Sabtu, 23 Januari 2010

HADIS MENGENALI KEUNGGULAN PERIBADI NABI MUHAMMAD S.A.W

السلام عليكم ورحمة الله

1.0 PENGENALAN

Menjadi muslim menuntut supaya kita mengenali Rasulullah,meneladani baginda, beramal dengan sunnahnya dan seterusnya hidup berasaskan syari`at yang telah dibawa dan disampaikan oleh baginda daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala .

Lantaran peribadi Rasullulah adalah contoh paling ideal, paling sempurna dan paling bertepatan dengan kehendak dan tuntutan Syariat Islam, maka menyusuli keperibadian dan keunggulan baginda adalah suatu kewajipan kepada setiap muslim yang mahu mengecapi kejayaan di dunia apatah lagi di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud :

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) al Ahzab :21

Adalah pelik dan tidak munasabah apabila kita mengatakan amat menyintai Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mengenali luhur budi, rupa paras, tuturkata, makanan dan minuman, pakaian, pergaulan dan kehidupan seharian Baginda.

Demi Allah, amat menakjubkan sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Sungguh agung perilaku dan akhlaknya, sehingga semua itu adalah panduan Ilahi bagi setiap pemimpin, bagi setiap presiden, bagi setiap penguasa, bagi setiap komandan, bagi setiap hakim, bagi setiap ahli politik, bagi setiap guru, bagi setiap pasangan suami isteri, bagi setiap ibubapa, bagi setiap anak, bahkan bagi setiap insan.

Atas dasar kesedaran inilah maka AJK Surau Baiturrahman Badan dan Badan Agama Islam Perodua dengan kerjasama Ustaz Mohd Hazri b. Hashim al-hafiz telah mengorak langkah merangka inisiatif baru untuk memberi pendedahan ilmu dengan menganjurkan kelas pengajian hadis dari Kitab as-Syamail al-Muhammadiah wal-Khasoil al-Mustofawiah dalam mengenali keunggulan peribadi Nabi Muhammad s.a.w.

2.0 SEKILAS PANDANG MENGENAI KITAB SYAMAIL.

2.1 Maksud Shamail

Shamail adalah kata jamak daripada perkataan Shimal yang mempunyai pelbagai pengertian. Di antaranya adalah kelakuan, tabiat, kebiasaan dan tatacara seseorang. Shamail merangkumi sifat-sifat batang tubuh seseorang dan sifat-sifat keperibadiannya.

2.2 Kitab Shamail

Kitab-kitab Shamail adalah karangan para alim ulama yang menghimpunkan sumber-sumber yang memberi gambaran terhadap keunggulan peribadi Rasulullah SAW. Kitab-kitab ini akan menyentuh segala aspek yang berkaitan Baginda SAW. sehingga para pembaca akan dapat merasai kesempurnaan peribadi Rasulullah SAW. Antara lain ia akan menyentuh, keindahan wajah Rasulullah SAW, susuk tubuh, rambut, pakaian, makanan, minuman,kehidupan, akhlak baginda semasa senang, dan susah, dengan kawan dan lawan, pergaulan, senyuman, senda gurau, ibadat , hidup mati, umur, pusaka dan hampir segala-galanya yang berkaitan dengan baginda SAW.

Lantaran itu, untuk mengenali Rasulullah SAW dengan lebih dekat, setiap muslim wajib mempelajari kitab-kitab Shamail. Tidaklah keterlaluan untuk dikatakan kita sebenarnya tidak mengenali Baginda SAW sehinggalah membaca dan menghayati kandungan kitab Shamail.

2.3 Karya-Karya Shamail

Bidang Shamail telah mendapat perhatian besar para alim ulama. Justeru puluhan karangan telah dipersembahkan kepada dunia Islam sejak dari zaman berzaman berkaitan bidang ini. Di sini disenaraikan beberapa contoh karangan Shamail yang telah ditulis:-

1- Ash Shamail al Muhammadiyyah karangan Imam Al Tirmizi. ( kitab pilihan pelajar )

2- Akhlak al Nabiyy Wa Adabuhu karangan Abu Muhammad al Isbahaniyy yang lebih dikenali sebagai Abi al Sheikh.( W 369H)

3- Al Anwar Fi Shamail al Nabiyy al Mukhtar karangan Imam al Baghawiyy ( w 516H)

4- Shamail al Nabiyy karangan al Mustaghfiriyy (W 432H)

5- Matali` al Anwar Fi Shamail al Mukhtar karangan al Gharnatiyy (W 646H)

6- Zahr al Khamail `ala al Shamail karangan Imam Sayuthi (W 911 H)

7- Shamail al Rasul Wa Shakhsiyyatuhu al Insaniyyah karangan Anwar al Jundiyy iaitu seorang pemikir Islam Moden yang berasal dari Mesir.

3.0 MATLAMAT

Mengenali dan meneladani Nabi Muhammad s.a.w. dalam berbagai sudut :

1. Ibadah:

Baginda s.a.w. adalah orang yang paling tahu dan mengenal Allah, orang yang paling takut dan bertaqwa, namun Baginda s.a.w kadang-kadang berpuasa dan kadang-kadang berbuka, tidur dan bangun serta menggauli wanita (isteri) dengan baik, namun tidak mempengaruhi keadaan Baginda s.a.w. sebagai orang yang paling banyak beribadah.

2. Berinteraksi dengan tetangga:

Nabi saw bersabda:

“Jibril selalu mewasiatkan kepada saya tentang tetangga sampai aku menyangka bahwa tetangga mendapat hak warisan”. (Muttafaq alaih)

3. Berinteraksi dengan sesama manusia:

Baginda s.a.w. kadang-kadang menjual dan membeli, sangat sopan jika menjual dan sangat ramah jika membeli, ramah ketika memutuskan hukum dan ramah pula saat menuntut hukuman.

4. Akhlak dan perilaku secara umum:

Nabi saw adalah sebaik-baik manusia dalam berakhlaq dan beretika, orang yang paling mulia dan paling bertaqwa dalam berinteraksi. Allah berfirman sambil memuji nabi saw:

“Sungguh dalam dirimu terdapat akhlaq yang mulia”. (QS Al-Qalam:4)

Dan Aisyah pernah berkata ketika ditanya kepadanya tentang akhlaq nabi saw, Baginda s.a.w. berkata:

“Akhlaq nabi adalah Al-Qur’an”. (HR Muslim)

5. Damai dan Perang serta selalu menghormati dan memenuhi janji:

“Rasulullah saw masuk ke kota Madinah dengan mengangkat bendera perdamaian.

Ketika masuk kota Madinah Baginda s.a.w. berkata:

“Wahai sekelian manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, solat malamlah ketika orang lain tidur lelap niscaya masuk surga dengan selamat”. (HR Tirmidzi dari Abdullah bin Salam)

Dan ketika memasuki kota Makkah setelah berhasil menaklukkannya, Baginda s.a.w. berkata kepada orang yang memusuhi dan memeranginya:

“Pergilah kamu, hari ini kamu bebas”.



S:UZ

0 comments: