Khamis, 21 Januari 2010

Hidup penuh bermaruah

Sumber:Berita Harian

Oleh Ahmad Naim Tahir

ahmadnaim@bharian.com.my




Warga Gaza tidak pernah tunduk atau takut kepada rejim Zionis

"SELAMAT datang ke Gaza, selamat datang ke alam kegembiraan".

Agak memeranjatkan kerana itulah yang diucapkan seorang lelaki Gaza kepada sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang menyertai konvoi Viva Palestina ke wilayah itu, baru-baru ini.

Memeranjatkan kerana mereka tahu warga Gaza tertekan akibat kepungan tentera Israel sejak 27 Disember 2008 dan terperangkap dalam keganasan dan penindasan rejim Zionis sejak puluhan tahun sebelum itu.

Lalu, apa yang dimaksudkan lelaki berkenaan dengan kata-kata itu. Adakah dia sememangnya amat tertekan dengan keadaan di Gaza sehingga tidak tahu lagi membezakan penderitaan dan kegembiraan.

Walaupun dalam keadaan fizikal dan minda yang keletihan, kata-kata lelaki itu terngiang-ngiang dalam fikiran ketua konvoi Malaysia, Matthias Chang yang kemudian memerah otak cuba mentafsir apa yang dimaksudkan.

UMAT Islam bersolat dalam masjid yang runtuh.

Beliau mewakili badan bukan kerajaan (NGO), Perdana Global Peace Organization (PGPO) bersama Abd Rafee Abd Khatab selaku timbalannya, selain Shamsul Akmar, Juana Jaafar Manap dan Ram Karthigesu.

Turut serta empat kru Bernama serta dua lagi aktivis NGO Malaysia yang berada di Syria, selain pelajar Malaysia di London, Ibrahim Mohd Azmi yang pada mulanya menyertai konvoi dari ibu kota England pada 6 Disember 2009.

Bersama-sama mereka, ratusan aktivis lain dari seluruh dunia yang bergerak dalam 220 kenderaan dengan misi penghantaran bantuan kemanusiaan bernilai lebih AS$1 bilion (RM3.5 bilion) kepada rakyat Gaza.

Menerusi konvoi itu, PGPO menyumbang hampir RM500,000 dalam bentuk bantuan keperluan dan dua ambulans.


“Kami tiba di Gaza kira-kira jam 4 pagi, ada seorang lelaki menyambut kami dengan kata-kata sedemikian. Jika diikutkan badan yang amat letih kerana memandu terlalu lama, kata-kata itu mungkin masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Namun selepas berfikir, kata-kata itu menggambarkan azam warga Gaza dalam meneruskan hidup. Ya... Israel boleh menyerang dan menindas mereka, tetapi biarlah... mereka terus hidup seperti biasa, seperti orang lain juga,” katanya.

Sukarelawan Malaysia bertemu beberapa ahli Parlimen Palestin dan seperti dijangka, banyak kisah sedih yang diceritakan, termasuk kehilangan lebih 15 ahli Parlimen yang diculik Israel dan ada yang dibunuh.

Sebenarnya, kisah sedih seperti itu hanya diceritakan jika ada yang bertanya kerana keutamaan warga Gaza kini ialah mendapatkan keperluan asas, terutama kelengkapan dan bantuan pendidikan.

“Saya dibawa masuk ke sebuah bilik di bangunan Parlimen yang sebahagian besarnya musnah akibat ledakan bom Israel. Bagi mereka ia sebenarnya pejabat, biliknya kecil saja dan di satu sudut, ada rak menempatkan bahan bacaan.

“Dengan penuh bangga, mereka memberitahu ‘itulah perpustakaan kami.’ Mungkin orang akan anggap, apa nak dibanggakan dengan perpustakaan sekecil itu, tetapi mereka yang faham tahu kenapa mereka begitu berbangga dengannya,” kata Chang.

Ia sebenarnya simbolik kepada masyarakat dunia dan kepada Israel bahawa “kamu tidak boleh memusnahkan Parlimen kami, apa saja yang tinggal akan kami gunakan untuk meneruskan hidup”.

Dengan penuh bangga juga, ahli Parlimen berkenaan meminta Chang merakamkan gambar pejabat dan perpustakaan Parlimen yang hanya mengandungi tiga set kerusi meja dan rak menempatkan buku itu.

“Saya kagum dengan semangat pemimpin dan warga Gaza, tetapi kisah seperti itu tidak begitu ditonjolkan media. Laporan media sebelum ini hanya memaparkan penderitaan, kesedihan dan rayuan mereka meminta bantuan.

“Tidak banyak yang memuatkan kisah semangat, maruah dan keyakinan diri yang tinggi di kalangan warga Gaza. Mereka tidak berasa malu, kalah atau dijajah...mereka hidup seperti biasa...itu paling mengagumkan,” katanya.

Atas sebab itu, Chang tidak begitu berminat menceritakan insiden yang berlaku sepanjang perjalanan konvoi dari London ke Gaza kerana itu bukan topik utama misi berkenaan, sebaliknya lebih penting apa yang berlaku di Gaza City.

Kisah sedih penderitaan warga Gaza, kemusnahan harta benda, pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang tua juga, katanya, sudah acap kali dilaporkan media, seolah-olah itu saja yang ada di sana.

Gaza, katanya, adalah kisah keberanian, semangat, iltizam dan perpaduan rakyat. Ia bukan layar kepada kisah dendam kesumat, kekecewaan dan benci walaupun siang dan malamnya diisi deruman enjin pesawat pejuang Israel, pengeboman dan pembunuhan.

Semua ciri itu menyumbang kepada kekuatan warga Gaza, biarpun musuh dianggap begitu kuat dan mendapat sokongan negara kuasa besar, wilayah itu sehingga kini gagal ditawan.

Biarpun dikhianati dari dalam, dipencilkan negara jiran yang sebangsa dan seagama atau dilabel pengganas, Gaza tetap mempertahankan daulat dan warganya meneruskan hidup penuh bermaruah.

“Apabila saya melihat mata mereka, tidak tergambar wajah dendam atau kebencian, sebaliknya pancaran yang mahukan keamanan, cuma bingung kenapa manusia boleh melakukan kekejaman kepada manusia lain, kenapa berlaku ketidakadilan itu.

“Ada yang ditahan, diculik dan dikurung dalam penjara. Ada yang dibunuh, tetapi keluarga mereka tidak bercakap dalam nada berdendam, cuma minta supaya kisah itu didedahkan, jangan disenyapkan. Dendam dan benci tiada dalam kamus hidup mereka,” katanya.

Kata Chang, keutamaan warga Gaza kini bukan kewangan walaupun mereka bersedia menerima jika ada yang sudi menyalurkan, tetapi lebih kepada pendidikan, terutama bantuan biasiswa untuk generasi muda meneruskan pengajian.

“Sebab mereka tahu jika generasi muda tidak berpelajaran, sukar untuk membangunkan masyarakat. Perlu ada profesor, doktor, pakar psikologi dan pakar lain untuk anak-anak mereka belajar dan mengatasi trauma perang,” katanya.

Beliau yakin jika mendapat peluang sebegitu, Palestin mampu membangun menjadi negara termaju di benua Arab andai berjaya bebas daripada penindasan Israel kelak.

Simbolik kekuatan iltizam warga semenanjung itu juga tergambar apabila peserta konvoi dibawa bersarapan di sebuah restoran menghadap Pelabuhan Gaza atau dengan saiznya yang seperti itu, lebih layak dipanggil jeti.

“Mereka menunjukkan kepada kami pelabuhan itu dan berkata: “Tidakkah itu pemandangan yang cantik.” Mesejnya, lihatlah pelabuhan kami yang begitu cantik dan tenang. Hidup mereka riang dan tenang walaupun ditekan penindasan.

“Bandar Gaza juga bersih, sedangkan ia adalah zon perang. Mesejnya mereka tidak akan hidup seperti haiwan walaupun kamu (Israel) menindas. Kami hidup seperti manusia lain dan kebersihan sebahagian daripada hidup kami,” katanya.

Warga Gaza contoh terbaik sebagai inspirasi hidup, mereka tidak mengeluh atau merungut mengenai kehidupan. Bagi mereka, Palestin akan menang, rakyatnya akan terus hidup dan tidak pernah takut atau tunduk kepada Israel.

“Lihatlah dengan segala kelebihannya, Israel masih gagal menewaskan Gaza. Deruman enjin pesawat tentera atau ledakan bom sudah perkara biasa. Cuba kita bayangkan jika Palestin merdeka,” kata Chang.

Kekurangan yang dihadapi tidak dijadikan alasan. Pernah makmal sebuah universiti menempatkan peralatan bernilai RM15 juta musnah dibom Zionis, tetapi hanya 10 hari selepas itu pembelajaran sudah disambung semula.

Bangunan Kementerian Kewangan dan beberapa kementerian yang menjadi tonggak pentadbiran kerajaan dan menyimpan dokumen penting juga hancur, tetapi selepas itu semua dokumen penting disimpan secara berselerak di sekitar Gaza.

“Cuba kita lihat Jerman dan Jepun, kononnya negara maju tetapi mereka sebenarnya masih tunduk kepada kuasa besar. Di negara mereka, masih ada pangkalan tentera negara kuasa besar... apa gunanya merdeka,” katanya.

Berbeza dengan Gaza, wilayah itu dikepung tetapi masih gagal dijajah kerana semangat melawan warganya yang begitu kuat sehingga Israel yang dilengkapi senjata moden terpaksa berundur dek semangat melawan yang kental oleh pejuang Gaza.

“Israel boleh melancarkan 100 peluru berpandu ke Gaza, tetapi ia akan dibalas walaupun hanya satu peluru berpandu dari Gaza. Jika Israel ada peluru berpandu, Gaza juga ada senjata itu untuk mempertahankan kedaulatannya,” tambah Chang.

Katanya, laporan media hanya menumpukan kepada penderitaan rakyat Palestin dan Gaza, sedangkan memang itu yang akan berlaku kerana mempertahankan diri daripada penindasan oleh negara penuh lengkap dengan aspek ketenteraan dan persenjataan.

“Laporan seperti itu menggambarkan Israel begitu berkuasa. Memang warga Gaza menderita, tetapi secara psikologinya mereka menang. Walaupun ramai rakyatnya terbunuh, tetapi negara mereka masih gagal dijajah Zionis.

“Moral warganya tetap utuh... walaupun ada penganut Islam dan Kristian, mereka hidup penuh bersatu pada tahap tertinggi. Perpaduan masyarakat Gaza contoh terbaik kepada dunia,” katanya.

Katanya, pengajaran paling penting daripada misi kali ini ialah warga Gaza tidak akan menggadaikan nilai asas kemanusiaan - hidup penuh bermaruah dan bangun semula jika terjatuh.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau berpesan mewakili sukarelawan Viva Palestina dari Malaysia: “Jangan anggap kami hero, memang perjalanan memenuhi misi ini sukar, tetapi ia berbaloi kerana banyak pengajaran kami peroleh di Gaza”.

FAKTA
Kronologi keganasan Israel ke atas Gaza


  • Israel melancarkan 'Operation Cast Lead' ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 dengan alasan mahu menghentikan serangan roket harian Hamas ke penempatan Yahudi di Israel.

  • Kempen keganasan berlarutan 22 hari, mengorbankan 1,400 rakyat Palestin, mencederakan 5,500 orang dan beratus-ratus lagi parah, manakala hanya 13 tentera Israel maut.

  • Selepas setahun kepungan Israel, lebih 90 peratus penduduk Gaza memerlukan bantuan makanan, 32,000 penduduk tanpa bekalan air paip dan ribuan lagi tidak berumah, selain menghadapi peningkatan masalah psikososial.

  • Rundingan di antara Israel dan Palestin berhubung perjanjian damai sehingga kini masih tergantung.

  • Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipandang tinggi rakyat Palestin kerana sumbangannya dalam usaha membebaskan negara itu daripada penindasan selama 60 tahun oleh Israel.
  • 0 comments: