Sabtu, 11 Disember 2010

solat-solat sunat

*** Bismillahirrahmanirrahim *** 
***Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang***

Solat sunat yang disunatkan bersendirian
  1. Tahiyyatul Masjid
  2. Witir
  3. Dhuha
  4. Qiamullail / Tahajjud
  5. Taubat

TAHIYYATUL MASJID

  • Iaitu sembahyang dua rakaat sebelum duduk setiap kali masuk masjid.
Niat:
“Sahaja aku solat sunat Tahiyyatul Masjid 2 rakaat kerana Allah Taala”

Dalil 
Apabila seseorang kamu masuk masjid, maka janganlah duduk sehingga dia sembahyang dua rakaat” (HR Bukhari & Muslim)

Kelebihannya
Solat ini amat digalakkan dan seseorang itu digalakkan melakukan sunat Tahiyyatul Masjid walaupun ketika kutbah Jumaat sedang dibacakan pada hari Jumaat. Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatulmasjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah! (Sahih Muslim)
 
SUNAT WITIR
  • Ia merupakan sunnah mu’akkadah.
  • Dinamakan witir atau ganjil kerana ia disudahi dengan satu rakaat berlainan dengan sembahyang yang lain.
  • Waktu sembahyang witir ialah di antara sembahyang ‘Isya’ dan terbit fajar. Yang paling afdhal ialah dilewatkan sehingga ke akhir sembahyang malam.
  • Sekurang-kurang witir ialah satu raka‘at, tetapi makruh jika hanya melakukan dengan bilangan tersebut dan sekurang-kurang bilangan raka‘at yang sempurna ialah tiga raka‘at. Didirikan dua raka‘at kemudian satu raka‘at.
  • Jumlah yang paling sempurna ialah sebelas raka‘at.
Lafaz Niat:




SUNAT DHUHA
  • Waktunya ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita'khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
  • Cara menunaikannya - dua rakaat satu salam.
  • Boleh juga dikerjakan 4 rakaat, 6 rakaat dan 8 rakaat.
  • Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana yang diriwayatkan oleh 'Aisyah bermaksud :"Adalah Nabi Sallallahu 'alaihi  wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya."(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Niat : 
" Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala”

  • Surah yang sunat dibaca selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan rakaat kedua selepas membaca al-Faatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.
Kelebihan
  • Disebut di dalam kitab "An-Nurain" Rasullullah s.a.w bsabda: "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."
  • Dalam satu riwayat yang lain : "Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.“ (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
  • Dan daripada Anas bin Malik r.a berkata : "Aku mendengar Rasulullah s.a.w bsabda: "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas“ (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)


Aanjuran Mengerjakan
Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


QIAMULLAIL/SUNAT TAHAJJUD
Qiyamullail – Solat malam
  • Ia dinamakan juga dengan tahajjud jika dilakukan selepas tidur.
  • Qiyamullail merupakan sunat yang tidak mempunyai bilangan raka‘at yang tertentu.
  • Ia ditunaikan selepas bangun tidur dan sebelum azan Subuh.
  • Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Maksud ayat 79 Al-Isra’)
Kaifiat Mengerjakannya
“Sahaja aku Solat Sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala”


Pada rakaat pertama ucaplah Al-Fatihah Selepas itu surah Al-Kafirun Rakaat kedua ucaplah Al-Fatihah, selepas itu surah Al-Ikhlas 

Waktunya
  • Sembahyang malam itu harus dikerjakan, sama ada pada awal malam, di tengah-tengah malam atau di akhir malam. 
  • Bagaimanapun adalah lebih afdhal dilewatkan sembahyang tahajjud itu sehingga kepada salah satu pertiga yang akhir dari malam. 
Bilangan Rakaat
Aisyah RA berkata : Tidak pernah Rasulullah SAW (bersembahyang) lebih – samada pada bulan Ramadhan atau bulan lainnya- daripada sebelas rakaat. (Mula-mulanya) baginda sembahyang empat rakaat tetapi jangan ditanya tentang elok dan panjangnya rakaat-rakat sembahyang itu, kemudian baginda sembahyang empat rakaat lagi. Itu pun jangan ditanya tentang elok dan panjangnya rakaat-rakaat sembahyang itu. Kemudiannya baginda sembahyang pula tiga rakaat. Lalu (kata Aisyah), aku bertanya : Ya Rasulullah ! adakah tuan hamba tidur sebelum daripada tuan hamba sembahyang witir ? Jawab Rasulullah : Hai Aisyah bahawa mataku tidur kedua-duanya tetapi hatiku tidak tidur !(Bukhari dan Muslim)
 
SUNAT TAUBAT
  • Sembahyang sunat Taubat ialah sembahyang sunat dua rakaat yang dikerjakan kerana ingin bertaubat daripada dosa dan kemaksiatan yang telah dilakukan, sama ada besar mahupun kecil, atas rasa kesal terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukan dan ingin membersihkan diri daripada dosa serta berniat akan kembali kepada ketaatan dan berazam tidak akan mengulanginya
  • Tidak terikat dengan waktu, maka bolehlah sembahyang sunat Taubat ini dikerjakan pada bila-bila masa termasuklah di waktu yang diharamkan untuk mendirikan sembahyang sunat

Kaifiyat Menerjakannya

أصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ
“Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
  • Tidak ada surah-surah yang dikhususkan untuk dibaca selepas membaca surah al-Fatihah ketika mengerjakan sembahyang sunat Taubat ini.
  • Hendaklah memperbanyakkan Istighfar dan Doa selepas sembahyang sunat Taubat
Syarat Sah Taubat
Sesuatu taubat itu tidak dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat berikut:

1) Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya, hendaklah seseorang itu:

  • meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera
  • menyesali perbuatannya itu
  • membulatkan azam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi. 




2) Andaikata hak-hak itu bersangkut paut dengan hak anak adam, maka hendaklah memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya sebagaimana tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat, iaitu:

Hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya(curi/ambil tanpa pengetahuan/hutang). Jika dia mencaci, memukul, menyakiti atau mengumpat orang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut.

0 comments: