Minggu lepas sahaja, beberapa kes pembunuhan dan pembuangan bayi berlaku. Kes pertama berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam. Kes kedua pula berlaku di Alor Setar, Kedah. Seorang bayi perempuan telah ditemui masih hidup. Kes ketiga pula berlaku di Masjid Jamek Permatang Duyong, Melaka. Mayat seorang bayi perempuan ditemui dipenuhi semut di pintu pagar masjid. Dan yang terakhir berlaku di Kuala Krai. Mayat seorang bayi lelaki ditemui terbakar dalam tong.
Tabiat buruk membuang bayi ini adalah membimbangkan. Tabiat ini boleh menyebabkan pertambahan masalah sosial di kalangan masyarakat. Selain itu, ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Ia juga boleh memberi impak negatif dari segi psikologi terhadap mereka yang terlibat dengan tabiat ini.
Sekiranya tabiat buruk ini terus berleluasa, tidak hairan suatu hari nanti kita boleh menemui mayat-mayat bayi yang dibuang seperti sampah dimerata-rata tempat. Perkara ini akan menjadi semakin serius sekiranya tidak dibendung.
Peningkatan kes pembuangan bayi menunjukkan ramai anggota masyarakat kini mengalami tekanan hidup dan mereka tidak tahu menanganinya dengan bijak. Ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan membuang bayi yang tidak berdosa.
Mereka yang melakukan perbuatan sebegini adalah mereka yang terlibat dengan pergaulan bebas sehingga melahirkan anak luar nikah. Mereka ini terdesak dan hilang pertimbangan kerana merasa malu dengan apa yang telah mereka lakukan. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuang bayi setelah melahirkannya. Mereka sudah tidak memikirkan haram halal sesuatu perbuatan itu. Mereka ini tidak ada panduan dalam soal agama sehingga tergamak membuang amanah Allah atau membiarkan bayi itu mati. Apa yang mereka tahu, mereka dapat menutupi kesalahan yang telah mereka lakukan. Sebenarnya mereka silap. Tindakan yang mereka ambil ini sebenarnya hanya menambahkan lagi masalah mereka. Tindakan sebegini akan menyebabkan seluruh rakyat di negara ini dapat menghidu perbuatan yang telah mereka lakukan. Ini akan membuatkan mereka lebih tertekan.
Selain itu, institusi keluarga yang semakin lemah akibat kesibukan mengejar kejayaan juga mendorong pertambahan kes pembuangan bayi ini. Remaja-remaja yang bermasalah tidak mempunyai tempat untuk mengadu. Mereka tidak dapat mencari penyelesaian di atas segala masalah yang mereka hadapi. Sekiranya institusi keluarga memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing keluarga masing-masing, perkara sebegini dapat dielakkan.
Stigma masyarakat yang memandang serong ibu yang membesarkan bayi tanpa ikatan perkahwinan juga mendorong pembuangan bayi. Masyarakat seharusnya membantu dan membimbing mereka yang terlibat dengan perbuatan ini agar mereka kembali ke jalan yang benar dan tidak mengulanginya lagi. Mereka tidak seharusnya dihukum, sebaliknya mereka perlu diberi kaunseling dan bimbingan. Mungkin mereka telah tersalah langkah sehingga melahirkan anak luar nikah, tetapi ini bukan bermakna mereka harus disisih dan dipandang serong. Mungkin benar ada pendapat mengatakan sekiranya, perbuatan sebegitu masih diberikan layanan dengan baik, tidak mustahil ramai lagi yang akan terlibat dengan perzinaan dan melahirkan anak luar nikah. Tetapi kita harus ingat, sekiranya kita membantu mereka, masalah pembuangan bayi ini dapat dikurangkan. Dengan ini kita dapat menyelesaikan satu masalah.
Tanggungjawab bagi membendung gejala pembuangan bayi ini tidak hanya terletak dibahu kerajaan. Seluruh masyarakat harus berganding bahu untuk sama-sama berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah ini. Isu ini bukan kesalahan ibu semata-mata, tetapi semua pihak harus turut merasa bersalah. Apabila pendekatan sebegini dapat dipraktikkan, masyarakat akan lebih bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam mengatasi masalah sebegini. Masyarakat akan lebih prihatin dan berusaha bagi mencegah kejadian seperti ini berulang.
Masyarakat perlu mengambil pengajaran daripada kes-kes yang berlaku dengan meningkatkan pengawasan ke atas anak remaja. Anak remaja tidak boleh dibiarkan lepas bebas untuk bergaul tanpa pengawasan. Ibu bapa harus sentiasa mengambil berat mengenai pergaulan anak remaja mereka. Elakkan anak remaja mereka dari bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan. Pergaulan bebas ini sebenarnya yang mendorong berlakunya pembuangan bayi. Kerana mahu menutupi malu setelah mereka melakukan hubungan diluar perkahwinan, mereka mengambil jalan pintas dengan membuang bayi yang dilahirkan.
Ibu bapa juga harus memberikan didikan agama yang terbaik dan menggunakan pendekatan psikologi yang berkesan dalam mendidik anak-anak.
Anak-anak adalah harta yang paling berharga. Mereka adalah amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita. Oleh itu, kita harus menjaga dan mendidik anak-anak dengan sebaiknya. Membuang bayi adalah satu dosa yang besar kerana kita telah mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada kita. Sekiranya kita malu untuk membesarkan bayi yang kita kandung diluar nikah, banyak lagi cara lain yang boleh kita gunakan untuk menutupi rasa malu itu. Ingatlah, masih ramai lagi orang diluar sana yang bersusah payah berusaha untuk mendapatkan anak, tetapi kita dengan mudah membuangnya. Mudah-mudahan kita dijauhkan dari perbuatan keji ini. Nauzubillah.
Dari:RP
2 comments:
Assalamualaikum.........
Anak dikurniakan bkn untuk harta dunia tetapi harta akhiirat dan alam kubur.Ramai generasi hari ini mendidik anak untuk kekayaan dunia,itulah punca semua ini terjadi
wallahhuallam
waalaikummussalam...
stju tuu ibnu...bl ank xllus exam ..ank dperslhkn..nk ank pndai jd itu ini...ilmu agm hnya serhkn kt ustz ustzah kt sklah ngajr..ibu bpa ajar apa??sbb ibu bapa sndr pun xpandai ngaji n xslt...(bkn semua)...bila anak yg dah bsar mngur ibu bpa ckp anak derhaka...nak ajar ibu bpa plak...itulah fenomena skng..
Catat Ulasan