabi sendiri yang melakukan segala persiapan untuk menyempurnakan jenazah Siti Khadijah. Walaupun Siti Khadijah R.A telah lama meninggalkan nabi, namun baginda sentiasa mengenang Siti Khadijah. Semasa Siti Khadijah R.A masih hidup, Allah telah menyampaikan berita kepada nabi bahawa sebuah rumah di syurga telah disiapkan oleh Allah istimewa untuk Siti Khadijah R.A atas pengorbanan beliau selama ini.

Siti Khadijah R.A juga mendapat salam daripada Allah dan Jibril semasa menziarahi nabi. Ulama'-ulama' berselisih pendapat samada hanya Siti Khadijah R.A. seorang yang mendapat salam dari Allah dan Jibril ataupun Aisyah turut mendapat penghormatan yang sama. Aisyah juga pernah membuat pengakuan bahawa satu-satunya manusia yang beliau sentiasa merasa cemburu adalah Siti Khadijah kerana Nabi sentiasa menceritakan kebaikan beliau kepada isteri-isteri Baginda.

Dari:Ibnu..

3 comments:

Tanpa Nama berkata...

thanks for sharing the info ^_^ may Allah bless you.

Mohd Fairuz Mat Zin berkata...

Ya Allah ! Sungguh tinggi pengorbanan Ummu Mukminin Siti Khadijah R.A. Syukran atas artikel ini.

Hayati Chambate Srikandi Islam berkata...

Ya Allah!!!...tiada kata mampu ku ungkap,hanya titsan air mata😢...inilah cinta paling agung Ummu Mukminin Siti Khadijah R.A. kepada suaminya Rasul Allah (Muhammad s.a.w)