Berita Harian 14/01/2010
Oleh Nurul Farina Nazlan
KEBELAKANGAN ini laman sesawang seperti facebook, friendster, skype dan myspace semakin mendapat tempat di hati masyarakat kerana jaringan sosialnya luas serta memungkinkan penggunanya menjalin kembali persahabatan yang lama terpisah.
Di sebalik kelebihan itu, ada kekurangannya apabila ia boleh mengakibatkan kerosakan sahsiah diri penggunanya jika tersilap percaturan terutama generasi muda dan kelompok matang juga tidak terlepas!
Jurutera Morfhy Corporation, Mohamad Zakuan Hassan, mengakui laman sesawang seperti facebook ada pengaruh luas dari segi hubungan persahabatan selain tiada batasan usia mahupun status, selagi seseorang itu mahu berinteraksi.Saya lihat kebanyakan yang melayari laman sesawang sedemikian bukan saja di kalangan pekerja, pekerja dan pelajar, tetapi juga pemimpin negara meskipun sesetengah daripada kemudahan yang disediakan terhad,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Shah Alam, baru-baru ini.
Eksekutif Pentadbiran Edaran Arif Medik Sdn Bhd, Nur Farahida Md Akir, pula melihat hubungan alam maya kini menjadi ikutan semasa kerana ia menjimatkan masa sehingga segala-galanya menjadi mudah lagi pantas untuk berhubung dengan keluarga atau sahabat di dalam dan luar negara.
“Laman web sosial terutama facebook memudahkan pengguna untuk membincangkan sesuatu perkara tanpa perlu bersemuka di tempat yang sama dan ini dapat menjimatkan kos berbanding jika ia dilakukan melalui telefon,” ujarnya.
Pelajar Jurusan Perakaunan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abdul Hafiz Abdul Bar, yang mula mengenali facebook pada tahun lalu, mengakui laman sesawang sosial yang semakin menjadi kegilaan ramai, ada kelemahannya jika tidak dikawal dengan baik.
“Saya lihat pelbagai golongan yang melayari sesawang ini termasuk mereka yang cuba mengambil kesempatan dengan mencari pasangan sejenis sehingga menggalakkan hubungan songsang dan tentunya membawa keburukan kepada masyarakat,” jelasnya.
Sungguhpun demikian, beliau tidak menafikan ada kelebihan tersendiri dari segi perkongsian maklumat hingga Abdul Hafiz mampu membuat pilihan yang tepat untuk membeli barangan idamannya hasil cadangan rakan siber.
Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mardiana Mohamad, pula melihat penggunaan laman sesawang sosial oleh remaja perlu dipantau ibu bapa mereka.
“Jenayah dan masalah sosial boleh meningkat bila tiada kawalan dalam melayari laman sesawang kerana mengikut kajian, kebanyakan mereka yang melayarinya adalah golongan yang ada masalah peribadi dan cuba melupakannya dengan berinteraksi di laman tertentu,” jelasnya.
Ini disebabkan ada individu berniat jahat melayari laman sesawang sosial dan cuba ‘menangguk di air keruh’ daripada masalah rakan siber mereka sehingga mampu mempengaruhi dengan kata-kata indah ketika berinteraksi di alam maya.
Dr Mardiana berkata, sifat masyarakat Melayu yang jarang menunjukkan kasih sayang melalui perlakuan dan kata-kata sehingga ada yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaburi rakan yang sedang berkonflik dan mengakibatkan mereka leka apabila berasa diri disayangi.
“Dari sudut psikologi, melayari internet tidak salah dan menjadi kemestian pada era globalisasi, tetapi pelayar perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran, kerjaya, kehidupan harian dan rumah tangga serta tahu membezakan antara positif dengan negatif,” tegasnya.
0 comments:
Catat Ulasan