Sabtu, 16 Januari 2010

Isteri-isteri yang diuji~~

tafsir surah al-Ahzab:28-29

28. Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu: Jika kamu mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepada kamu bayaran mut’ah dan menceraikan kamu dengan cara yang baik.

29. Dan jika kamu menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta negeri Akhirat, maka sesungguhnya Allah telah menyediakan pahala yang amat besar kepada mereka yang membuat amalan yang baik di antara kamu.

Nabi s.a.w. telah memilih cara hidup berpada-pada untuk dirinya dan keluarganya. Ini bukan kerana beliau tidak mampu uniuk hidup mewah, kerana beliau telah hidup hingga ke zaman mewah, di mana banyak negeri-negeri tertaluk kepadanya dan banyak harta-harta rampasan perang diperolehinya dan di mana orang-orang Islam yang dahulunya tidak mempunyai harta dan bekalan makanan telah menjadi senang. Namun begitu dalam sebulan kadang-kadang dapur rumahnya tidak juga berasap walaupun beliau begitu murah bersedekah, memberi dan menghadiah. Tetapi itulah pilihan beliau yang meletakkan dirinya lebih tinggi dari kemewahan hidup dunia, dan itulah keinginan beliau yang tulus mencari keredhaan di sisi Allah, iaitu keinginan seorang yang mampu hidup mewah tetapi dia sengaja tidak mahu, dan meletakkan dirinya lebih tinggi darinya dan sengajamemilih (cara hidup yang seperti itu). Rasulullah s.a.w. bukanlah diwajibkan oleh aqidah dan syariat supaya beliau dan keluarganya hidup seperti itu.

Tetapi para isteri Nabi s.a.w. adalah perempuan-perempuan dan manusia biasa. Mereka mempunyai perasaan-perasaan manusia. Walaupun mereka mempunyai kelebihan, kehormatan dan kedudukan yang amat dekat dengan sumber nubuwah yang mulia, namun keinginan semulajadi mereka kepada keni’matan hidup itu tetap bersemarak di dalam hati mereka. Apabila mereka melihat keadaan hidup yang senang dan mewah yang dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang Mu’minin
mereka pun bersungut kepada Rasulullah s.a.w. tentang habuan nafqah mereka.

Beliau amat dukacita dengan tuntuan nafkah yang dikemukakan oleh para isterinya sehingga beliau mengasingkan diri dari para sahabatnya. Ini amatlah menyusahkan mereka. Mereka datang untuk menemui beliau, tetapi tidak diizinkan masuk.

Imam Ahmad telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Jabir r.a. katanya:
Abu Bakr r.a. telah datang meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w. dan ramai orang duduk di pintunya, Rasulullah s.a.w. ketika itu sedang duduk, tetapi dia tidak diizinkan masuk. Kemudian datang pula ‘Umar r.a. lalu meminta izin, tetapi tidak juga diizinkan. Setelah itu barulah beliau memberi izin kepada Abu Bakr dan Umar r.a., lalu kedua-duanya masuk. Ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang duduk dan dikelilingi oleh isteriisterinya. Rasulullah s.a.w. diam tidak bercakap. Umar r.a. berkata. Aku pasti bercakap dengan Nabi s.a.w. semoga beliau ketawa. Lalu Umar r.a. pun berkata: “Wahai Rasulullah! Tahukah anda anak perempuan Zaid tadi telah menuntut nafkah (yang lebih) dari saya, lalu saya pukul lehernya?” Nabi s.a.w. terus ketawa hingga ternampak geraham-gerahamnya dan bersabda: “Mereka yang ada di sekelilingku ini juga menuntut nafkah dariku.” Lalu Abu Bakar r.a. bangun menuju kepada Aisyah untuk memukulnya, dan Umar r.a., juga bangun menuju kepada Hafsah. Kedua-duanya berkata: “Apakah engkau berdua mahu menuntut sesuatu yang tidak ada pada beliau? Lalu ditahan oleh Rasulullah s.a.w. Kemudian para isteri Nabi s.a.w. pun berkata: “Demi Allah selepas majlis ini, kami tidak akan menuntut kepada Rasulullah s.a.w. sesuatu yang tidak ada pada beliau.”

Ujar rawi, di sini Allah Azzawajalla menurunkan ayat yang memberi pilihan kepada
mereka, lalu beliau pun menyampaikan pilihan itu mula-mula kepada ‘Aisyah r.a. seraya bersabda: “Abang hendak menyampaikan satu perintah kepada engkau (untuk diputuskan oleh engkau), tetapi abang tidak suka engkau mengambil keputusan yang terburu-buru sehingga engkau (lebih dahulu) berunding dengan dua orang tua engkau”. Lalu Aisyah r.a. bertanya: “Apa dia?” Kata rawi, beliau pun membaca ayat:
al-Ahzab ayat 28

Lalu Aisyah r.a. berkata: “Adakah dalam perkara hendak memilih abang, hamba patut berunding dengan orang tua hamba? Bahkah hamba tetap memilih Allah dan Rasul-Nya, tetapi hamba harap abang tidak menceritakan pilihan hamba ini kepada mana-mana isteri abang yang lain Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya Allah tidak mengutuskan abang untuk memberi kepayahan, tetapi Dia mengutuskan abang untuk memberi kemudahan. Oleh itu tiada seorang pun dari isteri-isteri (abang yang lain) yang menanyakan abang tentang keputusan yang telah dipilih engkau melainkan abang akan ceritakannya kepada dia.” (Muslim mengeluarkan hadith ini dari hadith Zakaria bin Ishaq)

Mengikut riwayat al-Bukhari dengan sanadnya dari Abu Salamah ibn Abdul Rahman bahawa ‘Aisyah r.a. isteri Nabi s.a.w. telah menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w. telah datang mendapatkannya apabila Allah Ta’ala menyuruh beliau memberi pilihan kepada para isterinya. Kata ‘Aisyah: Rasulullah s.a.w. telah mulakan dengan aku dengan sabdanya, “Abang hendak menyampaikan satu perintah kepada engkau (untuk diputuskan engkau), oleh itu janganlah engkau terburu-buru mengambil keputusan sehingga engkau berunding dengan dua orang tua engkau”. Sedangkan beliau memang tahu bahawa orang tuaku tidak akan menyuruhku bercerai dengan beliau. Kata ‘Aisyah: Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya

Allah Ta’ala berfirman:
al-Ahzab : 28

Lalu aku pun berkata: Adakah kerana ini hamba patut berunding dengan orang tua hamba? Sesungguhnya hamba tetap mahukan Allah, Rasul- Nya dan negeri Akhirat. Kedatangan al-Qur’anul Karim ialah untuk menggariskan nilai-nilai asasi dalam persepsi Islam terhadap hidup dunia. Nilai-nilai ini pastilah mempunyai terjemahannya yang hidup di dalam rumahtangga Nabi s.a.w. dan kehidupan peribadinya. Nilai-nilai ini pastilah dilaksanakan dengan gambaran yang sejelas-jelasnya di dalam rumahtangga beliau yang selamalamanya menjadi pedoman kepada umat Muslimin dan agama Islam sehingga Qiamat.


Eloklah kita berhenti sebentar merenungi peristiwa ini dari beberapa sudutnya. Peristiwa ini menggariskan persepsi Islam yang jelas terhadap nilai-nilai. I
a menggariskan jalan kesedaran dan perasaan terhadap dunia dan Akhirat. Ia menghapuskan di dalam hati Muslim segala rasa teragak-agak dan terumbang-ambing di antara memilih nilai-nilai dunia dengan memilih nilai Akhirat, di antara menuju ke hala bumi dengan menuju ke hala langit. Ia membersihkan hati dari segala hubungan yang asing yang menjadi penghalang di antaranya dengan ketulusannya terhadap Allah Yang Tunggal. Dalam satu segi yang lain pula, peristiwa ini menggambarkan kepada kita hakikat kehidupan Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang hidup bersamanya dan berhubung dengannya. Yang paling indah dari hakikat ini ialah kehidupan mereka adalah satu kehidupan seorang manusia biasa, iaitu manusia yang tidak terlepas dari sifat-sifat, perasaan-perasaan dan ciri-ciri mereka sebagai manusia di samping sifat-sifat keagungan mereka yang unik dan ketulusan mereka kepada Allah Yang Tunggal. Perasaan-perasaan dan sentimen-sentimen manusia tidak mati di dalam hati mereka, malah meningkat ke tahap yang luhur dan bersih dari noda-noda campur aduk.

Tabiat manusia yang manis tetap ada pada mereka, dan tabiat ini tidak menghalang jiwa mereka dari meningkat ke darjat yang paling sempurna yang disediakan kepada manusia. Kita sering kali tersilap apabila kita menggambarkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya dengan gambaran yang tidak sebenar dan tidak lengkap, iaitu gambaran di mana kita membersihkan mereka dari segala perasaan dan sentimen manusia dengan anggapan bahawa dengan gambaran ini kita menaikkan darjat mereka dan membersihkan diri mereka dari segala sesuatu yang kita fikirkannya sebagai cacat dan lemah.

Kesilapan itu melukiskan gambaran yang tidak berpijak di alam kenyataan, iaitu gambaran yang disalutkan dengan lingkaran-lingkaran cahaya kehebatan yang kabur menyebabkan sifat-sifat mereka sebagai manusia tidak ketara lagi, dan kerana itu terputuslah hubungan manusia di antara kita dengan mereka. Rupa mereka di dalam hati kita di tengah lingkaran-lingkaran cahaya kehebatan itu kelihatan lebih dekat kepada bayang-bayang yang tidak dapat disentuh dan dipegang dengan tangan hingga kita merasakan mereka seolah-olah satu makhluk yang berlainan dari kita atau mereka seolah-olah malaikat atau makhluk lain seumpamanya yang sama sekali tidak mempunyai perasaan dan sentimen manusia. Walaupun gambaran khayal ini begitu indah dan berkaca-kaca, namun
tidak menjauhkan mereka dari lingkungan kita hingga kita tidak dapat lagi mencontohi dan mengikut jejak mereka kerana berputus asa dari kemungkinan dapat meniru mereka secara amali di dalam kehidupan kita di alam kenyataan.

Sumber: Kak Seri(kak copy kak mnrik jer article akak ni,,,hehe..sharing is caring kan kak??))http://izziy.blogspot.com/search/label/al-Quran



2 comments:

IAMSERI berkata...

Assalamualaikum...
hehe..btul2...sharing is caring :p

Nur Mawaddah Mahdiyah berkata...

Waalaikummussalam...hehe...xtahu nk bykkan pengisian apa lagi kak dlm ni..huhu.cb yg terdaya spya ada input yg dpt dkongsi pada pegunjung blog ni..