Jumaat, 5 Februari 2010

HUKUM BERTEPUK TANGAN, BERSORAK DAN BERSIUL


Tepuk tangan:Memukul dengan kedua - dua belah tangan yang menghasilkan bunyi yang didengari. Apabila diulang ia boleh menghasilkan bunyi yang tersusun. Dalam bidalan ada disebut, sebelah tangan tak menghasil tepukan ( Bertepuk sebelah tangan ).Manusia bertepuk tangan dengan beberapa tujuan:

1) Memberi peringatan seperti apabila ingin memasuki rumah seseorang atau ingin mengingatkan tuan rumah atau ahlinya mengenai kehadirannya, lalu dia menepuk tangan.

Inilah yang warid dan datang dalam hadis yang membenarkan wanita yang menjadi makmum dalam solat jamaah ketika mahu mengingatkan imam yang tersalah untuk menepuk kedua tangannya dari belakang saf agar imam sedar dan kembali membetulkan.

Dalam Hadis sahih, ”Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih ( dengan berkata ‘subhanaLlah‘ ). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya ( memberi perhatian ). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.”- Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Sahl Ibn Saad sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (243).

Dalam Hadis lain, ” Bertasbih adalah untuk lelaki, manakala bertepuk adalah untuk wanita.”. - Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Abi Hurairah sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (1204). Maksudnya, ketika dalam solat.

2) Melahir kegembiraan seperti memukul dengan bantuan kompang atau alatan lain dengan alunan yang tersusun yang menghasilkan bunyi yang berimbang sebagaimana kita saksikan dalam lagu - lagu negara Teluk dan sebagainya.

3) Memuji dan memandang baik terhadap sesuatu perkara sebagaimana kita saksikan para penonton memberi tepukan tangan untuk penyair selepas mendeklamasikan sajak dan syairnya, atau tepukan untuk pemidato yang berjaya menyentuh emosi khalayak pendengar sehingga sebaik saja mereka menyudahkan ucapan, dewan terus bergema dengan tepukan dan sorakan puji - pujian daripada para hadirin.

4) Beribadah. Inilah yang telah dilakukan oleh golongan Arab Quraisy jahiliyyah dan seumpamanya dalam ibadah mereka di Masjidil Haram dengan bersorak dan bersiul. Dan Itulah perbuatan yang diingkari oleh Al Quran di dalam firman Allah yang bermaksud : ”Tiadalah solat/ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah.“ Al Anfal: 35.

Al Qurtubi berkata: Berkata Ibnu Abbas: Masyarakat Quraisy jahiliyyah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia merupakan satu ibadat. Muka’ bererti bersiul, manakala tashdiah bererti bertepuk tangan. Itulah pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Daripada Qatadah: Muka’ bererti bertepuk dengan tangan, manakala tashdiah bererti bertempik dan bersorak ( ini berbeza dengan pandangan oleh Mujahid tadi ).Untuk tujuan yang pertama tadi, ia jelas harusnya di sisi syar’. Tiada siapa pun yang membantah.

Untuk tujuan yang keempat juga jelas sekali pengharaman dan tegahan ke atasnya kerana ia merupakan pensyariatan ibadah yang tidak pernah diizinkan oleh Allah.

Hukum ini juga diterima pakai ke atas sesetengah golongan ahli sufi yang melakukan perbuatan tadi dalam amalan mereka. Ini seperti kata Al Qurtubi: Ini adalah jawaban ke atas golongan yang jahil daripada golongan sufi yang menari dan bertepuk dalam ibadah mereka. Ia adalah perkara mungkar yang ditolak oleh mereka yang berakal yang bersih daripada kekarutan itu. Pelakunya telah menyerupai/ tasyabbuh dengan perbuatan ibadah kaum musyrikin di Masjidil Haram.Kami telah sebut pendapat Al ‘Izz Ibnu Abdus Salam dalam bicara hukum menari sekejap tadi ( dalam bukunya - pent ).

Hukum bertepuk dengan tujuan melahir kegembiraan dan memuji. Berbaki dua perkara iaitu tujuan kedua dan ketiga perbuatan bertepukan seperti yang kami huraikan tadi iaitu dengan tujuan melahirkan kegembiraan dan keseronokan, juga untuk melahirkan rasa kagum dan memandang baik terhadap sesuatu perkara.

Apakah hukum syar’ie dan apakah pendapat fiqh semasa mengenainya?Hakikatnya, saya tidak menemui sebarang dalil yang muhkam dan kata putus daripada Al Quran dan As Sunnah mengenai pengharaman dan tegahan ke atas kedua - keduanya.Mungkin sesetengah pendapat mengambil dalil daripada ayat dari ayat 35 Surah Al Anfal tadi yang bermaksud: ” Tiadalah solat / ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah.“Tetapi ini adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat tersebut adalah tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk sedangkan di sini tujuannya lain yang tiada pengertian ibadah di dalamnya.

Mungkin juga sesetengahnya mengambil dalil daripada Hadis Nabi sallaLlahu alihi wasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya tepukan itu hanyalah untuk wanita.” Sudah nyata larangan lelaki menyerupai wanita. RasuluLlah sendiri telah melaknati lelaki yang menyerupai wanita.Tetapi adalah jelas dan maklum bahawa hadis tadi warid dan datang khusus mengenai bertepuk di dalam solat. Maka ia tidak boleh menjadi dalil untuk menegah lelaki daripada bertepuk di luar solat. Inilah yang disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami. Beliau juga menyebut bahawa larangan menyerupai wanita itu adalah pada perkara yang memang khusus untuk wanita ( seperti jenis pakaian, perhiasan dan seumpamanya - pent ) . Adapun bertepuk, ia bukan perkara khusus wanita sahaja.Kata beliau: “Dan saya nyatakan di dalam Syarhul Irsyad bahawa ianya makruh… Yang paling sahih dalam perkara ini, ianya halal dan harus.”

Berbaki satu hujah iaitu perbuatan bertepuk adalah amalan bukan islamik. Ia adalah amalan orang barat yang telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Kita dilarang menyerupai orang - orang bukan Islam.Jawabannya: Sesungguhnya kita dilarang menyerupai mereka di dalam perkara - perkara khusus ugama mereka dan cara ibadat mereka. Adapun perihal duniawi, maka tiada sebarang larangan untuk kita meniru mereka apabila ia bebas daripada larangan syara’ atau kerosakan yang ditegah syara’.Asy Syaikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.Terjemahan petikan daripada kitab ‘ Fiqhul Lahwi Wat Tarwiih’

Sumber:Ibnu Muslim

0 comments: