Selasa, 27 Oktober 2009

Pakaian Yang Diharamkan

Ulama termasyhur, Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi, berkata Islam mengharamkan wanita memakai pakaian ketat, nipis, jarang atau boleh menggambarkan bentuk badan selain menampakkan apa di sebalik pakaian itu.

Menurutnya, Islam juga mengharamkan pakaian yang menelanjangkan setengah badan, khususnya tempat sulit yang boleh menimbulkan fitnah diri kepada lelaki asing. Beliau memetik hadis sahih daripada Abu Hurairah r.a katanya, bersabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang aku belum pernah melihat mereka, iaitu suatu kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu, mereka memukul orang dengannya (iaitu penguasa yang kejam) dan wanita-wanita berpakaian separuh bogel, yang menarik orang melakukan maksiat, di samping dia sendiri melakukan maksiat pula, kepalanya meninggi lonjong seperti bonjol unta, mereka ini tidak dapat memasuki syurga, tidak dapat mencium syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jauh perjalanan sekian dan sekian…” (Riwayat Muslim).

Al-Qardawi dalam bukunya, Halal dan Haram Dalam Islam menghuraikan hadis berkenaan: “Dikatakan kepadanya berpakaian bogel kerana pakaian yang dipakainya tidak berfungsi menutup tubuhnya kerana terlalu nipis dan jarang, sehingga pakaian itu menampakkan bentuk tubuh di sebalik pakaian itu, sebagaimana kebanyakan pakaian wanita pada zaman ini. “Bonjol unta itu adalah tulang tinggi di tengkuknya yang diserupakan kepala wanita itu dengan bonjol berkenaan, kerana ditinggikan rambutnya ke atas kepala. “Seolah-olah Rasulullah sudah melihat di belakang ghaib apa yang akan berlaku pada zaman ini, di mana dikhususkan tempat-tempat istimewa yang dikenal dengan nama salun rambut.” Kalangan ulama Islam bersetuju yang wanita seharusnya berperi laku dan berpakaian yang tidak menarik perhatian seksual kepada dirinya apabila berada dengan seseorang berlainan jantina.

Sesetengah ulama pula memperincikan bahagian yang perlu ditutupi iaitu semua tubuh kecuali muka dan tangan (pendapat yang diaplikasikan di Malaysia dan kebanyakan negara di Asia/Nusantara). Malah, ulama lain mengatakan semuanya perlu ditutup kecuali mata, menggunakan kain seperti ‘chador’ (hijab labuh seperti dipakai wanita Iran) atau ‘burqa’ (pakaian labuh bertutup semua badan kecuali mata). Hijab dipakai di kebanyakan dunia Islam.

Dalam hubungan ini al-Quran ada menerangkannya, seperti pada surah an-Nur, ayat 31, antara lain bermaksud: “Dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

” Wanita bukan saja perlu memastikan pakaiannya menutup aurat apabila di khalayak, tetapi juga mengenakan pakaian yang dikhususkan untuk mereka. Rasulullah mengisytiharkan, antara yang dilarang atas wanita untuk memakai pakaian lelaki, sebagaimana dilarang ke atas lelaki memakai pakaian wanita. (Maksud dari hadis diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Nasa’i, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Hakim).

Begitu juga Rasulullah melaknat lelaki menyerupai wanita, di samping wanita yang menyerupai lelaki. (Dari hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dan lain-lain lagi). Malah, termasuk dalam larangan dalam tutur bicara, gerak laku, cara berjalan, berpakaian dan seumpamanya. Walaupun wanita berdepan aturan ketat dalam berpakaian, mereka diberikan keistimewaan berbanding lelaki, kerana dibenarkan memakai emas dan sutera. Keistimewaan itu sesuai dengan citarasa dan tuntutan kewanitaannya yang suka berhias. Tetapi mereka dilarang menggunakan untuk menggoda dan menaikkan semangat nafsu syahwat lelaki lain, selain suaminya.

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Sesiapa saja wanita yang memakai wangi-wangian, lalu melewati tempat kaum lelaki supaya mereka dapat mencium bau wangiannya , maka dia itu adalah penzina dan setiap mata yang memandang itu pun penzina.” (Riwayat Nasa’i, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Allah Taala mengancam kaum wanita dengan firman-Nya berikut, maksudnya: “Janganlah wanita-wanita itu menghentak-hentakkan kakinya di tanah, agar diketahui apa yang disembunyikannya dari perhiasan dirinya.” (an-Nur:31) Berpakaian pula, baik wanita mahupun lelaki, tidaklah secara berlebih-lebihan dan mengangkat diri, untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah.

“Allah tidak suka kepada setiap orang yang angkuh dan sombong.” (al-Hadid:23)

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Sesiapa yang menyeretkan kainnya kerana sombong , Allah tidak akan memberikan pandangan kepadanya di hari kiamat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan berpakaian juga bukan untuk menagih kemasyhuran. “Sesiapa yang memakai pakaian menagih kemasyhuran, nescaya Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan di hari kiamat.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Dalam satu peristiwa, ada seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Umar r.a katanya: “Pakaian yang macam mana yang boleh aku memakainya? Jawabnya: Pakaian yang tidak sampai dibangga-banggakan oleh orang-orang yang jahat dan dan tidak dicelanya kamu oleh orang-orang yang ahli ilmu dan bijaksana. (Riwayat Thabrani)

Smber: Dicatat oleh IBNU MUSLIM di 10/26/2009 05:46:00 PM

0 comments: